Semoga mangsa segera ditemukan
Netizen Sebak Lihat Perkongsian Isteri Mangsa Tragedi Bot Karam Di Kapit. Anis Nur Ezzati, isteri kepada salah seorang mangsa bot karam di Kapit, Kuching, Sarawak pada 7 Mac lepas, telah meluahkan rasa hiba dan sedih terhadap kejadian malang yang menimpa suaminya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad, Anis Nur Ezzati merayu doa dari orang ramai bagi suaminya, Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 27 tahun, yang masih belum ditemui sehingga kini.
“Dah takdir hari ini tak jumpa awak lagi, tapi tak apa, sayang. Awak tunggu okay, Iskandar Zulkarnain. Terus doakan syurga saya ya semua. Terima kasih yang tak berhenti berdoa. Hanya ALLAH yang dapat membalas,” luahnya.
Kisah sedih Anis Nur Ezzati itu dikongsikan beberapa hari sebelum menjelang bulan Ramadan pada Selasa ini.
Sebelum ini, dua mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, telah ditemui lemas pada Sabtu lalu.
Jurucakap Pusat Gerakam Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyatakan bahawa mayat pertama, Jack Balan ditemui terapung oleh anggota polis di perairan berdekatan Pulau Kerto, Sibu pada kira-kira pukul 10 pagi.
Mayat kedua, Sarjan Jonathan Lambet dikatakan kemudiannya ditemui terapung oleh anggota bomba pada pukul 4.02 petang kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam di Sungai Batang Baleh pada hari yang sama.
Selain itu, mayat seorang lagi mangsa, Amerson John Nain ditemui terapung di Sungai Batang Lebaan, Sibu pada Ahad.
Dalam kejadian tragis itu, bot tersebut dinaiki lima individu yang karam di Sungai Batang Baleh berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.
Semasa kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.
Walaupun demikian, seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi masih hilang dihanyutkan arus deras.
Namun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi Konstabel Iskandar dilaporkan masih berjalan oleh pasukan penyelamat.