Bukan itu sahaja, banyak lagi hidupan liar lain anda boleh temui di sini dan pelbagai juga aktiviti menarik yang boleh dibuat.
Ada Burung Enggang, Rafflesia, Pokok Belian, Terokai Hutan Royal Belum Perak Yang Berusia 130 Juta Tahun. Diberi peluang untuk merasai pengalaman bercuti di salah sebuah destinasi percutian terbaik di Malaysia, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Tourism Malaysia kerana sudi membawa kami ke trip ini. Sebelum memulakan kisah menarik percutian di Taman Negeri Royal Belum Perak ini, mari kita ketahui sejarah ringkas mengenai hutan simpan Royal Belum ini.
Pada tahun 2003, Hutan Belum yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak diisytihar semula sebagai `The Royal Belum’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 31 Julai 2003. Kompleks Hutan Belum-Temengor merangkumi Taman Negeri Royal Belum (117,500 hektar), Hutan Simpan Grik (34,995 hektar) dan Hutan Temenggor (147,505 hektar).
Berkeluasan 117,500 hektar, Taman Negeri Royal Belum ini bersempadan dengan Thailand di utara dan Kelantan di Timur serta telah diwartakan sebagai kawasan dilindungi oleh Kerajaan Negeri Perak pada Mei 2017 yang diuruskan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak. Nama Hutan Belum ini diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, “Kampung Belum Lama” dan ia juga merupakan kawasan tadahan hujan utama di Semenanjung Malaysia.
Antara hutan tertua di dunia, lebih tua daripada hutan Congo dan Amazon
Taman Negeri Royal Belum- Temenggor adalah antara hutan tertua di dunia dengan usia lebih dari 130 juta tahun di mana ia adalah lebih tua daripada hutan Congo dan Amazon. Keluasan Hutan Belum-Temenggor ini adalah 4 kali ganda saiz Singapura justeru menjadikannya habitat kepada 3000 spesis flora dan fauna termasuk 64 spesis paku pakis, 62 spesis tumbuhan berlumut, 3 spesis rafflesia dan mempunyai 23 spesis ikan dan 10 spesis burung enggang (hornbill). Yes! Anda tak salah dengar di sini juga amat terkenal dengan bunga Rafflesia dan Burung Enggang. Terasa dah macam dekat Pulau Borneo dah kan?
Mempunyai 310 spesis burung, Royal Belum turut menjadi destinasi popular di kalangan bird watcher dan juga butterfly watcher. Aktiviti memerhati burung ini adalah paling baik dilakukan pada bulan Julai hingga September pada setiap tahun. Selain itu, di sini juga amat terkenal dengan pelbagai spesis haiwan terlindung seperti Gajah Liar, Harimau, Tapir, Beruang Matahari dan banyak lagi. Amat kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna, antara spesis yang paling menarik perhatian ramai adalah spesis rare seperti Bunga Rafflesia, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Pokok Gaharu dan Pokok Belian!
Jika anda minat memancing pula, tasik Temenggor ini amat terkenal dengan ikan sebarau dan juga ikan toman yang segar dan besar.
Taman Negeri Royal Belum habitat burung Enggang terbesar di Malaysia
Untuk pengtahuan anda, Taman Negeri Royal Belum ini menjadi habitat burung Enggang terbesar di Malaysia, dengan 10 spesis burung Enggang berjaya ditemui di sini. Menurut MNS (Malaysian Nature Society) Right Conservation Mangaer, Yeap Chin Aik, Hutan Simpan Royal Belum-Temengor, Perak dan Ulu Muda Kedah menjadi habitat kepada sekurang-kurangnya 10 spesis burung enggang daripada 62 jumlah spesis burung enggang di seluruh dunia ini.
Ikon dan juga simbol negeri Sarawak, burung Kenyalang merupakan haiwan terancam dan terpelihara di negara kita. Walaupun Burung Enggang ini lebih popular dan menjadi ikon kepada negeri Sarawak, namun hanya 8 spesis burung Enggang yang dapat ditemui di kedua-dua Bumi Kenyalang dan juga Sabah jika dibandingkan dengan 10 spesis yang dijumpai di semenanjung.
