Kerja-kerja pembaikan berjaya diselesaikan
Paip Bocor Kini Sudah Dibaiki, Bekalan Air Kembali Pulih Di Kota Samarahan. Dilaporkan bahawa, bekalan air di Kota Samarahan kini kembali pulih setelah kerja-kerja pembaikan paip yang rosak di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan selesai.
Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) mengumumkan dalam kenyataan di laman Facebook mereka pada sekitar jam 2 pagi tadi bahawa kerja-kerja pembaikan berjaya diselesaikan sejurus selepas tengah malam.

Mungkin masih mengalami tekanan air rendah
Namun, penduduk yang terjejas mungkin masih mengalami tekanan air rendah selama beberapa hari sementara tekanan air kembali kepada normal.
Sarawak Metro Sdn Bhd juga telah memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami, khususnya kepada komuniti yang terjejas di Kota Samarahan, menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sebelumnya, Sarawak Metro menjelaskan bahawa paip air tersebut telah rosak akibat kerja pemindahan utiliti oleh subkontraktor semasa pembinaan Laluan Biru bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), telah diamanahkan oleh kerajaan Sarawak untuk memodenkan pengangkutan awam melalui projek KUTS ini.
Projek KUTS ini bakal memperkenalkan kenderaan Hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART) yang bebas pencemaran sebagai tulang belakang sistem pengangkutan tersebut.
Lembaga Air Kuching (KWB) pula telah mengeluarkan notis semalam, menyatakan bahawa paip yang rosak itu telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan, Jalan Kampung Tanjung Bako, Kampung Binyuk, Midway Crescent, Uni Garden, Kampung Segintin, Pusat Jantung Sarawak, dan kawasan sekitar sejak jam 11 pagi pada 25 November.
Gangguan bekalan air selama hampir dua hari itu menyebabkan penduduk terjejas meluahkan kekecewaan dan kemarahan mereka di media sosial.

