Filem ini dikatakan telah mendapat 20 pengiktirafan anugerah di peringkat antarabangsa. Tapi, mengapa?
Filem Belaban Hidup Terima Kritikan ‘Berani Mati’, Kenapa Sampai Dilabel Sampah Dan Scam? Filem indie tempatan yang menerima banyak pengiktirafan, Belaban Hidup : Infeksi Zombie telah pun ditayangkan di Astro First untuk tatapan rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan. Filem tersebut mula ditayangkan di platform tersebut pada Sabtu, 28 Ogos yang lalu. Namun demikian, rata-rata yang menonton filem ini meluahkan kekecewaan.
Kegagalan filem ini disuarakan sendiri oleh pengkritik filem tanah air, ZhafVlog melalui pandangannya di saluran Youtube. Kritikan yang dilontarkan oleh Zhaf merangkumi pelbagai aspek sesebuah filem seperti teknikal, plot, sinematografi, lakonan, skrip dan beberapa kritikan secara menyeluruh. Filem ini dilabelkan sebagai sebuah filem ‘sampah’ oleh penonton filem seperti Zhaf kerana jalan cerita yang tidak masuk akal, sinematografi yang tidak konsisten, lakonan pelakon yang kaku dan skrip yang tidak semulajadi.
Lebih menyakitkan hati, karya ini telah dicanang sebagai sebuah filem yang telah memenangi banyak anugerah di peringkat antarabangsa namun hasilnya sekadar indah khabar dari rupa.
Pengarah filem tak puas hati
Namun demikian, kelantangan pengkritik filem ini dibalas semula oleh pengarahnya filem Belaban Hidup, Ray Lee yang menyifatkan cara Zhaf menyuarakan pandangan itu adalah kasar dan tidak sesuai. Bukan itu sahaja, Ray juga seolah-olah menegakkan benang yang basah apabila menyuruh Zhaf memeriksa sendiri anugerah yang dimenanginya bagi membuktikan bahawa karyanya benar-benar diiktiraf oleh masyarakat luar negara.
Tidak lama kemudian, beredar tangkap layar WhatsApp yang memperlihatkan perbualan Ray Lee dengan komuniti pembikin filem di Sarawak. Daripada tangkap layar itu, Ray Lee didapati telah melaporkan video kritikan filem ZhafVlog ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana didakwa menggunakan kata-kata kesat. Namun demikian, kebanyakan ahli komuniti mengecam tindakan pengarah tersebut yang tidak matang kerana tidak dapat menerima kritikan.
Ray Lee telah melaporkan video @zhafvlog yang review filemnya, ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ kepada SKMM.
— Zain Azrai (@ZainAzraiTweets) August 30, 2021
Sampai bila pembikin filem Malaysia mahu menindas hak reviewer dan penonton untuk bersuara? pic.twitter.com/8ErDNOHEOD
Seorang lagi pengkritik filem, Mat Don memberitahu di laman Youtube nya bahawa filem ini diakui mempunyai banyak kekurangan. Antaranya ialah terlalu banyak plotholes, perkembangan watak, dan isi penting yang lebih kurang sama seperti pendapat yang diutarakan oleh ZhafVlog.
Mengakui bahawa beliau menyertai sesi bual bicara menerusi Clubhouse bersama Ray Lee semalam, Mat Don mendedahkan bahawa pengarah ini seolah-olah carca marba apabila terlepas cakap ‘tidak tahu sudut kamera’ semasa merakamkan watak Altimet membuat tendangan. Itu menyebabkan watak tersebut sangat kaku dan babak itu seolah-olah tidak hidup.
Sikap Ray Lee ditegur oleh pengarah Indonesia, Joko Anwar
Sikap pengarah yang tidak dapat menerima kritikan ini juga mengundang komen teguran daripada pengarah tersohor Indonesia iaitu Joko Anwar. Malah, beliau juga memberi pesanan kepada pengkritik filem ini untuk memberi komen sejujurnya dan pedas jika filem yang dibuat olehnya adalah sebuah filem yang teruk.
Tambah Joko lagi, setiap penonton juga mempunyai hak untuk memberi pendapat setelah mereka menonton sesebuah filem. Jika seseorang pengarah filem tidak mampu menghadapi kritikan penonton, lebih baik filem itu disimpan di dalam peti besi dan tidak patut ditunjukkan kepada manusia.
Untuk makluman, Joko Anwar merupakan pengarah filem pecah panggung Pengabdi Setan (2017) yang telah mendapat review daripada pengkritik film majalah Amerika, TIME dan The Hollywood Reporter.

Selain itu, Aziz M. Osman yang merupakan pengarah untuk filem evergreen seperti Senario XX juga pernah mendapat kritikan dengan label ‘sampah’ untuk filem terbarunya iaitu XX RAY 3. Namun, kritikan tersebut juga dibalas dan diterima dengan terbuka oleh sutradara berpengalaman itu.

