Tumpang gembira tengok atlet kita bersemangat dan teruja di Olimpik Paris
Teruja Unboxing Telefon Pintar Olimpik, Vlog Penerjun Sarawak Tarik Perhatian Netizen. Atlet Malaysia pertama yang melayakkan diri secara merit ke Olimpik Paris 2024, Bertrand Rhodict menarik perhatian ramai apabila beliau memuat naik vlog hari pertama sebaik tiba di Paris.
Video yang kini tular di laman TikTok tersebut memaparkan pengalaman ringkasnya sebaik tiba di kota cinta itu untuk kejohanan sukan paling berprestij di dunia.

Atlet Olimpik dapat kejutan telefon pintar Samsung
Atlet terjun yang berasal dari Kuching, Sarawak itu kelihatan sangat teruja menghadapi kejohanan tersebut. Apatah lagi, dalam video yang sama, beliau turut membuka kemasan kotak telefon pintar Samsung Z Flip berona kuning yang dihadiahkan buat semua atlet Olimpik.
Dalam kapsyen video tersebut, Bertrand juga bertanya kepada audiens tentang apakah perkara yang mereka mahu lihat sepanjang beliau berada di sana.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mahukan Bertrand untuk kerap memuat naik pengalamannya di Paris selain ingin melihat perkampungan sukan atlet Malaysia di Paris.
Tidak kurang ada juga yang menasihati netizen lain agar tidak terlalu menekan atlet berkenaan dan memberi semangat agar Bertrand kekal fokus menjelang kejohanan.

Turut kelihatan dalam video berkenaan adalah Nur Dhabitah Sabri, penerjun negara yang turut layak ke OIimpik Paris 2024 menerusi kuota lebihan yang tidak digunakan oleh atlet negara lain yang diberikan oleh Badan Akuatik Dunia (FINA).
Bertrand bakal membawa cabaran tunggal Malaysia dalam acara terjun 10 meter platform
Untuk makluman, Olimpik Paris 2024 merupakan Olimpik pertama yang disertai oleh Bertrand pada usianya kini mencecah 19 tahun. Bukan itu sahaja, beliau telah diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif semasa acara pembukaan sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai 2024.
Beliau akan berentap dalam acara terjun 10 meter platform yang bakal berlangsung pada 9 Ogos, jam 4 petang waktu Malaysia. Selamat maju jaya buat Bertrand dan semua atlet Malaysia!

