Adakah orang Sabah ingat tentang peristiwa ini?
3 Tragedi Menggegarkan Sabah Yang Tidak Mungkin Dapat Dilupakan. Bagi masyarakat Sabah sudah pasti tidak akan melupakan tragedi atau peristiwa-peristiwa yang menimpa Sabah. Untuk pengetahuan anda, peristiwa yang terjadi ini kekal misteri sehingga ke hari ini.
Berikut adalah sejarah pendek tragedi yang pernah menggemparkan Sabah suatu masa dahulu.
1) Pembunuhan Datuk Norjan Khan Bahadar
Datuk Norjan merupakan mantan Ketua Wanita UMNO Papar merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah. Mengikut laporan, beliau dijumpai mati oleh salah seorang chambermaid di Hotel Shangri-La Kota Kinabalu, Sabah. Mayat beliau dijumpai dengan kesan tikaman di leher dan kecederaan di kepala kira-kira jam 9 pagi, 11 Februari tahun 2004 di sebuah bilik bernombor 208.

Keratan akhbar NST mengeluarkan kenyataan yang berbunyi “Her head was smashed in and she had been stabbed in the neck”.
Sebelum kejadian berlaku, terdapat khabar angin yang mengatakan Datuk Norjan tidak disenangi untuk menjadi Ketua Wanita UMNO Sabah, lantas rombakan organisasi Wanita UMNO Sabah dilakukan oleh bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Siti Zaharah untuk menghalang daripada beliau daripada menjawat jawatan tersebut. Hal ini dikatakan berpunca daripada kemelut dalaman dan penularan gambar memalukan arwah.
Namun begitu, apa yang menjadi tanda tanya ialah motif pembunuhan Datuk Norjan yang telah bertukar dalam tempoh tidak sampai satu hari. Dalam laporan awal oleh PDRM Sabah, motif pembunuhan dikatakan berpunca dari perasaan ‘dendam dan cemburu’ namun, ia telah ditukar kepada motif ‘rompak dan bunuh’. Tambah aneh, laporan akhbar sebaik sahaja selepas mayat beliau dijumpai rata-ratanya mengatakan bahawa tiada barang kemas atau barang berharga milik Datuk Norjan hilang. Malah, biliknya juga dalam keadaan rapi.

Suspek utama kes ini adalah Azman Bakar @ Samsudin Mustamin, seorang pembantu hotel yang berasal dari Indonesia. Namun, kemudian beliau dilepaskan pada 12 Ogos 2004 kerana tiada bukti kukuh. Saksi ke-22 iaitu peniaga dari Pakistan iaitu Amir Khan turut mengemukakan kenyataan yang bercanggah dan mengundang kemarahan keluarga Datuk Norjan. Akibat kekurangan motif pembunuhan, suspek dilepaskan dan sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang berjaya ditangkap berhubung kematian Datuk Norjan.
2) Tragedi Double Six
Tragedi ini telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah yang pertama iaitu Tun Fuad Stephens dan beberapa Menteri Kabinet. Antaranya ialah Datuk Salleh Sulong, Datuk Wahid Peter Andu, Datuk Peter Mojuntin, Datuk Chong Thain dan Datuk Darius Binion. Kapal terbang jenis GAF Nomad N.22B buatan Australia yang membawa 10 penumpang VVIP telah meletup dan mengorbankan semua penumpang.

Kejadian ini turut mengorbankan anak lelaki Tun Fuad Stephens, Johari, Dr Syed Hussien Wafa, Ishak Atan, Korporal Said Mohammad dan kapten juruterbang, Nathan Ghandi. Penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu ini dikatakan ‘stalled’ dan jatuh terhempas di sebuah pantai.
Tragedi ini digelar sebagai ‘Double Six Tragedy’ kerana berlaku pada 6/6/1976. Apa yang menjadi tanda tanya sehingga sekarang adalah; Adakah tragedi atau nahas ini telah dirancang oleh sesebuah pihak untuk kepentingan diri atau benar suatu ketentuan yang tidak dapat dielak?
3) Tragedi 14 Gajah Mati Diracun
Pada Januari 2013, sebanyak 14 ekor gajah Pygmy ditemui mati yang dipercayai telah diracun oleh individu tidak bertanggungjawab. Punca kematian haiwan tersebut dan pakar menemui kandungan arsenik, cadmium, iron dan chromium yang sangat tinggi yang menjadi punca kematian gajah tersebut.
Bahan yang ditemui dalam perut gajah tersebut biasanya hanya digunakan di kawasan lombong atau kawasan pemprosesan buangan. Apa yang peliknya gajah-gajah ini ditemui mati di kawasan hutan Gunung Rara di Tawau. Tambahan pula, kawasan tersebut tiada kawasan lombong atau pemprosesan buangan. Kejadian ini seolah-olah seperti disengajakan dan sudah dirancang dengan teliti. Sehingga kini motif kejadian masih belum diketahui dan belum ada laporan tentang penangkapan suspek.

Gajah Pygmy merupakan spesis gajah terkecil di dunia yang diancam kepupusan. Digelar Gajah Borneo, spesis dengan ketinggian purata 2.5 meter ini hanya boleh dijumpai di Sabah dan Utara Kalimantan sahaja.