Burung unik ini telah disenaraikan di dalam senarai spesis terancam IUCN ( International Union for Conservation of Nature’s). Namun begitu, usaha untuk melindungi spesis berharga yang terancam ini, terutama sekali yang terdapat di Hutan Royal Belum Temengor ini giat dijalankan oleh MNS (Malaysian Nature Society) bermula sejak tahun 2014 lagi.
Apa yang paling istimewa di sini adalah pada monsun timur laut, aktiviti tasik di sini masih lagi beroperasi tidak seperti sesetengah kawasan tepi pantai atau pulau di mana mereka tidak akan beroperasi atas faktor-faktor keselamatan. Walaupun altiviti tasik dibenarkan beroperasi ketika monsun timur laut, aktiviti hutan adalah tidak dibenarkan.
Pengalaman menginap 2 hari 1 malam di atas rumah bot Casuarina
Apabila dijemput Tourism Malaysia mengikuti trip ini, kami berasa berbesar hati kerana diberi peluang untuk merasai pengalaman menginap selama 2 hari 1 malam di atas rumah bot Casuarina untuk menerokai Hutan Royal Belum yang indah ini. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini.
Kumpulan pertama yang merasmikan aktiviti menarik di Akekchep Sg Tiang
Dalam pengembaraan kami ini, kami telah menjadi kumpulan pertama yang merasmikan aktiviti menarik di Akekchep Sg Tiang. Untuk sampai ke Akekchep Sg Tiang, anda perlu melalui beberapa perhentian. Perhentian yang pertama ialah Hentian Royal Belum di Pulau Banding, iaitu menaiki Boathouse Casuarina yang mengambil masa selama lebih kurang 2 jam untuk ke perhentian kedua kami, iaitu di hadapan sebuah perkampungan masyarakat asli nomad di Royal Belum.
Tidak dibenarkan masuk ke dalam kampung orang asli
Walaupun kami sudah berada dekat dengan sebuah perkampungan masyarakat orang asli di sini, kami bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke dalam kampung berkenaan untuk mengelak daripada perkara yang tidak diingini berlaku seperti membawa apa-apa penyakit dari luar.
Sejak pandemik, perkampungan tersebut mula memperketatkan peraturan di kampung mereka dan tidak membenarkan orang luar memasuki perkampungan tersebut tanpa alasan yang kukuh.
Menaiki speed boat ke Akekchep Sg Tiang
Sesampainya kami di hadapan perkampungan tersebut, perjalanan kami diteruskan dengan menaiki speed boat selama 20 hingga 40 minit. Speedboat tersebut kemudian berhenti di tepi tebingan yang menuju ke Akekchep Sg Tiang.
Menemui najis gajah liar yang berusia lebih seminggu
Sebelum sampai ke Akekchep Sg Tiang, kami perlu meredah trek hutan yang ringan, berjalan kaki menyusuri sungai Tiang selama 20-45 minit. Dalam perjalanan kami merentasi hutan ini, kami menemui najis gajah liar yang berusia lebih seminggu dan juga najis babi hutan.
Dalam perjalanan sampai ke Akekchep ini, kami juga telah diserang pacat dan menemui pelbagai jenis serangga. Maklumlah, hutan berusia 130 juta tahun memang akan ada pelbagai jenis binatang, cacing dan sebut sahaja apa-apa jenis serangga, pastinya ada di sini.
Dibimbing oleh beberapa orang penduduk asal di Royal Belum
Dibimbing oleh beberapa orang penduduk asal di Royal Belum yang mesra, perjalanan kami menjadi lebih mudah dan menarik kerana mereka tekun dan tidak jenuh menjawab setiap pertanyaan kami.
Akekchep bermaksud ‘Jangan Tangkap’
Sebagai contoh ketika kami menanyakan apa itu Akekchep, mereka menerangkan Akekchep bermaksud ‘Jangan Tangkap’ dan kisah disebalik memberikan nama itu adalah agar pengunjung yang datang ke sini tidak menangkap hasil di Sungai Tiang ini.
