Penerimaan vaksin adalah secara berperingkat.
375 Pelajar Sekolah Dari Sarawak Kumpulan Remaja Pertama Terima Vaksin Di Malaysia Hari Ini. Dilaporkan bahawa, seramai 375 pelajar berusia 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang dan Pusat Perlindungan Wanita Taman Seri Puteri di Kuching akan menjadi kumpulan remaja pertama untuk menerima vaksinasi di Malaysia, pada hari ini. Hal ini kerana pemberian vaksin di Sarawak kini sudah mencapai sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya lengkap divaksin.
Terima vaksinasi secara berperingkat mengikut jadual dan waktu yang ditetapkan
Pegawai Perubatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan (KK) Telaga Air, Dr Mohd Sulaiman Roslan berkata, pelajar tersebut akan menerima vaksinasi secara berperingkat mengikut jadual dan waktu yang telah ditetapkan.
“Kita akan vaksin mereka mengikut jadual yang telah kita tetapkan seawal jam 8.30 pagi sehingga jam 3.30 petang dan perkara ini telah kita tetapkan bersama pihak sekolah dan ibu bapa serta penjaga pelajar berkenaan.
“Proses vaksinasi akan diadakan seperti biasa yang mana mereka akan mendaftar dan perlu disahkan oleh ibu bapa serta penjaga yang hadir sehingga selesai proses vaksin,” jelas beliau kepada Astro AWANI di PPV berkenaan pada Selasa.
Perlu membawa salah satu dokumen identiti kewarganegaraan
Beliau juga turut menambah bahawa ibu bapa pula perlu membawa salah satu dokumen identiti kewarganegaraan iaitu kad pengenalan atau sijil kelahiran atau pasport bagi pelajar yang bukan merupakan warganegara.
Dr Mohd Sulaiman turut menjelaskan lagi, bagi para pelajar yang pulang ke kampung halaman dan jauh dari lokasi PPV yang ditetapkan, mereka boleh memohon kepada pihak sekolah untuk menerima vaksin di PPV yang paling dengan kediaman mereka.
“Sekiranya terlalu jauh contohnya di Sibu, mereka perlu memberitahu kepada pihak sekolah dan kita akan menghubungi PPV terdekat untuk membenarkan mereka mendapatkan vaksin.”
“Sementara itu, kita juga ada pasukan khas melibatkan pihak sekolah ‘School Health Team’ yang akan membantu pihak kesihatan untuk situasi seperti itu. Namun kita akan galakkan mereka untuk datang di PPV untuk memudahkan proses kemas kini MySejahtera,” ujar beliau lagi.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan bermula di Sarawak pada hari ini melibatkan 240,000 pelajar di seluruh negeri tersebut secara berperingkat.