Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu
Lengkap Dengan Teknologi Terkini, Projek Airport Kuching Baharu Boleh Tampung 15 Juta Penumpang. Dilaporkan, projek pembangunan baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dijangka bakal dilengkapi dengan teknologi terkini dan mampu menampung sehingga 15 juta penumpang setiap tahun.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, projek ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang yang bertujuan untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan lancar.

Mempunyai kapasiti yang besar
Beliau juga berkata semasa menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak (SHTA) Ke-9 pada Jumaat, lapangan terbang ini akan mempunyai kapasiti yang besar dan kemudahan yang cekap. Penumpang hanya perlu melalui satu proses daftar masuk, manakala urusan lain akan diselesaikan secara digital.
Beliau turut menambah bahawa walaupun kos pembinaan lapangan terbang ini mungkin tinggi, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan ia menjadi pelaburan yang memberi pulangan lumayan.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut membuat perbandingan antara pembangunan Sarawak dengan Dubai yang telah melalui perubahan besar dalam tempoh 25 hingga 30 tahun lalu.

Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri
Katanya, dahulu, Dubai hanyalah kawasan padang pasir, namun mereka berjaya menjadi hab antarabangsa yang maju dengan menubuhkan syarikat penerbangan Emirates dan menarik pelancong dari seluruh dunia.
Tambah beliau lagi, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri dengan kekayaan sumber semula jadi, masyarakat yang harmoni, dan kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa. Jika Dubai boleh berjaya, beliau yakin bahawa Sarawak juga mampu mencapainya.

Pada majlis yang sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyampaikan Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Datu Aloysius J. Dris, yang diiktiraf atas sumbangan besarnya kepada industri pelancongan Sarawak, terutamanya dalam penubuhan Sarawak Tourism Board serta penganjuran acara ikonik negeri itu, Festival Hutan Hujan Sedunia.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, serta tetamu kehormat lain.

