Tiga kes kematian baharu yang dicatat hari ini melibatkan jangkitan COVID-19 di Sibu.
TERKINI: 3 Kes Kematian Dilaporkan Hari Ini Di Sarawak, 84 Kes Positif Baharu. Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), hari ini terdapat tiga (3) kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19 di Sibu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 53 kes.
Manakala terdapat 84 kes positif COVID-19 yang dikesan di Sarawak [Sibu (24), Song (23), Miri (10), Bintulu (9), Julau (5), Kapit (4), Bau (2), Pakan (2), Sri Aman (2), Samarahan (1), Lundu (1) and Sarikei (1)] menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 5,760 kes.
3 kes kematian pada hari ini
Kes kematian ke-51 merupakan kes ke-2,584 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 74 tahun yang telah dimasukan ke Hospital Sibu apabila saringan bergejala di klinik kesihatan dengan ujian rT-PCR adalah positif COVID-19 pada 25 Januari 2021. Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 07 Februari 2021.
Kes kematian ke-52 merupakan kes ke-5,103 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 60 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas, batuk, demam, lemah badan dan kurang selera makan.
Ujian saringan rt-PCR adalah positif COVID-19 pada 04 Februari 2021. Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 08 Februari 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.
Kes kematian ke-53 merupakan kes ke-2,408 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 89 tahun yang telah dimasukan ke Hospital Sibu apabila saringan kontak rapat dengan ujian rT-PCR adalah positif COVID-19 pada 19 Januari 2021.
Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 08 Februari 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia.
Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.
Daerah Lubok Antu dan Telang Usan telah kembali berstatus Hijau dari status Kuning
Hari ini, Daerah Lubok Antu dan Telang Usan telah kembali berstatus Hijau dari status Kuning setelah tiada kes jangkitan tempatan direkodkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Daerah Samarahan dan Subis pula telah kembali berstatus Kuning daripada status Jingga setelah merekodkan masing- masing 17 dan 18 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Daerah Lundu, Beluru, Kapit, Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah
Daerah Lundu, Beluru, Kapit, Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah dengan sejumlah 1,927 kes jangkitan tempatan dilaporkan di sembilan (9) buah daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Daerah Kuching, Selangau, Sri Aman, Matu dan Bau kekal berstatus Jingga dengan 125 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Daerah Betong, Saratok, Sarikei, Daro, Sebauh, Lawas, Bukit Mabong, Tatau, Pakan, Serian, Belaga, Meradong, Julau dan Simunjan kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 112 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Manakala 10 daerah lain kekal berstatus Hijau.
