Perkara ini menjadi perhatian netizen selepas Datuk Bandar Miri memuat naik satu hantaran mengenainya.
Banyak Aduan Tentang Miri Dicemari Bau ‘Busuk’ Bubuk, Sekali Ini Respon Pedas Netizen. Bubuk adalah sejenis hidupan laut yang halus dan merupakan ramuan utama yang digunakan untuk menghasilkan penyedap makanan di Malaysia iaitu belacan. Bukan itu sahaja, bubuk juga banyak digunakan untuk menghasilkan makanan tradisi lain seperti cencaluk, pekasam dan sebagainya.
Memandangkan pada waktu ini adalah musim bubuk, maka ramailah yang mengambil kesempatan untuk membuat belacan dan cencaluk untuk disimpan sebagai stok atau jualan sepanjang tahun ini. Yalah, musim bubuk kan sekali sahaja dalam setahun. Jadi, rugi pula jika tidak memanfaatkan musim ini dengan sebaiknya. Apatah lagi hasil yang diperolehi daripada jualan bubuk ini sangat lumayan.

Ada yang mengadu tentang bau bubuk kering yang mencemari kawasan sekitar Miri
Namun demikian, menerusi sebuah hantaran Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang di laman Facebook rasminya pada 26 Mac yang lalu, beliau mendapat banyak aduan tentang pencemaran bau di sekitar Miri hasil daripada bubuk yang dikeringkan oleh jiran-jiran mengusahakan belacan. Apuu.
Datuk Bandar tersebut kemudian meminta pendapat penduduk di Miri tentang apa tindakan yang patut dilakukan oleh pihaknya berkenaan aduan yang diajukan. Hantaran yang bersifat diskusi terbuka berkenaan mendapat perhatian netizen dengan sekelip mata dan sehingga kini dibanjiri dengan 499 komen serta 381 perkongsian.

Sumber : FB Miri City Mayor – Adam Yii Siew Sang
Masalah tersebut dibalas pedas oleh netizen
Perkongsian tersebut telah menerima komen-komen pedas daripada netizen yang nyata tidak bersetuju dengan si pengadu kerana bau-bauan itu hanyalah untuk tempoh masa yang sementara. Malah, terdapat pencemaran bau yang lebih teruk daripada bau bubuk yang dikeringkan. Contohnya seperti sisa-sisa sampah serta sistem perparitan yang tidak teratur.
“Ia adalah satu budaya atau tradisi dan kita seharusnya berbangga sebagai rakyat Sarawak kerana mempunyai suasana bermusim seperti ini setiap tahun. Kita juga patut berasa bersyukur setiap tahun kerana adanya musim menuai untuk orang tempatan menjana pendapatan dan belacan atau cencaluk yang enak untuk menghasilkan hidangan kita seperti Laksa (Sarawak). Sebagai seorang rakyat Sarawak, kita patut menghargai budaya ataupun tradisi ini. Bersikaplah lebih toleransi dan memahami. Biarkan majlis bandaraya menyelesaikan masalah yang lebih mendatangkan manfaat kepada komuniti. Saya secara peribadinya menikmati belacan dan cencaluk.
Sarawak Boleh!!!”
Komen netizen
“Jadi, apa isunya? Ia adalah suasana bermusim setiap tahun selama hanya 1 atau 2 bulan sahaja untuk sesetengah mereka (masyarakat) menjana pendapatan ataupun untuk dimakan sendiri. Saya tidak pernah mendengar seseorang membuat aduan tentang bau durian apabila tiba musimnya. Bau-bauan itu tidak mendatangkan sebarang kemudaratan mahupun kecederaan. Hanya mereka sahaja yang mempunyai hati yang busuk. Pedulikan mereka. Kita tak dapat nak memuaskan hati semua orang,”
Komen netizen

“Kalau bubuk tetap degil datang ke Miri, pastikan mereka ada permit polis dan kuarantin 14 hari,” – Netizen
Bukan setakat itu, ada juga netizen yang meninggalkan komen-komen nakal yang bernada sinis. Dalam masa yang sama, ia sebenarnya pada masa yang sama memberi petunjuk kepada netizen lain bahawa aktiviti pengeringan bubuk tidak dapat dihalang dan bau-bauan daripada aktiviti tersebut hanyalah bersifat sementara.
Paling nakal, ada yang mencadangkan pihak majlis bandaraya untuk memberitahu bubuk untuk tidak datang ke pesisir. Kalau mereka tetap berdegil untuk datang, pastikan mereka mempunyai permit polis dan dikuarantin selama 14 hari.

Datuk Bandar beri kesimpulan dalam hantaran baharu
Justeru, daripada respon orang ramai yang nyata tidak menyalahkan bau-bauan bubuk itu, Datuk Bandar Miri kemudiannya memuat naik sebuah hantaran baru sebagai kesimpulan daripada permasalahan tersebut.
Dalam hantaran terbaru tersebut, Datuk Bandar Adam Yii bersetuju bahawa fenomena ini hanyalah bersifat sementara dan bermusim. Malah, ia adalah aktiviti budaya atau tradisi yang perlu dihormati oleh semua kaum berdasarkan semangat Sarawak yang tidak dapat dilihat di tempat lain.

“Warga Miri yang dihormati, semalam saya berkongsi aduan yang saya terima mengenai bubok. Terdapat sambutan besar dengan ratusan komen. Sebilangan besar komen menyokong pandangan bahawa bubok adalah bermusim, budaya, tradisional dan komersial. Oleh itu, ia harus ditoleransi dan diterima.
Saya bersetuju sepenuhnya dengan rasional ini dan berkongsi pendapat ini. Inti dari masalah ini adalah, seperti banyak perkara lain dalam hidup, tidak ada kesudahan yang betul atau salah. Itu bergantung pada pandangan anda. Namun, semangat utama sebahagian besar komen adalah memberi dan menerima serta bertoleransi dan menerima kerana ia bersifat bermusim, budaya, tradisional dan komersial. Saya rasa ini melambangkan Semangat Sarawak kita – Semangat Sarawak. Dan ini membezakan kita dari yang lain.
Dengan catatan gembira ini, saya akan menutup subjek ini. Terima kasih banyak atas perkongsiannya. Selamat Malam,”
Adam Yii, Datuk Bandar Miri. Terjemahan hantaran asal oleh Dr Gabriel.
Begitulah kesudahan kisah bau-bauan bubuk yang mendedahkan bahawa majoriti rakyat Sarawak sebenarnya menganggap ia sebagai suatu aktiviti budaya dan tradisi dan bermusim. Malah, pembuatan belacan dan cencaluk ini juga menjadi sumber pendapatan utama sebahagian komuniti di bahagian Miri.
Maka, benarlah kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Bandar ini. Hidup kita hendaklah sentiasa mempunyai semangat tolak ansur serta semangat memberi dan menerima. Mbak rilek, okay? Belacan ya juak dicarik dirindu bila kitak orang jauh dari Malaysia nak?