Jangan lepaskan peluang ini! Ajak ibu bapa atau datuk nenek anda dan pastikan mereka mendapat perlindungan tambahan
Jangan Lepaskan Peluang, Vaksin Influenza Percuma Untuk Warga Emas Di Sabah. Jika anda atau ibu bapa anda berusia 60 tahun ke atas, ada berita baik untuk anda. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menawarkan vaksin influenza secara percuma di Sabah khusus untuk warga emas.
Menurut Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Maria Suleiman, program vaksinasi ini telah bermula sejak 18 Februari dan sangat digalakkan untuk mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis komorbiditi.

Siapa yang patut ambil vaksin ini?
Dr Maria menjelaskan bahawa individu yang menghidap penyakit seperti berikut lebih berisiko untuk dijangkiti virus influenza dan mungkin mengambil masa lebih lama untuk sembuh:
Penyakit seperti berikut perlu mengambil vaksin influenza:
- Diabetes
- Penyakit pernafasan
- Masalah jantung
- Obesiti
- Hipertensi (darah tinggi)
- Dislipidemia (kolesterol tinggi)
- Penyakit buah pinggang kronik
Mereka juga lebih berisiko mengalami komplikasi serius akibat virus ini. Jadi, jika anda atau orang tersayang termasuk dalam kategori ini, lebih baik ambil langkah berjaga-jaga sekarang.
Kenapa vaksin influenza penting?
Menurut Dr Maria, vaksin tahunan ini bukan sahaja mengurangkan risiko dijangkiti tetapi juga membantu mengurangkan beban kesihatan pada tubuh.
Dengan meningkatkan imuniti, ia bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga orang lain di sekeliling kita, seterusnya meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan masyarakat.
Di mana boleh dapatkan vaksin ini?
Warga emas di Sabah boleh mendapatkan suntikan vaksin influenza percuma ini di klinik kesihatan terlibat di seluruh negeri.
Jadi, jangan lepaskan peluang ini. Ajak ibu bapa, datuk nenek atau saudara-mara anda untuk mendapatkan perlindungan tambahan terhadap influenza sekarang. Kesihatan mereka, tanggungjawab kita bersama.

