Selamat Datang Ke Limbang!
5 Tempat Eko Pelancongan Menarik Yang Anda Mesti Kunjungi Di Limbang. Tidak ramai yang mengetahui kewujudan tempat-tempat yang menarik di Limbang. Apatah lagi Limbang merupakan sebuah bahagian yang agak jauh dan berada di penghujung negeri Sarawak. Kedudukannya diapit oleh negara Brunei Darussalam dan negeri Sabah.
Anda mempunyai 2 pilihan pengangkutan untuk ke Limbang sama ada menggunakan laluan darat atau pun laluan udara. Jika anda memilih untuk menggunakan laluan darat, anda mestilah mempunyai pasport merah atau pasport terhad ke Brunei (berwarna biru) kerana anda perlu melalui negara Brunei terlebih dahulu.
Namun, jika anda menggunakan laluan udara, anda tidak perlu memiliki passport tetapi sediakanlah tambang penerbangan yang mencukupi.

Tahukah anda sebenarnya Limbang juga mempunyai kawasan ekopelancongan yang menarik dan indah? Malah, landskap semulajadi di sini begitu unik dan berpotensi untuk dikembangkan menjadi produk pelancongan antarabangsa.
Untuk artikel kali ini, kami kongsikan 5 tempat eko pelancongan menarik yang anda wajib kunjungi di Limbang.
1. Air Terjun Kampung Bakul Limbang
Air terjun Kampung Bakul Limbang ini terletak tidak jauh dari jalan utama Kampung Bakol, Limbang. Keadaan muka bumi air terjunnya yang agak cetek menjadikan ia sebagai salah sebuah tempat rekreasi masyarakat setempat.
Air terjun Kampung Bakol ini juga boleh dikatakan sebagai ‘hidden gem’ di Limbang kerana ia terletak agak jauh dari kawasan bandar dan tidak dikenakan bayaran masuk.
Sesuai untuk aktiviti mengambil gambar dan beriadah.


2. Lumpur Berbuak Kampung Meritam
Pasti anda tidak percaya bahawa Limbang mempunyai kawasan lumpur berbuak seperti di Pulau Tiga, Sabah. Lokasi lumpur berbuak di Limbang terletak di Kampung Meritam. Untuk pengetahuan anda, lumpur berbuak ialah ledakan lumpur yang seakan-akan kawah lumpur di lereng gunung berapi.

Lumpur suam-suam panas ini terbentuk dalam pelbagai saiz seperti busut dan meledak sehingga ada yang mampu memuatkan sehingga 5 orang dewasa sekaligus.
Di sini, anda akan mendapati bahawa anda boleh terapung di dalam kawah lumpur ini. Bukan itu sahaja, anda boleh bergelumang dengan lumpur sebagai memori pelancongan unik anda.

Kredit : FB Travelgramers
Lumpur berbuak Kampung Meritam ini juga dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas awam, bilik mandi serta jambatan kayu. Walau bagaimanapun, sebaiknya, bawalah pakaian dan tuala lebih anda.
Jika takut lapar tiba-tiba, jangan lupa berbekal makanan dan minuman sendiri. Kawasan lumpur ini tidak mempunyai gerai makanan dan sewaktu dengannya.
Bayaran masuk ke sini adalah RM 2 sahaja. Jika anda masuk dan terus mandi di sini, bayaran yang dikenakan ialah RM 4 sahaja.



3. Taman Tasik Bukit Mas Limbang
Bukit Mas merupakan sebuah kawasan bukit batu kapur yang terletak di Jalan Pandaruan, Limbang. Kawasan ini dinamakan sebagai Bukit Mas sempena penemuan sebuah patung gajah emas di tasik tersebut.
Patung gajah yang berharga tersebut kini berada dipamerkan di Muzium Sarawak.
Taman Tasik Bukit Mas ini terkenal dengan sebagai kawasan rekreasi dan riadah oleh masyarakat setempat. Antaranya seperti jogging, berjalan kaki atau sekadar bersiar menikmati pemandangan tasik.



Bukan itu sahaja, anda juga boleh menikmati pemandangan tasik dari jambatan gantung yang merintangi tasik ini.


Bagi mereka yang gemar mengembara di dalam kawasan hutan, anda juga boleh mendaki trail bertangga di Rizab Semulajadi Bukit Sembiling yang bersambung dengan Taman Tasik Bukit Mas ini. Bukit ini mempunyai ketinggian lebih daripada 500 meter.
Jadi, persiapkan mental dan fizikal anda, okay?


4. Jeti Santaba Kampung Patiambun
Tidak ramai yang mengetahui bahawa Limbang mempunyai sebuah jeti dan jambatan yang boleh menyusuri kawasan hutan paya bakau. Jeti Santaba yang terletak di Kampung Patiambun merupakan kawasan yang sesuai untuk pencinta flora dan fauna.
Di sini, anda boleh bersiar-siar dengan melihat pemandangan hutan paya bakau. Bukan itu sahaja, jika anda bernasib baik, anda akan menemui pelbagai spesis haiwan seperti monyet belanda (Proboscis monkey).

Penggemar fotografi juga boleh menjadikan kawasan ini sebagai port bergambar dengan latar belakang akar kayu bakau yang artistik. Bagi mereka yang pro, pasti sudah terbayang pelbagai posisi dan sudut menarik untuk dirakamkan sebagai karya terbaik fotografi.




5. Taman Negara Limpaki Wetlands
Terletak lebih kurang 15 kilometer dari bandar Limbang, Limpaki wetlands ini merupakan tempat yang sesuai untuk penggemar aktiviti kanu berasaskan alam semulajadi. Di sini, anda boleh mendayung kanu sambil menikmati pemandangan sekeliling yang hijau dan ditumbuhi oleh akar kayu bakau yang pelbagai.
Bahkan, anda boleh mendayung sehingga ke sungai sempadan Brunei kerana kawasan ini adalah pertemuan antara sungai dan laut.


Berlainan dengan aktiviti susur sungai menggunakan bot, aktiviti kanu ini tidak mengganggu haiwan sekitar dengan bunyi bising. Tambahan pula, ia boleh dijadikan sebagai senaman tidak langsung untuk anda sambil menyegarkan mata.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh melakukan aktiviti lain di sini seperti menangkap ikan dan ketam.
Jika anda berkunjung ke sini, seeloknya gunakan lah kasut atau but getah kerana kawasannya becak dan berlumpur.



Siapa sangka Limbang mempunyai hidden gem sebegini kan? Jika anda belum pernah berkunjung ke Limbang, siap-siapkan pelan anda untuk mengembara ke hujung bumi Sarawak ini.