40 Minit Saja Bah Dari KK
7 Hidden Gems Menarik Yang Anda Mesti Pergi Di Tuaran. Tuaran merupakan salah sebuah daerah di Sabah dan terletak kira-kira 34 kilometer dari Kota Kinabalu. Majoriti penduduk Tuaran merupakan kaum Dusun (etnik Lotud), diikuti oleh etnik Bajau, Cina Hakka dan Melayu. Kalau nak melancong jauh sikit dari Kota Kinabalu, Tuaran lah tempatnya.
Tuaran menawarkan pelbagai tarikan pelancongan, termasuk pantai yang menakjubkan dan warisan budaya yang unik. Pengunjung dapat menikmati pelbagai pengalaman dan budaya tempatan. Mari kita terokai beberapa tempat menarik di Tuaran yang menarik minat pelancong.
1. Sabandar Cowboy Town
Sabandar Cowboy Town merupakan sebuah kawasan yang dibina khas untuk menempatkan binaan bangunan ala-ala koboi. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menaiki kuda di Sabandar Leisure Rides dan menyusuri pantai Aman Bayu di atas kuda. Bukan itu sahaja, di Mangrove Park pula, anda berpeluang untuk berjalan dalam hutan paya bakau dan menikmati pelbagai jenis hidangan yang lazat di Bamboo Restaurant, restoran yang dibina menggunakan buluh. Jika anda gemar melihat kelip-kelip, anda juga boleh menempah trip bot untuk melihat pemandangan kelip-kelip pada waktu malam.
Maklumat penting
Lokasi: Jalan Shah Sabandar Tuaran, 89200 Kota Kinabalu, Sabah
Hubungi mereka: 012-824 8739
2. Borneo Kellybays
Borneo Kellybays pula merupakan tarikan terbaru di Tuaran, Sabah. Terletak di kawasan pantai yang dikelilingi oleh hutan paya bakau di Kampung Laya-Laya, anda harus menaiki feri yang kelihatan seperti “pondok terapung” untuk sampai ke sini. Setibanya anda ke sini, anda boleh menikmati ketenangan dari bingit-hingar bandar dengan pelbagai aktiviti air seperti banana boat ride, bamboo rafting, luncur air, menangkap ketam, dan memancing. Selain itu, anda juga berpeluang untuk mencanting batik, berurut di pondok urutan terbuka, serta menonton pertunjukan api.
Jika anda bercadang untuk ke sini dari Kota Kinabalu, anda juga boleh menempah pakej termasuk pick up dari mana-mana penginapan anda di Kota Kinabalu. Destinasi ini juga sesuai untuk aktiviti berkumpulan seperti kem dan program motivasi. Harga pakej pula bergantung kepada jumlah individu dalam kumpulan. Jadi, anda harus menghubungi Borneo Kellybays secara terus untuk mendapatkan harga yang terbaik.
Maklumat penting
Lokasi: Borneo kellybays,tuaran,88400,Kota Kinabalu,Sabah 88400 Tuaran, Sabah, Malaysia
Hubungi mereka: +60 16-832 5605
3. River Bay Beach
River Bay Beach juga terletak di Kampung Laya-Laya, Tuaran. Tarikan utama di sini ialah pengalaman menyaksikan ‘Sunset Mirror’. Menurut pengunjung yang pernah datang ke sini, River Bay Beach merupakan port terbaik untuk anda menonton pemandangan matahari terbenam. Selain itu, pengalaman anda ke sini pasti menyeronokkkan kerana ia menyediakan aktiviti seperti river cruise, mencanting batik, mangrove walk, private beach, ladang haiwan, taman kelulut serta peluang menaiki ATV.
Maklumat penting
Lokasi: Perumahan, Jalan, Jln Kampung Laya – Laya, Jalan Desa Seri Taman, 89208 Tuaran, Sabah
Hubungi mereka: 017-699 1938
4. Peak of HOPE
Ini pula merupakan destinasi yang wajib untuk para penggemar fotografi. Peak of HOPE atau turut digelar Jogja Versi Sabah ini menjanjikan pemandangan di sekitar Tuaran yang sangat menakjubkan. Bukan itu sahaja, lokasi ini juga terkenal dengan port bergambar yang sangat cantik berlatar belakangkan awan biru. Bagi mereka yang bijak bermain dengan angle, lagi lah cun. Jika anda merupakan peminat aktiviti paragliding, Peak of HOPE merupakan salah satu port untuk anda berlepas dan mendarat.
