Berpotensi untuk beraksi mewakili negara dan di peringkat antarabangsa
Kenali 3 Atlet Muda Ragbi Sarawak Yang Sedang Meningkat Naik. Baru-baru ini, pasukan ragbi wanita Sarawak telah mencipta sejarah apabila berjaya melangkah ke peringkat akhir SUKMA Sarawak 2024 dan meraih pingat perak. Pasukan ragbi Sarawak amnya juga telah melahirkan beberapa atlet ragbi muda yang menunjukkan potensi luar biasa dalam arena sukan ini. Malah, ada juga yang pernah dilamar untuk bermain untuk liga ragbi luar negara!
Masa depan sukan ragbi Sarawak juga tampak menarik untuk disoroti. Dalam artikel kali ini, kami ingin memperkenalkan kepada anda tiga atlet muda yang sedang meningkat naik dan berpotensi untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan, terutamanya di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Let’s go.
1. Vanessa Nyalo David – Pemain Forward Wanita yang Berbakat

Vanessa Nyalo David merupakan atlet ragbi wanita yang baru berusia 19 tahun, namun telah menunjukkan prestasi yang membanggakan sebagai pemain ‘forward’. Pencapaian terkini beliau termasuklah:
- Penyertaan dalam Sukma Sarawak 2024
- Penyertaan dalam World School Festival U18
- Penyertaan dalam National 7s 2023
Selain kemahiran dalam ragbi, Vanessa juga berbakat dalam bidang nyanyian. Aspirasi beliau adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dalam sukan ragbi bagi menjadi atlet terbaik pada masa hadapan.
2. Zaxcheus Arthur – Fly Half Muda yang Berpotensi Besar

Walaupun baru berusia 13 tahun, Zaxcheus Arthur telah menunjukkan kebolehan yang mengagumkan sebagai pemain ‘fly half’. Pencapaian beliau termasuk membantu pasukan ragbi Bintulu untuk meraih gelaran:
- Johan Bintulu 10’S 2023
- Naib Johan MSS Sarawak 2023
Selain ragbi, Zaxcheus juga gemar membaca, yang mungkin menyumbang kepada kemahiran strateginya di padang. Impian Zaxcheus adalah untuk mewakili Malaysia dalam sukan ragbi pada suatu hari nanti.
3. Marcell Alron Sanggau anak Sadie – Prop Muda dengan Visi Besar

Marcell Alron Sanggau anak Sadie, berusia 14 tahun, telah mula menunjukkan potensinya sebagai pemain prop. Pencapaian beliau termasuk:
- Juara Plate Hornbill 7S 2023 (Kategori Bawah 15 tahun)
- Tempat Keempat Bintulu 10’S (Kategori Bawah 18 tahun)
Selain kemahiran dalam ragbi, Marcell juga berbakat dalam bidang nyanyian. Aspirasi beliau bukan sahaja untuk bermain di peringkat tinggi, tetapi juga untuk memupuk budaya sukan ragbi dalam komuniti masyarakat di Sarawak. Beliau juga berharap dapat mewakili Malaysia pada masa hadapan.
Masa depan yang cerah untuk ragbi Sarawak
Dengan adanya bakat-bakat muda seperti Vanessa, Zaxcheus, dan Marcell, masa depan sukan ragbi di Sarawak kelihatan cerah. Ketiga-tiga atlet ini bukan sahaja menunjukkan kemahiran yang tinggi dalam sukan, tetapi juga memiliki bakat tambahan yang melengkapkan personaliti mereka sebagai atlet.
Setiap atlet ini mempunyai aspirasi tersendiri yang mencerminkan komitmen mereka terhadap sukan ragbi dan pembangunan diri. Sokongan berterusan daripada masyarakat dan pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan potensi mereka dapat direalisasikan sepenuhnya.
Saksikan bintang muda ragbi dari seluruh Sarawak di Kejohanan Bintulu 10’s 2024
Bagi yang berminat untuk menyerlahkan bakat atau menyaksikan aksi atlet-atlet muda Sarawak, anda dijemput untuk menghadiri Kejohanan Bintulu 10’s 2024 pada 26-27 Oktober 2024 bertempat di Padang Ragbi UPM Bintulu. Untuk makluman anda, acara ini merupakan acara ragbi terbesar di Sarawak anjuran Persatuan Ragbi Bintulu dan UPM Bintulu, dengan sokongan daripada Jabatan Belia Sukan Sarawak, Malaysia Rugby, dan Sarawak Rugby.

Kejohanan ini merangkumi empat kategori, mengikut undang-undang ragbi 7 sebelah World Rugby (WR) dan Malaysia Rugby (MR):
- Bawah 12 tahun (X-Rugby)
- Bawah 16 tahun
- Lelaki Terbuka
- Wanita Terbuka
Ini merupakan peluang yang baik untuk menyaksikan bakat-bakat baru seperti Vanessa, Zaxcheus, dan Marcell beraksi, serta mengenali bakat-bakat lain yang sedang meningkat naik.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran pasukan, sila hubungi laman media sosial rasmi Persatuan Ragbi Bintulu (Bintulu Rugby).