Tertuduh dirujuk ke Pakar Psikiatri di Hospital Kota Sentosa untuk pemerhatian selama sebulan.
Tikam Bekas Isteri Guna Pisau, Seorang Lelaki Dari Kuching Mengaku Tidak Bersalah. Dilaporkan bahawa, seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau pada bulan Oktober lalu.
Hukuman penjara maksimum selama 20 tahun
Pengakuan tersebut dibuat oleh Aloysius Sinclair Eden berusia 35 tahun, sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Sama, oleh jurubahasa mahkamah. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 21 Oktober lalu, lebih kurang jam 8.30 malam di tempat letak kereta berhampiran sebuah gereja di Jalan Batu Kawa, Kuching.
Difahamkan bahawa, mangsa dan tertuduh sedang membincangkan masalah di antara mereka sebelum tertuduh naik berang dan bertindak menikamnya menggunakan sebilah pisau. Akibat kejadian itu juga, mangsa dilaporkan mengalami beberapa kesan tikaman di belakang badan, luka di kepala dan leher.
Sebaik pengakuan direkodkan, Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan tertuduh dirujuk ke Pakar Psikiatri di Hospital Kota Sentosa untuk pemerhatian selama sebulan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Hal ini kerana, ahli keluarga tertuduh memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai masalah mental.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga mengaku tidak bersalah
Mahkamah juga menetapkan kes disebut semula pada 10 Disember depan. Dalam pada itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam juga mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan pada hari kejadian.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali kemudian menetapkan kes disebut semula pada 8 Disember depan. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
