Guna Baik-Baik, Makcik Kiah.
Analogi ‘Kak Kiah’ Beri Gambaran Pecahan Bantuan Yang Diperolehi Rakyat. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) memandangkan keadaan ekonomi dan sosial yang tidak baik akibat dilanda pandemik COVID-19 ini. Melalui pakej PRIHATIN yang berjumlah RM 250 bilion ini, ia dilihat memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira latar belakang pendapatan dan pekerjaan.
Antara bantuan yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia ialah bantuan prihatin nasional yang bernilai RM1,600, tambahan elaun khas petugas kesihatan dan pertahanan awam sebanyak RM 200, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM 500, serta bantuan individu bujang yang berusia 21 tahun ke atas.
Bukan itu sahaja, pelbagai manfaat penangguhan bayaran pinjaman turut diumumkan dan ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia yang sedang bergelut untuk kelangsungan hidup.
Analogi ‘Makcik Kiah’ Mendapat Pujian Netizen
Namun, apa yang paling menarik perhatian ialah penggunaan analogi sebuah keluarga Melayu Makcik Kiah yang menggambarkan pecahan bantuan pakej PRIHATIN ini untuk sebuah keluarga M40 di Malaysia. Rata-rata netizen memuji pendekatan yang digunakan perdana menteri kerana ia mudah difahami dan dekat di jiwa rakyat Malaysia.
Berikut merupakan kira-kira pecahan manfaat dan penjimatan yang diperolehi oleh keluarga Makcik Kiah daripada pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN;
Manfaat Yang Diperolehi Keluarga Makcik Kiah
Berdasarkan jadual ini, seluruh isi rumah Makcik Kiah akan mendapat bantuan tunai sebanyak RM 4,200 sepanjang tempoh terjejas. Hal ini sudah tentu memberi kelegaan kepada keluarga M40 dengan pendapatan bawah RM 4,000. Begitu juga dengan golongan isi rumah berpendapatan RM 4,000 hingga RM 8,000.
Namun, Makcik Kiah sebenarnya perlu menumpukan perhatian yang lebih kepada jumlah penjimatan daripada pemberian penangguhan bayaran kerana jika terlebih belanja, keluarga Makcik Kiah ini akan merana setelah tamat tempoh 6 bulan.
Penjimatan Keluarga Makcik Kiah Sepanjang 6 Bulan
Walau pun jadual ini menunjukkan jumlah penjimatan Makcik Kiah selama 6 bulan adalah RM 4,464, menurut seorang pengguna laman sosial Twitter, jumlah penjimatan sebenar keluarga Makcik Kiah hanyalah sekitar RM 864 daripada sejumlah RM 4,464.
Hal ini kerana keluarga Makcik Kiah tetap perlu membayar hutang pinjaman setelah tamat tempoh 6 bulan penangguhan. Bukan itu sahaja, penangguhan pembayaran ini juga bermakna tempoh pinjaman Makcik Kiah akan dilanjutkan selama 6 bulan lagi dari tarikh tamat pinjaman. Oleh itu, keluarga Makcik Kiah harus bijak menggunakan wang penjimatan ini untuk kelangsungan hidup, dan bukannya untuk tujuan kemewahan sementara.
Tangguh Bayaran Hutang Bukan Bermaksud Hutang Anda Dibayar Kerajaan Selama 6 Bulan
Sekiranya keluarga Makcik Kiah ini cukup bijak menguruskan kewangan, lebihan wang penjimatan setelah tamat tempoh 6 bulan boleh digunakan untuk melangsaikan kadar faedah pinjaman yang masih berjalan sepanjang tempoh 6 bulan penangguhan. Dengan itu, barulah Makcik Kiah tidak terkapai-kapai dengan bayaran bulanan yang lebih tinggi daripada sebelum ini.
Harus diingatkan bahawa ia hanyalah penangguhan bayaran hutang, bukan hutang anda dibayar kerajaan. Jadi, tetap kena bayar ya, Makcik Kiah.
Analogi ‘Makcik Kiah’ Merakyatkan Pakej PRIHATIN
Analogi ‘Kak Kiah’ yang digunakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah ‘layman term’ atau kaedah penjelasan yang mudah difahami oleh golongan yang kurang arif tentang terma ekonomi yang teknikal dan formal.
Dengan menggunakan gambaran sebuah keluarga yang mewakili golongan B40 di Malaysia, ia adalah lebih mudah untuk rakyat memahami pecahan bantuan yang disampaikan oleh kerajaan sama ada manfaat secara individu mahupun manfaat keseluruhan yang diperolehi oleh seluruh isi rumah.
Tidak dinafikan, penggunaan bahasa yang mudah dan gaya dekat di hati rakyat seperti kaedah ‘Kak Kiah’ dan sepanjang beberapa siri perutusan sebelum ini ternyata memberi persepsi positif terhadap kompetensi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tatkala negara dilanda krisis akibat pandemik COVID-19.
Sekarang, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mematuhi PKP dan berganding bahu memerangi COVID-19
Terima kasih PM! Terima kasih Malaysia!
No one will be left behind.