Tidak lagi beroperasi di Jalan Pending, Kuching
Tamatkan Operasi Di Kuching, Puspakom Bakal Berpindah Ke Kota Samarahan Bermula 1 Ogos Ini. Puspakom Sdn Bhd Kuching (Puspakom Kuching) akan memindahkan operasinya ke cawangan Puspakom Kota Samarahan mulai 1 Ogos ini.
Ibu pejabat Puspakom mengeluarkan pernyataan bahawa operasi Puspakom Kuching akan berakhir pada 27 Julai.
Pelanggan boleh membuat temujanji dalam talian bagi pemeriksaan kenderaan mereka di Puspakom Kota Samarahan di www.mypuspakom.com.my bermula 15 Julai.
Terletak di Pusat Perindustrian Kota Samarahan (Perluasan), Puspakom Kota Samarahan mempunyai keluasan empat ekar dan boleh menjalankan semua jenis pemeriksaan kenderaan untuk kenderaan komersial dan persendirian.
“Pusat pemeriksaan ini dapat menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik dengan kehadiran lima lorong pemeriksaan untuk menampung kapasiti kenderaan yang lebih tinggi, iaitu sejumlah 500 kenderaan sehari.
“Selain itu, pelanggan boleh mendapatkan kemudahan pembaharuan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan) di kaunter yang disediakan selepas menyelesaikan pemeriksaan kenderaan.
“Ini selaras dengan aspirasi Puspakom untuk menjadikannya pusat tunggal bagi semua perkara berkaitan kenderaan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” kata pernyataan itu.
Puspakom juga mengingatkan pemilik kenderaan yang sijil pemeriksaan kenderaan mereka akan tamat di antara 28 dan 31 Julai agar segera membuat persiapan untuk memeriksa kenderaan mereka di Puspakom Kuching sebelum operasi ditamatkan.
