Pingat emas diberikan kepada atlet dari Ukraine, Maksym Koval.
“Ziyad Tetap Pemenang Emas Di Hati Malaysia”, Ini Kronologi Pembatalan Pingat Emas Ziyad Zolkefli. Atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli baru sahaja mencipta fenomena di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila berjaya merangkul pingat emas kedua buat kontinjen negara. Beliau membuat lontaran sejauh 17.94 meter untuk mengalahkan pencabar terdekat dari Ukrain, Koval Maksym dan Oleksandr Yarovyi.
Lebih membanggakan, Ziyad turut memecahkan rekod lontar peluru atlet normal kebangsaan yang dipegang oleh Adi Aliffudin Hussin iaitu 17.53 meter serta rekod Sukan SEA 2011 iaitu 17.74 m yang dicatatkan oleh Chatchawal Polyiam, atlet Thailand.
Namun demikian, khabar dukacita diterima dari gelanggang trek itu kelmarin apabila kedudukan pingat emas Ziyad tidak diiktiraf oleh jawatankuasa Paralimpik Tokyo 2020. Lebih mengecewakan, penyertaan Ziyad dalam acara ini juga dianggap dibatalkan apabila pihak jawatankuasa penganjur menerima protes yang dikemukakan oleh pasukan Ukraine.

Tiba lewat 2 minit jadi pertikaian kem Ukraine
Menurut protes yang dikemukakan oleh pasukan Ukraine, Ziyad bersama atlet lontar peluru Australia dan Ecuador tiba lewat ke call room sebelum pertandingan bermula. Bantahan tersebut didakwa dikemukakan sebelum acara bermula. Namun, menurut peraturan World Athletic Para, atlet yang menerima protes dibenarkan untuk bertanding manakala keputusan sama ada protes diterima atau tidak boleh diputuskan selepas tamat acara.
Berikut adalah kronologi lengkap kejadian kontroversi ini berdasarkan hantaran yang dimuat naik oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Ti Lian Ker di laman Facebook nya.
1. Ziyad, termasuk atlet Australia dan Ecuador berada di trek latihan dan bergerak memasuki call room pada waktu panggilan iaitu jam 5.55 petang waktu Tokyo.
2. Ekoran daripada keadaan hujan selain kawasan tersebut sesak dengan atlet daripada acara lain, ketiga-tiga atlet ini terhalang untuk memasuki call room. Ini menyebabkan mereka mengalami kelewatan selama 2 minit dan keadaan tersebut didakwa sebagai lewat melaporkan diri oleh kem Ukraine.
3. Pegawai dari Ukraine membuat bantahan lisan (belum rasmi) tentang situasi itu dan memberitahu bahawa ketiga-tiga atlet itu termasuk Ziyad sepatutnya tidak dibenarkan untuk untuk masuk ke call room. Namun demikian, setelah ketiga-tiga atlet ini membuat rayuan, mereka dibenarkan bertanding secara bersyarat (under protest) seperti yang terkandung dalam peraturan.

4. Semasa acara berlangsung, pegawai Malaysia menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan Ziyad, atlet Australia dan Ecuador. Pengadil pertandingan memutuskan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlet tersebut diklasifikasikan sebagai bersyarat dan sebarang keputusan akan dicatatkan sebagai DNS (Did Not Start). Pegawai Malaysia, Ecuador dan Australia akan diminta hadir sekiranya mahu membuat rayuan terhadap keputusan pengadil itu. Pada waktu ini, Ziyad telah pun memecahkan rekod seperti yang ditonton oleh masyarakat dunia.

5. Kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman bersama delegasi dari Australia dan Ecuador telah mengemukakan penjelasan dan membuat rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pertandingan Para Olahraga. Mereka sedaya upaya memberikan justifikasi termasuk bukti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dengan harapan agar penyertaan dan catatan yang dibuat oleh ketiga-tiga atlet tersebut dipertimbangkan. Malah, situasi yang membawa kepada bantahan Ukraine ini bukanlah sesuatu yang disengajakan dan mereka dibenarkan untuk bertanding.
6. Namun demikian, keputusan Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang mengiyakan kesalahan yang dilakukan oleh ketiga-tiga atlet terbabit. Paralimpik Tokyo 2020 tetap mengiktiraf Maksym Koval sebagai pemenang emas.
7. Ketua kontinjen Malaysia meneruskan rayuan Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kontinjen pagi tadi. Namun, keputusan tetap memihak kepada Ukraine. Sekali lagi, pemenang pingat emas masih kekal dipegang oleh Maksym Koval sehingga ke acara penyampaian pingat.


8. Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) untuk mempertimbangkan semula rayuan penyertaan dan catatan atlet daripada ketiga-tiga negara termasuk Ziyad diiktiraf sebagai rekod rasmi acara lontar peluru F20 Para Olahraga Paralimpik Tokyo 2020. Namun, bantahan hanya boleh dibuat selepas temasya berakhir. Sementara itu, Malaysia dan Ziyad terpaksa menerima keputusan sedia ada acara tersebut buat masa ini.
Salam semua ! Maklumat terkini dari kontinjen Malaysia di Tokyo.Sebagaimana maklum bahawa keputusan pertandingan Shot…
Posted by Ti Lian Ker on Tuesday, August 31, 2021
Pemuda berasal dari Gombak, Selangor ini membuat permohonan maaf melalui Instastory nya pagi tadi sejurus selepas keputusan pingat emas tidak akan kembali padanya.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia tetap mengiktiraf kejayaan Ziyad yang disaksikan oleh masyarat seluruh dunia. Memang benar, dengan semangat dan keazaman yang ditunjukkan oleh Ziyad sewaktu berada di gelanggang, emas tetap milik Muhammad Ziyad Zolkefli. Syabas dan tahniah, Ziyad!
