APMM tumpaskan sindiket seludup kerbau
Akibat Seludup Kerbau Dari Sabah Guna Bot, 3 Individu Dicekup Di Perairan Lawas. Sebuah bot penumpang yang membawa lima ekor kerbau hidup dalam perjalanan dari Sabah ke Sarawak ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 3.1 batu nautika selatan Tanjung Perapat pagi Selasa.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, menyatakan bot tersebut ditahan sekitar jam 10.45 pagi oleh bot ronda APMM dalam Ops Permai 01/2019 dan Ops Tiris 3.0 di perairan Lawas.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati bot penumpang berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong serta dua awak-awak yang kesemuanya warga tempatan.
“Bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9(1) dan (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999 kerana gagal mengemukakan permit pemindahan haiwan ternakan ke Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, menurutnya, bot bersama semua kru dan haiwan terbabit diiringi ke Jeti Pejabat Daerah Lawas sebelum diserahkan kepada pegawai Jabatan Veterinar Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Mohd Khairol Anuar menegaskan bahawa APMM akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah yang ingkar.
Sebarang maklumat, aduan, dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Perkhidmatan Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204.
Selain itu, maklumat dan aduan juga boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016.
