Kami beritahu sedikit tentang fakta ini untuk meraikan keunikan Sarawak
7 Keunikan Sarawak Yang Anda Perlu Tahu. Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia, dengan keluasan lebih daripada 120 ribu km persegi.
Kali ini kami nak ‘highlight’ beberapa keunikan Sarawak yang mungkin ramai terlepas pandang. Bak kata orang, tak kenal, maka tak cinta!
Dalam artikel kali ini kami sertakan 5 keunikan Sarawak yang anda perlu tahu.
1. Memiliki 25 Lapangan Terbang
Sarawak mempunyai 25 lapangan terbang. Empat daripadanya merupakan lapangan terbang besar yang terletak di Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri. Manakala yang lain merupakan lapangan terbang jenis STOL (Short Take Off and Landing), yang boleh dijumpai di tempat-tempat seperti Mukah, Marudi, dan beberapa pekan kecil lain.
2. Kepadatan Penduduk Yang Rendah
Sarawak, walaupun luasnya hampir sama dengan Semenanjung Malaysia, mempunyai populasi yang kurang daripada 3 juta. Berdasarkan data tahun 2010, setiap km persegi hanya dihuni oleh 19 orang. Jika dibandingkan di Kuala Lumpur, untuk setiap KM persegi mereka ada 6000 orang penduduk!
Lebih dari 1/3 penduduk Sarawak bertempat di kawasan Kuching – Samarahan – Serian, yang hanya meliputi 1/8 dari keseluruhan luas Sarawak.
3. Pertama Dalam Negara Malaysia Untuk Berada Di Dalam Senarai UNESCO
Sebelum Georgetown, Melaka, dan Lenggong tersenarai dalam UNESCO, Taman Negara Mulu telah mendahului dengan meraih status tersebut, bersama-sama dengan Taman Negara Gunung Kinabalu. Sarawak, yang dikenali dengan kekayaan flora dan faunanya, juga menawarkan banyak tarikan pelancongan.
Anda boleh semak artikel berkaitan kami di sini: Tempat Menarik Di Borneo
4. Public Holiday Berbeza Dengan Semenanjung Malaysia
Oleh kerana Sarawak mempunyai rakyat yang berbilang kaum, lebih daripada 10 kaum maka untuk sesetengah perayaan seperti Deepavali, Sarawak tidak mempunyai Public Holiday untuk perayaan tersebut. Ini adalah kerana jumlah kaum india di Sarawak adalah sedikit. Namun begitu, Sarawak mempunyai Public Holiday untuk Hari Gawai.
5. Mempunyai 27 Etnik Besar
Sarawak mempunyai 27 etnik besar buat setakat ini yang dikemukakan. Setiap etnik mempunyai bahasa, budaya, dan cara kehidupan yang tersendiri.
Etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penempatan seperti persisiran pantai, lembah sungai, daerah pendalaman, dan kawasan tanah tinggi. Kawasan yang paling padat dengan penduduk adalah di dataran pantai, lembah sungai di bahagian barat Kuching, dan kawasan antara Sungai Kayan dengan Sungai Mukah.
Walaupun banyak destinasi luar negara yang telah dikunjungi oleh rakyat Malaysia, masih ada yang belum mengalami keindahan Sarawak di Borneo.
6. Gerai Makanan Muslim Dan Non-Muslim Bawah Satu Bumbung
Sarawak memang terkenal dengan pelbagai makanan enak seperti mee kolok, manok pansuh, midin belacan, laksa sarawak, kek lapis, umai, dan banyak lagi.
Yang menariknya, wujud gerai-gerai non-Muslim yang menyediakan bahagian khusus untuk makanan halal, memudahkan rakan-rakan dari pelbagai keturunan seperti Iban, Melayu, Cina, dan Melanau untuk berkongsi meja makan.
Keunikan ini memperkukuhkan hubungan antara mereka tanpa membezakan bangsa dan agama. Kadangkala, mereka begitu rapat sehingga sukar untuk membezakan keturunan mereka, mencerminkan semangat persahabatan dan kebersamaan di antara mereka.
7. Paling Banyak Sekolah Asrama
Tahukah anda, Sarawak adalah negeri yang memiliki jumlah asrama terbanyak di Malaysia? Bukan sahaja di MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh, tetapi kebanyakan asrama tersebut berada di sekolah rendah harian. Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia, 40% daripada sekolah harian dengan asrama di Malaysia terletak di Sarawak.
Sejak sekolah rendah lagi, anak-anak ini telah dihantar ke sekolah berasrama kerana lokasinya yang jauh dari rumah. Jadi, tak hairanlah mengapa begitu banyak tenaga pengajar dan kakitangan yang diperlukan untuk menampung keperluan di sekolah-sekolah khas ini.