Kucing makan guna ‘tangan’, netizen dakwa mungkin anak Putera Raja yang disihir?
Level Profesional, Tular Kucing Makan Guna Tangan Raih Perhatian Netizen. Siapa sangka, kucing yang biasanya dikenali dengan kecomelan dan keletah manjanya, sebenarnya mampu makan menggunakan ‘tangan’ macam manusia.
Tak percaya? Baru-baru ini, satu video yang menunjukkan seekor kucing menggunakan kaki depannya untuk mengambil makanan dan memasukkannya ke dalam mulut telah tular di media sosial.

Menerusi perkongsian di laman X, rata-rata netizen teruja melihat kehebatan si bulus berwarna kelabu hitam ini dalam menggunakan ‘tangan’ untuk menikmati makanannya.
Bukan itu sahaja, ada yang berseloroh, mengatakan kucing ini mungkin sebenarnya seorang putera raja yang telah disihir.
“Saya rasa kucing ini anak putera raja yang disihir. Cuba awak cium mulut dia dengan ikhlas, tengok bertukar ke tak,” seloroh seorang netizen, menurut sumber.
“Tiba-tiba rasa seram sebab dia siap perhati keadaan sekeliling dahulu sebelum makan macam manusia,” kata seorang netizen lagi.
Tak Mustahil, Kucing Memang Bijak
Sebenarnya, kalau kita buat carian di Google, kucing makan menggunakan kaki hadapan bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa.
Kucing sememangnya haiwan pintar dan boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. Ada yang belajar teknik makan seperti itu secara semula jadi, dan ada juga yang meniru tingkah laku manusia atau haiwan lain.
Jadi, kalau lepas ni nampak kucing anda makan guna ‘tangan’, jangan terkejut. Mungkin dia sedang mengasah skil baru untuk bersaing dengan kita di meja makan.

