Penutupan jalan sempena Sambutan Hari Sarawak tahun 2024
Sempena Sambutan Hari Sarawak, Beberapa Jalan Di Bintulu Bakal Ditutup 22 Julai Ini. Dilaporkan, beberapa jalan akan ditutup sementara bagi memastikan kelancaran sambutan Hari Sarawak Peringkat Negeri tahun ini yang berlangsung di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, pada Isnin (22 Julai 2024).
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali, antara jalan yang akan ditutup sementara adalah arah masuk Jalan Abang Galau iaitu di sebelah kiri Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu hingga ke lampu isyarat Jalan Paragon.

Bahagian jalan lain yang turut ditutup
Beliau berkata, bahagian jalan lain yang turut ditutup adalah dari arah lampu isyarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Jalan Sultan Iskandar menuju ke lampu isyarat Paragon dan Jalan Tun Razak iaitu sebelah kanan Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu sehingga lampu isyarat simpang empat ke arah Pusat Komersial Parkcity.
Penutupan jalan itu dikatakan akan bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam 22 Julai bagi memastikan kelancaran sepanjang majlis diadakan.
Selain itu, beliau juga berkata bahawa penutupan jalan itu untuk menjaga keselamatan tetamu kehormat serta orang awam yang berkunjung ke tapak sambutan perayaan itu.
Oleh itu, orang ramai dinasihati menggunakan jalan alternatif bagi sebarang urusan di bandar namun penutupan dan lencongan jalan akan dibuka semula bergantug dengan keadaan semasa.

Dilarang untuk menerbangkan dron tanpa kebenaran
Atas dasar keselamatan juga, orang ramai adalah dilarang untuk menerbangkan dron tanpa kebenaran dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan sentiasa mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas di lapangan.
Secara keseluruhan, seramai 410 anggota polis terdiri daripada 31 pegawai kanan polis dan 379 pegawai rendah polis akan bersiap siaga melaksanakan tugas di lapangan bagi memastikan sambutan Hari Sarawak 2024 peringkat negeri ini berjalan dengan lancar.
Pihak beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang, tata etika, peraturan lalu lintas dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas di lapangan bagi memastikan program ini berjalan lancar dalam keadaan aman dan harmoni.
Hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304 untuk sebarang pertanyaan.

