Anda boleh cuba aktiviti ini bersama keluarga anda
Ini Adalah 6 Aktiviti Menarik Untuk Terokai Keindahan Alam Di Kota Kinabalu. Kalau sebut Sabah, benda yang terlintas di fikiran kita mesti Gunung Kinabalu, kan? Takpun, kesegaran hidangan hidupan laut.
Tahukah anda, terdapat banyak lagi aktiviti-aktiviti yang anda boleh lakukan semasa anda sedang bercuti di negeri bawah bayu ini. Tanpa buang masa, berikut ialah senarai aktiviti-aktiviti yang menarik!
Melihat matahari terbit di puncak Kinabalu
Menjadi salah satu tarikan utama bagi para pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu sejak dari dahulu lagi
Bagi pencinta alam, tidak sah kalau tidak berkunjung ke gunung Kinabalu bagi menyaksikan matahari terbit di puncaknya yang sentiasa menjadi salah satu tarikan utama bagi para pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu sejak dari dahulu lagi kerana kekayaan biodiversitinya. Berbagai jenis tumbuhan dan haiwan dapat dilihat di sekitar kawasan gunung yang tidak terdapat di tempat lain di dunia.
Laluan sepanjang kira-kira 8 km untuk ke puncak diharungi dengan melalui pelbagai jenis ekosistem yang terdapat di sana. Para pendaki juga akan melalui dan melihat perubahan yang ketara dari kepadatan hutan di bawah sehingga ke permukaan berbatu di puncak.
Ianya amat berbaloi untuk menginap semalaman di kem Laban Rata
Walaupun ianya tidak mustahil untuk mendaki ke puncak dalam masa satu hari, ianya amat berbaloi untuk menginap semalaman di kem Laban Rata. Dengan menginap di sana anda berpeluang untuk mendaki ke puncak di keesokan harinya bermula seawal 2 pagi bagi melihat matahari terbit. Selain itu, anda juga boleh mengambil masa bagi menikmati suasana dan melihat keindahan flora dan fauna di sepanjang laluan pendakian.
Berenang dan menyelam di taman laut.
Terdapat 4 buah pulau yang sering dilawati di Taman Laut Tunku Abdul Rahman iaitu Pulau Gaya merupakan pulau terbesar di taman ini dan penuh dengan resort mewah seperti Gaya Marine Resort yang mempunyai bilik yang menghadap laut sesuai untuk anda yang datang bersama pasangan atau keluarga. Pulau Sapi terkenal dengan batu karangnya dan ikan-ikan yang cantik, Pulau Manukan dengan pantainya yang putih, kedai makanan dan saiz pantainya lebih besar, Pulau Mamutik merupakan pulau yang paling kecil di taman ini dan airnya yang cetek.
Taman ini sering menjadi tumpuan utama para penyelam dari serata dunia. Anda disarankan bagi membuat tempahan awal jika ingin mengunjungi pulau-pulau ini kerana tempatnya yang terhad. Antara aktiviti tumpuan di pulau-pulau ini ialah snorkelling dan menyelam dan harga yang ditawarkan juga agak berpatutan mengikut pakej yang anda pilih.
Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ke taman laut ini dengan menaiki bot laju daripada terminal feri Jesselton Point di Kota Kinabalu. Taman laut ini dibuka seawal jam 8:30 pagi sehingga jam 5.00 petang manakala operasi bot laju di terminal feri Jesselton Point pula dibuka pada jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.
Melihat matahari terbenam di tepi pantai
Pantai Tanjung Aru yang hanya terletak kira-kira 6 km sahaja dari bandar Kota Kinabalu merupakan salah satu tempat menarik yang harus dilawati terutamanya pada waktu petang dan malam. Destinasi santai tepi pantai ini amat sesuai untuk anda berehat dan menenangkan fikiran sambil melihat keindahan matahari terbenam pada waktu senja dan juga melihat kapal terbang mendarat di lapangan terbang berdekatan.
