Disiplin Murid di Sekolah Ini Dikatakan Tidak Terkawal
Anak Dibuli Sehingga Patah Tulang Belakang, Ibu Dakwa Sekolah di Serian Ini Gagal Kawal Disiplin Murid. Sebuah hantaran yang kini telah dikongsikan lebih 2,000 kali di Facebook telah mencetuskan perbincangan hangat mengenai keadaan asrama di sebuah sekolah menengah di Serian, Sarawak.
Menurut hantaran tersebut, keadaan asrama di sekolah berkenaan semakin merosot dengan berlakunya pelbagai insiden buli, kecurian dan kegagalan pihak sekolah untuk menjaga keselamatan murid.

Ibu Ini Dakwa Ketiga-Tiga Anaknya Dibuli, Menjadi Mangsa Kecurian
Seorang ibu yang bernama Qistyna Adyputra Sowe melalui hantaran Facebooknya, yang terkesan menceritakan tiga kejadian yang dialami oleh anak-anak nya. Anak pertama dikatakan telah mengalami buli yang amat teruk sehingga menyebabkan tulang belakangnya retak akibat dipukul, ditambah pula dengan kecurian duit belanja dan makanan. Apabila pihak pengurusan asrama dipanggil untuk bertanggungjawab, jawapan yang diberikan pula mengelirukan, iaitu “bukan saya handle anak awak seorang saja”, seolah-olah mereka mengurus beribu-ribu murid sekaligus.
Kisah serupa berulang ketika anak kedua ditempatkan di asrama sekolah yang sama. Anak tersebut tidak hanya mengalami buli yang membawa kepada kemasukan hospital, malah kes tersebut turut dibawa ke pihak polis. Apabila Qistyna bertanyakan punca kejadian ini, seorang guru hanya menyatakan bahawa murid yang membuli tersebut mengakui berbuat demikian kerana “tumbuk kerana nampak badan dia besar” dan “cantik muka budak tu”, tanpa ada usaha menyelesaikan masalah dengan serius. Situasi ini menyebabkan anak tersebut terpaksa keluar dari asrama akibat trauma dan fobia.
Tidak ketinggalan, anak ketiga juga menyaksikan nasib yang tidak berbeza. Sejak hari pertama, dia kehilangan barang-barang peribadi termasuk sabun dan duit kecil. Kejadian kecurian yang berulang kali, sehingga duit yang sepatutnya digunakan untuk membayar buku, menunjukkan kawalan disiplin yang lemah di asrama. Tindakan buli yang dibiarkan berterusan, malah disokong oleh rakan-rakan sekelas yang tidak dapat memberikan pertahanan yang cukup, turut menyumbang kepada suasana tidak selamat di dalam asrama.
Pihak Sekolah Didakwa Gagal Mengawal Disiplin Murid
Menurut hantaran tersebut, punca utama kepada masalah ini adalah sikap dan tindakan pengurusan sekolah berkenaan yang semakin membiarkan keadaan berlengah.
Ujar Qistyna lagi, suatu ketika dahulu, di bawah pimpinan Cikgu Anna Dreba sebagai pengetua, disiplin di sekolah dikatakan lebih teratur dan murid-murid berkelakuan seperti “malaikat”. Kini, pihak guru dan cikgu dikritik kerana terlalu lembik dalam menangani pelajar yang berkelakuan agresif dan terlibat dalam kecurian. Mereka didakwa tidak berupaya untuk mengawal murid-murid yang semakin liar dan tidak berdisiplin, sehingga menyumbang kepada suasana asrama yang tidak kondusif untuk pembelajaran.
Pihak Sekolah Digesa Ambil Tindakan Tegas Bendung Buli dan Kecurian
Sehubungan itu, ibu kepada tiga anak yang bersekolah di sekolah berkenaan menyeru agar pihak sekolah mengambil tindakan segera. Antaranya mencadangkan agar murid-murid yang sering terlibat dalam buli dan mempunyai masalah disiplin dikeluarkan daripada asrama, agar mereka yang benar-benar berminat untuk belajar dalam suasana tenang tidak terjejas.
Selain itu, pihak sekolah juga digesa untuk menekankan kepentingan menyediakan satu saluran rasmi untuk urusan pembayaran buku dan keperluan sekolah agar tidak berlaku lagi kes kecurian dalam kalangan murid kerana murid membawa jumlah wang yang besar ke sekolah.
Sekolah Tradisional Yang Dihargai
Sekolah yang terletak di Serian itu, yang turut dikenali sebagai “Skulah Batu Ajung” oleh masyarakat setempat, merupakan sekolah penuh legasi yang sangat dihargai oleh ramai warga Serian. Namun, keadaan terkini yang dilaporkan melalui hantaran ini menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan dan keselamatan murid-murid yang menuntut ilmu di sana. Adakah pihak sekolah benar-benar mampu mengawal keadaan agar murid-murid dapat belajar dengan aman dan tenang?
Masyarakat kini menantikan tindakan segera dan tegas, bukan sahaja daripada pihak sekolah, tetapi juga campur tangan pejabat pendidikan serta kementerian pendidikan untuk mengembalikan disiplin dan keselamatan di asrama, demi kesejahteraan murid-murid yang terlibat di sekolah berkenaan.