Kedua-dua pendapat ini dibandingkan oleh Zhaf sendiri di laman Twitter nya. Ia sekaligus mencerminkan kematangan pembikin filem di kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
Malaysia Indonesia pic.twitter.com/ic14qv6Rr2
— ZHAFVLOG | #MencariRahmat (@zhafvlog) August 31, 2021
Membongkar kebobrokan anugerah filem antarabangsa
Tidak cukup dengan itu, kesahihan anugerah filem Ray Lee ini juga diragui oleh orang ramai. Bagi mereka yang tidak tahu, daripada lautan festival filem ini, hanya beberapa sahaja yang benar-benar mendapat akreditasi untuk layak dicalonkan ke anugerah tertinggi seperti Oscars, BAFTA, Canadian Screen Awards atau pun Europian Screen Awards. Setakat ini, terdapat 177 sahaja festival di seluruh dunia yang mendapat akreditasi. Contohnya adalah seperti berikut;



5 festival filem teratas yang diiktiraf oleh komuniti pembikin filem di peringkat antarabangsa adalah seperti ;
- Festival de Cannes
- Sundance Film Festival
- Toronto International Film Festival (TIFF)
- Venice Film Festival
- Berlin International Film Festival
Menurut laman sesawang medium.com, selain daripada festival besar dan diakreditasi seperti yang telah disebutkan tadi, majoritinya adalah festival filem ‘scam’ yang hanya mengaut keuntungan daripada yuran pencalonan pembikin filem yang mencalonkan filem ke anugerah mereka. Festival scam ini boleh dicari dengan mudah di platform penghantaran pencalonan festival, FilmFreeway.com.

Filem-filem yang dihantar ini pula tidak ditayangkan kepada khalayak umum, tetapi sebaliknya hanya sekadar dilakukan penjurian rahsia. Hakim yang menilai kualiti filem juga tidak pernah didedahkan. Malah, kriteria pemenang, kaedah penjurian, itu semua ibarat rahsia yang terkunci rapat. Tiada siapa yang tahu termasuklah pembikin filem yang menghantar filem mereka ke anugerah itu. Tugas penganjur pula adalah untuk menyiapkan satu poster kemenangan yang boleh pembikin filem ini banggakan di laman sosial media. Kalau nak nampak lebih gah, tempah trofi dan hantar kepada pemenang. Begitu rupanya kitaran industri filem yang selama ini tidak kita ketahui.
Rakyat Malaysia kena ‘scam’?
Untuk filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie ini, seorang netizen di Twitter, @ELMIELMO, juga membongkar kebobrokan anugerah yang diperolehi oleh pengarahnya iaitu Ray Lee. Jika anda perhatikan akaun instagram festival filem yang disertainya, kewujudan festival filem ini begitu diragui kredibilitinya. Jumlah pengikutnya yang tidak masuk akal, ditambah pula dengan laman sesawang yang meragukan. Malah, ada yang menganjurkannya secara bulanan.
Ditambah pula pada musim pandemik yang membataskan perjalanan ke luar negara, festival filem dalam talian ini menjadi tempat untuk para pembikin filem mengambil kesempatan untuk menaikkan ‘nilai’ filem mereka sebelum ditayangkan kepada penonton lokal.
Dalam ruangan komen Zhafvlog, pengarah/producer dia koyak reply komen orang cakap anugerah yang dia menang semua legit.
— Elmi 🏴 (@ELMIELMO) August 30, 2021
Aku pun Google. Banyak “anugerah” tu sebenarnya cuma “Official Selection” je. Bukan menang pun. Scam gila!
Filem Seram Terbaik di International Symbolic & Art Film Festival.
— Elmi 🏴 (@ELMIELMO) August 30, 2021
Yang ni kelakar. Official IG ambil petikan Astro Awani letak dekat highlights "Media". Dan cuma ada satu je posting dalam highlights tu.
Tak percaya? Tekan sini; https://t.co/tUTPfQz59l




Namun demikian, terdapat satu pujian yang diberikan daripada keseluruhan aspek filem ini iaitu lakonan cemerlang pelakon utamanya, Pablo Amirul. Walau bagaimanapun, peranan yang dipikul oleh Pablo ini tidak mampu menyelamatkan kelemahan lain dalam filem ini daripada kaca mata penonton.
Nilai sendiri
Dalam isu ini, ketepikan semangat kenegerian atau prasangka buruk. Sebagai penonton yang bijak, tonton dan nilai semula filem ini di platform penyiar rasmi iaitu Astro First. Laburkan RM 15 anda bagi mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan kedua-dua pihak.
Adakah benar ia adalah sesuatu yang sepadan seperti gempaknya kemenangan filem ini memenangi anugerah di peringkat antarabangsa atau memang benar ia hanyalah sebuah filem picisan yang indah khabar dari rupa? Pembikin filem harus berani menelan segala tohmahan dan kekurangan filem kerana tujuan asal filem dibuat adalah untuk tontonan audiens. Pengkritik filem juga harus berani menyuarakan kekurangan filem dari semasa ke semasa agar industri dapat diperbaiki. Pujian dan kredit di tempat yang sepatutnya, kritikan di tempat yang perlu diperbaiki.
Alasan “kalau tak suka, cuba buat sendiri” adalah sebuah alasan yang basi dan enabler kepada pemangsa industri yang tidak mahu berkembang dan mengakui kelemahan.
Jika audiens tidak terpaku dan tidak memahami mesej yang ingin disampaikan, jelas sekali bahawa filem tersebut tidak lebih daripada sekadar filem syok sendiri. Lebih parah jika ia menggunakan dana kerajaan, ia tentunya sebuah pembaziran yang boleh dilaburkan kepada pembikin filem yang mempunyai idea yang lebih segar dan berkualiti tinggi.