2340kg minyak masak paket dan 936kg gula pasir ditemui
KPDN Berjaya Tumpas Aktiviti Jualan Barangan Kawalan Subsidi Di Kuching. Pada 18 Oktober 2024 lalu, pegawai penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak bertindak atas aduan awam berkaitan jualan barangan kawalan dengan memeriksa sebuah premis di Jalan Setia Raja, Kuching.
Pemeriksaan ini bertujuan untuk mengenal pasti penyelewengan oleh peniaga dalam menjual barangan kawalan seperti minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar.

Barang telah disita
Dalam operasi ini, sepasukan enam pegawai berjaya menemui 2,340 kilogram minyak masak paket bersubsidi dalam bungkusan polibeg 1kg dan 936 kilogram gula pasir kasar dalam paket 1kg.
Barang-barang ini disita bersama dokumen yang relevan, dengan jumlah sitaan bernilai anggaran RM 8,517.60.

Memiliki atau menyimpan barangan kawalan dalam keadaan mencurigakan
KPDN Sarawak telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang melibatkan kesalahan memiliki atau menyimpan barangan kawalan dalam keadaan mencurigakan.
Kes ini kini dalam proses siasatan lanjut, dan tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya peniaga didapati melanggar undang-undang kawalan bekalan.