Untuk ke sini, anda perlu meletakkan kenderaan anda di bahu jalan masuk dan menaiki kenderaan 4WD yang telah disediakan. Kalau dah sampai sini, jangan lupa OOTD puas-puas!
Maklumat penting
Lokasi: 89150 Tuaran, Sabah
Hubungi mereka: 016-846 1881
5. Chanteek Borneo Indigenous Museum
Pernah diiktiraf sebagai muzium miniatur kostum asli yang pertama dalam Malaysia Book of Records, Chanteek Borneo Indigenous Museum ini pula menampilkan kostum-kostum kaum di seluruh Malaysia dalam bentuk pemakaian pada patung Barbie. Sebanyak 300 kostum daripada pelbagai etnik di Malaysia, terutamanya Sabah, dipamerkan di sini. Difahamkan, kostum yang hampir-hampir pupus akibat peredaran zaman juga dapat dilihat di sini.
Selain itu, anda juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian buluh, mempelajari ritma gong tradisional Sabah, mempelajari seni kraftangan manik, bermain permainan tradisional, serta menikmati Linopot, hidangan nasi yang dibalut dalam daun bersama lauk keladi.
Maklumat penting
Lokasi: Phase 3A, No. 23, Lot 239 Row AH, Off, Jalan Tuaran, Bandar Putra, 88450 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu operasi: 10am-5pm
Hubungi mereka: 019-530 0018
6. Linangkit Cultural Village
Pernah dengar tentang etnik Dusun Lotud? Jika anda tidak pernah mendengar, maka anda patut berkunjung ke Linangkit Cultural Village. Ia menawarkan anda pengalaman merasai cara hidup masyarakat Lotud yang kaya dengan tradisi dan kepelbagaian. Paling menarik, anda dapat mempelajari cara untuk menghasilkan Linangkit, seni tenunan khas masyarakat Lotud, Sabah. Untuk pengetahuan anda, Linangkit merupakan seni tenunan masyarakat Lotud yang mencamtumkan dua helai kain dengan sulaman bercorak yang cantik dan berwarna warni.
Selain itu, anda juga berpeluang untuk melawat rumah panjang kaum Lotud, menangkap ikan, mencuba kostum tradisi, demonstrasi kesenian dan kebudayaan, dan guided tour.
Maklumat penting
Lokasi: Sungai, 89150 Tuaran, Sabah
Waktu operasi: 9am-5pm
Hubungi mereka: +60 11-3677 3837
7. Borneo Ant House
Tahukah anda bahawa Borneo Ant House merupakan galeri bawah tanah yang pertama di Malaysia? Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, Borneo Ant House merupakan destinasi yang sangat sesuai untuk anda. Setibanya anda di sini, anda akan memasuki ‘sarang’ semut yang dipenuhi dengan 463 replika semut buatan tangan. Di sini, anda bukan sahaja dapat mempelajari spesis-spesis semut, malah anda juga dapat mengenali dengan lebih dekat tentang jenis-jenis senjata masyarakat setempat di Galeri Pedang. Selain itu, anda juga dapat melihat peralatan-peralatan yang sering digunakan oleh masyarakat kampung untuk mencari sumber rezeki seperti tangguk, pukat dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menikmati pemandangan kawasan galeri yang menghijau dengan berjalan di atas canopy walk. Bagi yang sukakan cabaran pula, bolehlah mencuba zipline yang semestinya menyeronokkan.
Maklumat penting
Lokasi: Kg. Selupoh, Tuaran, Tuaran, Malaysia
Waktu operasi: 9am-5pm
Hubungi mereka: +60 11-3677 3837
Tuaran, Sabah, adalah destinasi yang menakjubkan bagi pelancong yang mencari pengalaman pelancongan yang berbeza dan pelbagai. Tuaran menawarkan pemandangan alam yang memukau dan warisan budaya. Dengan pelbagai tarikan menarik yang ditawarkan, Tuaran adalah destinasi yang wajar dikunjungi oleh sesiapa yang ingin meneroka keindahan alam dan kepelbagaian budaya Sabah.