Flight Anda Ada Masalah? Jangan Panik Dulu
6 Hak Penumpang Yang Anda WAJIB Tahu Sebelum Menaiki Pesawat. Sering kali flight yang bermasalah boleh membuatkan anda mengeluh panjang, resah mahu pun naik angin. Mana tidaknya, plan yang anda dah atur siap-siap spoil gara-gara masalah yang berlaku sebelum, semasa mahu pun selepas penerbangan anda.
Tarik nafas sekejap. Okay, anda tahu tak anda sebenarnya mempunyai hak yang boleh anda tuntut sebagai penumpang flight? Mungkin ramai yang dah tahu, tapi di sini kami sertakan secara ringkas 6 hak basic yang wajib anda tahu setiap kali menaiki kapal terbang seperti yang telah digariskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Lagi cerita berkaitan : Rupanya Ini Sebab Harga Tiket Sabah dan Sarawak Lebih Mahal Walaupun Dalam Malaysia
Apabila Flight Anda Delay
Situasi ini sering kali dihadapi oleh para penumpang. Tapi, jangan bimbang. Sekiranya flight anda tertangguh atau delay, anda layak untuk menuntut perkara yang berikut ;
- PERCUMA hidangan makanan, panggilan telefon dan akses internet (untuk delay selama 2 jam atau lebih)
- PERCUMA penginapan hotel atau pengangkutan (untuk delay selama 5 jam atau lebih, atau apabila penginapan menjadi suatu keperluan)
Walau bagaimanapun, jika flight anda delay disebabkan keadaan yang tidak terjangka seperti keadaan cuaca yang buruk dan ancaman keselamatan, tuntutan ini tidak terpakai.
Apabila Flight Anda Dibatalkan
Untuk kes ini, anda berhak untuk menuntut refund penuh atau flight alternatif. Kedua-dua pilihan ini akan diberikan oleh syarikat penerbangan kepada anda sebaik sahaja flight anda dibatalkan. Pilihan alternatif pula bergantung kepada syarikat penerbangan sama ada menyediakan penerbangan pada hari yang sama atau pada tarikh yang baru, mahu pun mengubah laluan alternatif penerbangan. Terpulang kepada anda. Jadilah penumpang yang bijak.
Apabila Anda Tidak Dibenarkan Untuk Boarding
Tahukah anda bahawa anda tidak dibenarkan untuk boarding sekiranya terdapat situasi lebihan penumpang? Setiap flight kebiasaannya akan menjual tiket lebih banyak daripada tempat duduk di dalam pesawat. Hal ini kerana kebiasaannya akan terdapat lebihan tempat duduk walaupun tiket dijual lebih banyak daripada kapasiti sebenar.
Namun demikian, dalam kes-kes tertentu, jika sesebuah flight tersebut sudah memenuhi kapasiti dan bilangan orang yang melepaskan tiket secara sukarela tidak mencukupi, anda boleh dihalang untuk menaiki pesawat tanpa persetujuan anda.
Walau pun begitu, anda sebenarnya layak untuk menuntut gantian atau pampasan daripada syarikat penerbangan tak kiralah anda dilarang secara sukarela atau tidak. Pampasan yang boleh dituntut adalah seperti berikut;
- makanan, panggilan telefon dan akses internet PERCUMA
- tempat tinggal dan pengangkutan yang sewajarnya secara PERCUMA
- full refund atau flight gantian
Apabila Peralatan Bantu Mobiliti Anda Rosak
Adakalanya peralatan bantu mobiliti anda akan mengalami kerosakan walaupun dibantu oleh kakitangan pengendalian darat. Dalam hal ini, anda boleh mendapatkan wang gantian untuk peralatan mobiliti anda mengikut harga pasaran peralatan anda. Dalam masa yang sama, anda perlu diberikan peralatan mobiliti gantian sementara menunggu wang pampasan. Yang penting, kena banyak bersabar.
Apabila Bagasi Anda Rosak, Hilang Atau Alami Kelewatan
Ini pula salah satu kes yang kerap berlaku kepada penumpang. Barangan penting kebiasaannya disimpan di dalam bagasi untuk tujuan keselamatan dan perlindungan ekstra.
Namun, jika bagasi anda rosak, anda perlulah membuat aduan bertulis sebaik sahaja ketibaan atau dalam tempoh 7 hari dari tempoh ketibaan anda kepada syarikat penerbangan. Jika bagasi anda mengalami kelewatan, anda perlu membuat perkara yang sama sebaik sahaja ketibaan atau dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan.
Untuk pengetahuan anda, tuntutan bagasi ini layak dibuat walaupun anda tidak membeli apa-apa insurans perjalanan. Namun demikian, ini bukan bermakna membeli insurans perjalanan adalah suatu pembaziran, tetapi sebaliknya lebih kepada langkah berjaga-jaga kerana anda akan mendapat perlindungan luar jangka seperti perubatan dan kecemasan. Anda juga dinasihatkan menyimpan segala resit pembelian sepanjang perjalanan untuk penilaian syarikat penerbangan. Baik sediakan payung sebelum hujan.
Apabila Anda Tidak Dapat Menaiki Pesawat Atas Sebab Kecemasan, Kematian dan Kesihatan
Kadangkala, malang tidak berbau. Ada waktunya anda tidak dapat menaiki pesawat kerana masalah kecemasan, kesihatan mahu pun kematian ahli keluarga. Dalam hal ini, anda sebenarnya boleh menuntut bayaran balik, bergantung kepada jenis tiket penerbangan anda sama ada ia tiket jenis refundable atau non-refundable.
Bagi tiket jenis non-refundable, anda mungkin tidak dapat menuntut bayaran harga tiket namun anda boleh mendapatkan tuntutan untuk cukai lapangan terbang atau cukai kerajaan. Namun demikian, syarikat penerbangan boleh mengenakan bayaran pemprosesan sehingga 5 peratus berdasarkan cukai yang dikenakan. Bagi tiket jenis refundable pula, bayaran 5 peratus ini tidak akan dikenakan.
Dalam tempoh 30 hari, anda akan mendapat bayaran tuntutan anda. Yeay!
Ada yang pernah mengalami situasi di atas? Ketahui hak anda sebagai penumpang dan tuntutlah hak anda melalui saluran yang betul. Bukan atas kuasa viral semata-mata ya!