Sungguh aneh!
Alasan Ingin Jumpa TYT, Penganggur Ceroboh Astana Negeri Sarawak Didenda RM3K. Dilaporkan bahawa seorang penganggur lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuching pada hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh Astana Negeri Sarawak atas alasan hendak berjumpa dengan Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menceroboh kawasan Astana Negeri Sarawak
Majistret Zubaidah Sharkawi juga menetapkan tertuduh, Mohamad Firdaus Mohamad Ali yang berusia 35 tahun itu untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki dari Debak itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Astana Negeri Sarawak tanpa kebenaran pada 15 September lalu, pada jam lebih kurang 6.46 pagi di Jalan Astana, Kuching.
Menurut fakta kes, pasukan keselamatan kawasan tersebut yang sedang menjalankan rondaan menemui tertuduh berdiri di hadapan premis tersebut tanpa sebarang alasan munasabah.
Tertuduh dikatakan berada dalam keadaan berhalusinasi dan dikatakan tidak melakukan apa-apa pada waktu kejadian. Di samping itu, turut difahamkan bahawa tertuduh yang berjalan kaki telah menyatakan dia mahu berjumpa dengan TYT namun gagal menjelaskan atas tujuan apa.

Tiada barangan menyalahi undang-undang
Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan tertuduh juga mendapati tiada barangan menyalahi undang-undang dan juga tiada kerugian dialami serta tidak ada kerosakan harta benda dilaporkan.
Atas perbuatan tersebut, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh pula tidak diwakili oleh mana-mana peguam.