Terdapat juga beberapa tempat penginapan dan hotel di sini seperti C’haya Hotel dengan harganya yang berpatutan bagi anda yang ingin meluangkan masa beberapa hari menikmati suasana pantai. Selain itu, Tanjung Aru Perdana Park menjadi pilihan pada waktu malam kerana keindahan air pancut yang berwarna-warni dan diiringi dengan muzik lagu sambil menikmati suasana pantai dan makan malam. Tempat ini amat sesuai bagi anda yang ingin datang melancong bersama seisi keluarga.
Selain aktiviti pelancongan, Pantai Tanjung Aru juga menjadi pilihan untuk melakukan aktiviti riadah, berjogging, mandi pantai serta barbeku bersama keluarga dan sahabat handai terutamanya di hujung minggu. Kanak-kanak juga berpeluang untuk mandi pantai, bermain layang-layang, belon buih dan sebagainya. Namun ibu bapa dinasihatkan untuk mengawasi anak-anak mereka yang mandi di tepi pantai kerana terdapat obor-obor yang boleh mendatangkan kecederaan akibat sengatannya.
Makan dan membeli kraftangan tempatan
Terletak di pusat bandar Kota Kinabalu, Jesselton Point merupakan salah satu daya tarikan utama di bandar ini dan harus dilawati. Selain dari menjadi pusat pengangkutan utama feri untuk ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman, tempat ini mempunyai banggunan dengan binaan unik, pondon telefon antik, gerai-gerai makanan dan kraftangan hasil penduduk tempatan di tepi laut dan laluan pejalan kaki diatas air.
Di sini anda bebas untuk berjalan-jalan sambil memesan makanan dan minuman di gerai. Anda juga dapat menikmati suasana pemandangan matahari terbenam tepi laut yang indah sambil ditiup angin sepoi-sepoi di waktu senja.
Melihat spesis haiwan dan flora dan fauna yang dilindungi
Jika anda berkunjung ke Kota Kinabalu, Taman Hidupan Liar Lok Kawi merupakan salah satu tempat yang anda harus lawati. Dengan kawasannya yang sangat luas, di sini anda boleh melihat pelbagai spesis haiwan yang dilindungi seperti monyet Proboscis, ular, burung, unggas, musang, rusa dan sebagainya. Taman hidupan liar ini terletak di jalan lama Penampang-Papar dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke sini dari pusat bandar Kota Kinabalu.
Selain daripada spesis haiwan yang dilindungi, taman ini juga menawarkan peluang kepada para pengunjung untuk merasa pengalaman melalui laluan botani di dalam hutan hujan sepanjang 1.4km untuk melihat spesis tumbuhan yang jarang dijumpai di tempat lain. Taman ini dibuka dari jam 9:30 pagi sehingga jam 5:30 petang setiap hari.
Menerokai gua batu kapur terbesar di Borneo
Bagi anda yang inginkan lebih cabaran dan menikmati suasana tropikal, Gua Gomantong merupakan destinasi yang sesuai. Terletak di hutan simpan daerah Kinabatangan, kira-kira 85km dari bandar Sandakan. Gua Gomantong merupakan gua yang terbesar dan menjadi sumber paling penting sarang burung di Sabah. Merupakan gua batu kapur yang mengandungi 9 buah gua di dalamnya, dan antara dua gua yang terbesar ialah gua Simud Putih, dan gua Simud hitam. Gua Simud Hitam dibuka seawal jam 8:00 pagi sehingga 6:00 petang pada setiap hari. Bagi anda yang ingin menerokai gua Simud Putih hendaklah mendapatkan permit khas dan mendaki selama 30 minit untuk sampai ke sana.
Selain keindahan alam sekitarnya, jika anda bertuah pada hari tersebut anda juga dapat melihat orangutan atau red-leaf monkey ketika melalui laluan untuk ke gua Simud Hitam merentasi hutan hujan Gomantong. Anda dinasihatkan untuk membawa lampu suruh kerana keadaan yang gelap di dalam gua. Gua ini juga merupakan rumah kepada ribuan burung walit, kelawar, dan pelbagai jenis serangga yang merangkak di merata tempat. Jadi bagi anda yang takutkan serangga, tempat ini bukanlah tempat yang sesuai.
Sememangnya Kota Kinabalu mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dilawati dan amat berbaloi untuk meluangkan masa lebih dari 1 hari disini. Selamat melancong!
Sumber : Travelog Expedia