Setibanya kami ke Akekchep Sg Tiang, pandangan kami disambut dengan keindahan rumah rehat dan kehijauan hutan. Kami berehat sebentar sebelum memulakan aktiviti seterusnya iaitu memberi makanan kepada ikan Tengas (harga bagi sekilo ikan Tengas mencecah RM80 ke atas) dan seterusnya melakukan aktiviti lasak ‘tubing’ guna tayar di sungai Tiang.
Aktiviti tubing terapung bersama arus sungai Tiang
Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan dan berharga buat diri penulis adalah apabila kami melakukan aktiviti tubing terapung bersama arus sungai Tiang tersebut. Berbaring di atas tayar terapung, menghadap sinaran matahari, mengikuti arus Sungai Tiang yang mendebarkan, dikelilingi pemandangan flora yang merimbun hijau dan liar, sungguh menyeronokkan! Memang amat sesuai untuk dilakukan bersama keluarga dan juga rakan-rakan.
Aktiviti berakit di Tasik Temenggor
Berakhirnya aktiviti tubing kami, disusuli pula dengan aktiviti berakit di Tasik Temenggor. Kami menaiki speedboat untuk kembali ke Houseboat yang telah berhenti di tasik berhadapan dengan perkampungan tersebut untuk melakukan aktiviti berakit.
Memang kelihatan seronok, tetapi menaiki rakit ini sebenarnya merupakan aktiviti lasak yang memerlukan kekuatan dan stamina tinggi untuk mendayung dengan kuat. Kalau tangan tak kuat, keesokkan harinya memang akan lenguh dibuatnya. Walaupun meletihkan, ia merupakan pengalaman yang baru dan berharga terutamanya buat mereka yang tidak pernah merasai aktiviti ini.
Makan malam menyelerakan memenuhi setiap pelosok meja
Setelah puas menerokai dan melakukan aktiviti menarik di sini, kami bersiap untuk makan malam di atas Houseboat. Biarpun keletihan sepanjang hari melakukan pelbagai aktiviti lasak, kami dilegakan dengan jamuan makan malam BBQ yang lazat sekali. Pelbagai sajian yang menyelerakan memenuhi setiap pelosok meja, boleh membuat sesiapa sahaja rambang mata dan terliur!
Menu yang paling istimewa pada malam terakhir kami di atas Houseboat ini ialah, ikan Toman panggang fresh! Ketika kami sibuk melakukan aktiviti pada hari tersebut, kakitangan Houseboat Casuarina memancing ikan di Tasik Temenggor dan memperoleh 3 ekor ikan Toman yang besar. Ikan Toman tersebut kemudiannya dipanggang untuk disajikan sekali sebagai menu istimewa makan malam! Memang fresh betul rasa ikan Toman yang telah ditangkap tersebut.
Aktiviti karaoke
Oleh kerana malam masih muda, sesudah makan, kami meneruskan aktiviti hiburan wajib ketika menginap di atas Houseboat iaitu, Karaoke. Bagi yang minat menyanyi, anda boleh berkaraoke sehingga keesokan harinya sesuka hati anda selagi mampu.
Selepas menyanyi sepuas hati walaupun suara penulis bagaikan katak memanggil hujan, barulah terasa kepenatan seharian melakukan aktiviti lasak tapi menyeronokkan di Taman Negeri Royal Belum ini.
Bilik Selesa dilengkapi penghawa dingin
Kami mengakhiri malam dengan menuju ke kamar masing-masing untuk tidur dan berehat. Bilik yang telah diberikan kepada kami adalah sangat selesa, dilengkapi penghawa dingin dan kemudahan yang lain-lain. Kemudahan seperti tandas juga bersih dan berada pada tahap yang memuaskan. Tidak sangka anda boleh bercuti dan berehat di atas boathouse dengan kemudahan begitu selesa seperti ini. Kemudahan yang telah disediakan membuat kami berasa selesa dan membantu kami berehat dengan baik.
Keesokkan harinya, kami mengakhiri trip kami dengan menuju kembali ke perhentian Royal Belum dan kembali ke darat. Perasaan sedih meninggalkan Royal Belum itu amat jelas, kerana tempat ini memang telah membuat penulis betul-betul jatuh cinta. Jadi, jika anda ingin mencari pengalaman baru bercuti di tempat yang indah dikelilingi alam semulajadi, anda perlu singgah ke sini.