Artifak rare yang menggambarkan zaman amalan penghambaan manusia.
Ashley’s Sack, Kisah Beg Guni Bersulam Milik Hamba Kanak-Kanak Kurun Ke-18. Untuk mengetahui bahawa manusia pernah menghambakan orang lain membawa pemikiran yang pahit dalam fikiran. Malah, ia perkara yang lebih pahit untuk dikenang terutamanya bagi masyarakat orang berkulit hitam di Amerika Syarikat.
Ringkas kata, masyarakat orang berkulit hitam di Amerika Syarikat merupakan keturunan hamba yang dibawa (kebiasaannya, tanpa kebenaran akibat diculik) ke Amerika Syarikat dari Afrika pada kurun ke-17 dan ke-18. Amalan penghambaan manusia telah dipraktikkan di Amerika-Inggeris sejak zaman penjajahan terawal, dan sah di semua 13 jajahan pada masa jajahan tersebut yang membentuk Amerika Syarikat. Di bawah undang-undang, para hamba diperlakukan sebagai harta benda dan dapat dibeli, dijual, atau diberikan. Amalan penghambaan manusia berlaku di sekitar separuh negeri-negeri di A.S. hingga tahun 1865.
Oleh itu, penemuan Ashley’s Sack iaitu sebuah beg guni yang disulam dengan kisah seorang anak perempuan dijual sebagai hamba dan terpaksa dipisah dari ibunya dianggap sebagai artifak rare yang menceritakan satu masa dalam sejarah Amerika Syarikat ketika amalan penghambaan manusia adalah sah.

Dibeli dari sebuah market dengan berjumlah USD20
Beg guni ini dijumpa apabila seorang wanita membelinya dari sebuah market di Nashville, AS dengan jumlah USD20 pada awal 2000-an. Terkejut apabila menyedari beg tersebut mempunyai sulam yang mengisahkan sebuah penjualan hamba yang memisahkan seorang ibu dari anaknya, wanita tersebut melakukan carian Internet untuk “hamba” dan “Middleton” dan kemudian menghadiahkan beg guni itu ke Middleton Place, AS.
Berikut adalah cerita yang disulam pada beg tersebut (diterjemahkan):
“Nenek moyang saya, Rose
ibu kepada Ashley memberinya beg guni ini ketika
dia dijual pada usia 9 tahun di South Carolina
ia diisi sehelai gaun, 3 segenggam
kacang pecan, beberapa helai rambut Rose. Beritahu dia
Ia sentiasa dipenuhi dengan cintaku.
Dia tidak pernah melihatnya lagi
Ashley ialah nenek saya”
– Ruth Middleton, 1921″
Merupakan artifak luar biasa, ia merupakan sebuah material yang penting dalam sejarah Afrika-Amerika. Menurut Tracey Todd, naib presiden Middleton Place Foundation, beliau berkata beg guni tersebut adalah sebuah portal untuk memahami lebih lanjut tentang sejarah ini.
“Beg guni itu membolehkan kita berhubung dengan orang-orang yang dihambakan dan merasakan kesakitan yang sama hari ini – jika anda kehilangan anak atau berpisah dengan ibu bapa – yang dirasakan oleh Rose dan Ashley,” katanya lagi.

Jadi, apa berlaku kepada Ashley?
Dipamerkan dari 2009 hingga 2013 di Middleton Palace, artifak tersebut menggambarkan penderitaan dan ketahanan manusia. Masa tempoh ini, identiti Rose, Ashley, dan Ruth tidak diketahui. Beg tersebut dikunjung oleh ribuan pengunjung muzium, termasuk antropologi sosiobudaya Universiti Washington dan profesor kajian muzium, Mark Auslander, yang sejak itu menjejaki sejarah beg guni tersebut untuk mengenal pasti siapa Ashley, ibunya Rose, dan cucu Ashley, iaitu Ruth, yang sulamkan kisah neneknya pada beg tersebut.
Setelah menggunakan laporan bancian, surat wasiat, surat khabar pengumuman keputusan mahkamah serta catatan inventori untuk menyusun kembali sejarah mereka, ia menunjukkan bahawa Ashley dan ibunya Rose telah dihambakan oleh seorang pedangang dan pekebun yang kaya, iaitu Robert Martin (sekitar 1790 – 1852). Setelah kematiannya, bukti sejarah mencadangkan Ashley dijual dan dipisahkan dari ibunya untuk mengumpulkan wang untuk waris Robert Martin.
Auslander juga mendapati Ruth Middleton dilahirkan sebagai Ruth Jones di Columbia, Carolina Selatan, sekitar tahun 1903. Ibu bapanya, Austin dan Rosa Jones, merupakan pelayan di University of South Carolina. Ruth kemudian pergi ke Philadephia, Pennsylvania dan berkahwin dengan Arthur Middleton, yang dilahirkan sekitar tahun 1899.
Ruth kemudian melahirkan seorang anak perempuan, Dorothy Helen, pada tahun 1919. Pada tahun 1921, ketika beg guni tersebut disulam, Ruth mungkin telah menjadi ibu tunggal. Laporan akhbar dan catatan banci menunjukkan bahawa sepanjang hidupnya, Ruth bekerja di beberapa rumah tangga makmur di Philadephia. Menjelang tahun 1928, dia terkenal di kalangan masyarakat berstatus tinggi Afrika-Amerika di Philadelphia. Auslander kemudian mendapati Ruth sentiasa mengadakan majlis hiburan dan memakai pakaian elegen. Anak perempuannya, Dorothy Helen, juga terkenal dengan fesyennya dan bekerja sebagai seorang penulis.
Ruth meninggal dunia pada January 1942 manakala anak tunggalnya Dorothy Helen meninggal dunia pada 1988.

Walaupun tiada lagi waris untuk menceritakan kisah ini secara lisan, beg guni bersulam ini akan selamanya akan menjadi peringatan kisah mereka.