Rupa-rupanya ada pelbagai jenis ngepan Iban!
Kenali Asal Usul Ngepan Indu, Pakaian Tradisional Wanita Iban. Setiap etnik mempunyai pakaian tradisional masing-masing dan masyarakat Iban mempunyai pakaian tradisi mereka tersendiri.
Diguna oleh kaum perempuan di kalangan masyarakat Iban, pakaian ini digelar ‘ngepan Indu Iban’. Secara umumnya, kita dapat mengenalinya dengan adanya Sugu Tinggi yang diguna di kepala dan Marek Empang/Tangu yang diguna atas bahu. Tetapi tahukah anda setiap ngepan Iban mempunyai kelainan bagi setiap daerah?
Asal-usul pakaian tradisional Iban
Asal-usul pakaian tradisional Iban bermula dari seorang wanita yang bergelar Kumang.
Menurut lagenda, Kumang merupakan seorang dewi yang cantik dan baik di kalangan wanita kaum Iban pada suatu ketika dahulu.
Dewi ini bukan sahaja cantik, malah mahir dalam membuat kerja lain seperti bertenun, ngebat, membuat anyaman dan sebagainya.
Kemahiran Kumang telah menghasilkan pakaian tersebut dan menjadi rujukan sebagai ngepan Iban yang dikenali dalam masyarakat Iban.
Difahamkan, Kumang hanya menggunakan kain kebat, rawai tinggi betating pirak dan tali pinggang perak, sugu, sepasang subang telinga, rantai leher perak, dan set lengkap pirak tumpak untuk lengan bawah dan atas. Mungkin juga beberapa gelang kaki dengan loceng kecil.
Di tangan kanannya sapu tangan renda putih, di sebelah kiri pula buah pauh perak iaitu beg tangannya. Manakala sekuntum bunga, seri mua disembunyi di antara sanggul siput.
Menurut ibanology, hanya seratus tahun yang lalu, gadis dan wanita Iban masih berpakaian seperti yang Kumang akan setujui, untuk pesta dan perayaan utama.
Oleh demikian, pakaian Kumang menjadi rujukan untuk semua ngepan Iban di kalangan masyarakat etnik ini.
Aksesori ngepan indu Iban
Secara umumnya, ngepan Iban akan lengkap dengan perhiasan tembaga, perak, manik, dan kain yang dibuat daripada pelbagai corak. Malah, cara pemakaian ngepan Iban biasanya mempunyai maksud yang tertentu bagi setiap perhiasan yang dikenakan.
Disamping itu, ngepan yang kita sering lihat kebiasaannya diguna untuk pertandingan kecantikan zaman sekarang. Ia akan lengkap dengan sugu tinggi (hiasan kepala), marek empang/tangu (hiasan dada yang diperbuat daripada manik), selampai (selendang panjang yang ditenun), lampit (tali pinggang perak), kain kebat/karap (skirt pendek), tumpa (gelang perak), rawai, sementing ringgit/buchai, buah pauh (aksesori perak yang dipegang), perca (sapu tangan) dan geruncong kaki (gelang kaki).
Setiap daerah mempunyai kelainan
Kumpulan etnik Iban merangkumi sekitar 30% daripada jumlah peratusan penduduk di Sarawak dan merupakan kaum majoriti di Sarawak.
Oleh itu, tak hairanlah setiap daerah Iban mempunyai kelainan dan keunikan dalam ngepan Iban masing-masing.
Bajik amat ngepan indu Iban!
Adakah anda seorang beretnik Iban? Anda berasal dari daerah mana? Komen dan jangan lupa kongsikan artikel ini!