Kini anda tidak perlu lagi mengambil ujian saringan COVID19 sebelum memasuki Sarawak
Tak Perlu Swab Sebelum Masuk, Ini Tatacara Terkini Memasuki Sarawak Yang Anda Perlu Tahu. Bagi anda yang ingin memasuki Sarawak, adalah amat penting untuk anda sentiasa mengetahui apa tatacara terkini untuk memasuki Sarawak.
Harus diingat juga, tatacara untuk memasuki Sarawak sentiasa berubah ubah mengikut polisi semasa yang ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak. Untuk tatacara terkini yang dikeluarkan pada 20 Mac 2021, kini anda tidak perlu lagi mengambil ujian saringan COVID19 yang sebelum ini perlu diambil 3 hari sebelum memasuki Sarawak (bermula 22 Mac 2021). Walau bagaimanapun, kuarantin 14 hari masih lagi diwajibkan di Sarawak bagi mana mana rakyat marhaen yang tiba dari luar Sarawak.
Jadi dalam artikel kali ini, kami kongsikan tatacara terkini selepas pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak pada 20 Mac 2021. Jika anda perlu untuk memasuki Sarawak, anda boleh mengikut langkah langkah yang kami kongsikan ini.
1.Semak penerbangan yang dibenarkan di laman sesawang MOT Sarawak
Adalah sangat penting untuk anda menyemak penerbangan yang dibenarkan sebelum membeli tiket di laman sesawang syarikat penerbangan. Hanya penerbangan masuk yang ada di dalam jadual MOT Sarawak yang akan dibenarkan masuk dan banyak kes sebelum ini ramai yang membeli tiket penerbangan tanpa menyemak jadual ini dan akhirnya mereka terpaksa berhadapan dengan isu penerbangan yang dijadualkan semula ataupun dibatalkan terus.
Berdasarkan jadual terkini yang telah dikeluarkan sejak bulan Januari yang lalu, hanya penerbangan dari Kuala Lumpur yang dibenarkan masuk ke Sarawak melalui Kuching, Sibu dan Miri. Sementara itu, penerbangan dari Kota Kinabalu pula hanya dibenarkan masuk ke Limbang. Jadual tersebut boleh dirujuk di gambar rajah di bawah.
2. Beli Tiket Penerbangan Hanya Melalui Laman Sesawang Rasmi Syarikat Penerbangan
Langkah ini juga anda penting supaya anda tidak perlu menghubungi syarikat penerbangan melalui orang tengah seperti agen atau mana mana Online Travel Agency (OTA). Dalam situasi di mana jadual penerbangan mungkin berubah kerana polisi yang ditukar dari semasa ke semasa, amat penting untuk anda dapat berhubung terus dengan syarikat penerbangan anda.
3. Jangan beli tiket untuk penerbangan berbulan bulan dari tarikh penerbangan
Memandangkan polisi dan juga jadual penerbangan berkemungkinan untuk berubah dari semasa ke semasa, kami sarankan anda untuk mengelakkan perancangan yang dilakukan berbulan bulan dari tarikh penerbangan. Situasi semasa yang sentiasa berubah ubah boleh menyebabkan tiket yang anda beli ditukar tarikh atau dibatalkan. Berdasarkan pengalaman kami sendiri sebelum ini, kami hanya membeli tiket penerbangan kurang dari seminggu sebelum perjalanan dan kami tidak mengalami apa apa isu tiket ditukar dan sebagainya.
4. Pastikan dokumen yang hendak dimuat naik di enterSarawak adalah cukup
Ini adalah langkah yang sangat penting jika anda tidak mahu mengalami masalah. Untuk tujuan ini juga kami sarankan anda untuk menggunakan komputer atau komputer riba. Pastikan anda telah menamakan dokumen dokumen yang diminta sebaiknya agar lebih mudah untuk difahami dokumen apa yang telah anda muat naik. Antara dokumen yang anda mesti sediakan adalah :
1. Surat kebenaran rentas negeri dari Polis
2. Salinan kad pengenalan
3. Surat pengesahan majikan ( Sekiranya berkaitan urusan kerja, telah dibuang kerja dan sebagainya )
4. Apa apa dokumen boleh menyokong permohonan anda untuk memasuki Sarawak.
Harus diingat bahawa anda hanya boleh memasuki Sarawak sekiranya mempunyai sebab yang dibenarkan dan bukan untuk bercuti santai.Jangan pula anda cuba menipu dan apabila kantoi nanti, anda pula mengamuk tidak tentu hala.
Setelah anda menghantar permohonan, satu emel akan dihantar kepada anda untuk mengesahkan anda telah menghantar permohonan. Selepas permohonan anda telah disemak pula, satu lagi emel akan dihantar bagi memaklumkan sama ada permohonan anda diterima atau ditolak. Anda juga boleh menghubungi SDMC melalui mana mana nombor yang terdapat di laman sesawang rasmi SDMC dipautan ini : https://sarawakdisastermc.com/
5. Hadir awal ke lapangan terbang
Proses untuk daftar masuk di lapangan terbang akan mengambil sedikit masa kerana pihak syarikat penerbangan akan menyemak setiap dokumen berkaitan seperti surat kebenaran polis, surat kebenaran masuk ke Sarawak dan sebagainya. Oleh itu, kami sarankan anda agar hadir lebih awal bagi mengelakkan sebarang masa. Berdasarkan pengalaman kami balik ke Sarawak pada tengah bulan Februari yang lalu, pastikan juga anda bersabar dan menjaga jarak sebaiknya ketika memasuki pesawat. Jangan pula anda berebut untuk masuk dan akhirnya dijangkiti kerana bersesak masuk ke dalam pesawat.
6. Bawa bekalan mencukupi untuk kuarantin
Kuarantin, bukan kuarintin atau kurintin. Setibanya anda di Sarawak anda akan ditempatkan di pusat kuarantin yang ditetapkan. Anda juga tidak boleh memilih pusat kuarantin. Jika anda bernasib baik, anda akan mendapat hotel yang selesa dan jika anda kurang bernasib baik pula, anda akan dapat hotel yang kurang selesa. Bagi tujuan kuarantin juga, pastikan anda membawa bekalan pakaian yang mencukupi. Bagi yang membawa anak anak kecil pula, pastikan bekalan untuk anak kecil anda cukup. Sekiranya anda mempunyai keperluan untuk mendapatkan keperluan dari luar, anda hanya dibenarkan untuk menerima bekalan pada pukul 12 tengah hari dan 5 petang setiap hari. Jadi jika makanan di hotel tidak menepati cita rasa anda, anda boleh mendapatkan bekalan makanan dari GrabFood atau FoodPanda pada waktu yang telah ditetapkan.
7. Jaga adab sepanjang dikuarantin
Kuarantin bukanlah satu proses untuk anda bercuti. Ada juga mereka yang balik ke Sarawak dan dikuarantin di pusat kuarantin dan masih perlu bekerja. Oleh itu, jagalah adab dan janganlah terlalu bising sehingga menganggu jiran jiran anda di pusat kuarantin. Anda juga akan dihubungi oleh pihak berkuasa untuk tujuan swab pada hari yang telah ditetapkan jadi pastikan juga anda menepati masa yang telah ditetapkan.