Penghormatan besar buat beliau dan seluruh negeri Sarawak.
Kenali Benedict Sandin, Pakar Etnografi Pertama Sarawak Dan Sejarawan Iban Ulung Dunia. Tepat pada tarikh 18 Oktober 2020, Google telah mendedikasikan laman cariannya dengan illustrasi atau doodle seorang lelaki Sarawak.
Melalui doodle tersebut, lelaki tersebut dilihat sedang mencatat sesuatu pada buku notanya sambil berdiri di sekeliling kotak kaca yang mempamerkan artifak tradisional Sarawak seperti Baju Burung (baju tradisi lelaki Iban), Terabai (perisai masyarakat Iban), serta beberapa lagi barangan lain yang menyerupai huruf dalam ejaan Google.
Ramai yang tertanya-tanya siapakah sebenarnya lelaki Sarawak tersebut sehingga diberi penghormatan oleh pihak Google di laman cariannya?

Beliau merupakan ahli etnografi pertama Sarawak dan pakar budaya Iban yang terulung di dunia
Penjelasan ini dibuat di laman Twitter Google Malaysia yang menyatakan bahawa lelaki Sarawak tersebut merupakan Benedict Sandin. Beliau merupakan ahli etnografi dan juga kurator muzium Sarawak yang pernah giat memelihara warisan dan budaya masyarakat Iban di Sarawak. Wahh!
Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan salah seorang pakar budaya Iban yang terulung di dunia!
A Sarawakian folklorist and ethnographer is honored in today’s Doodle – and he is Benedict Sandin 🏅
— Google Malaysia (@GoogleMsia) October 17, 2020
Learn about the amazing story behind his dedication to safeguard and preserve Iban culture and heritage ➡️: https://t.co/aTni87W6FC pic.twitter.com/zVZqVSoRPK
Beliau diberi penghormatan oleh pihak Google bagi mengenang jasa dan sumbangan besar beliau dalam memelihara budaya Iban di Sarawak.
Memulakan kerjaya sebagai penyunting berita Iban pertama
Benedict Sandin atau nama asalnya, Sandin anak Attat merupakan anak jati Iban yang berasal dari Rumah Panjang Kerangan Pingai, Saribas, Saratok, Sarawak. Beliau dilahirkan pada 18 Oktober 1918 dan merupakan anak sulung daripada 4 orang adik beradik. Benedict juga merupakan cucu kepada Ketua Kawasan Asal Sungai Paku Iban di Saratok, Penghulu Garran ‘Lembang Batu’.

Sumber foto : Citizens Journal Malaysia
Semasa beliau membesar, bapanya, Attat anak Penghulu Garran telah memperkenalkan beliau kepada bahasa Iban yang mendalam dan puitis memandangkan bapanya merupakan seorang penglipurlara.
Dari situlah, Benedict berjaya menguasai bahasa Iban tersebut dan membawanya ke peringkat yang lebih jauh iaitu dalam penulisan artikel.
Jelas sumber dari laman rasmi Google Malaysia lagi, beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam Sarawak sebagai penyunting berita pada tahun 1941. Bahkan, Benedict juga menjadi editor berita pertama dalam Bahasa Iban melalui media Pembrita semasa awal kariernya.
Kerana artikel menakjubkan tentang Iban, Benedict diserap jadi pegawai berjawatan khas di Muzium Sarawak
Menyedari pengetahuan mendalamnya terhadap budaya Iban, pihak Kurator Muzium Sarawak segera memberi peluang kepada Benedict untuk berkhidmat sebagai penjawat awam berjawatan khas di Muzium Sarawak pada tahun 1952.
Tidak lama kemudian, Sandin menyertai program persekutuan UNESCO di New Zealand untuk mendalami ilmu berkaitan muzium dan antropologi. Sejurus selepas tamat program tersebut, beliau terus mendedikasikan hayat beliau untuk mendokumentasikan segala sumber sejarah berkaitan kaum Iban seperti budaya, bahasa. Malah, Benedict turut merekodkan pesanan ahli salasilah tempatan, ahli sejarah dan pujangga.
77 buah karya khas berkaitan Iban telah beliau terbitkan
Sepanjang kariernya sebagai ahli etnografi, Benedict telah menghasilkan sebanyak 77 buah karya termasuk penulisan artikel jurnal dan buku yang khas berkaitan Iban sahaja. Antara hasil tulisan yang sempat beliau terbitkan ialah Gawai Burong, Tusun Pendiau dan Sengalang Burong.

Disebabkan kegigihannya dan kecintaannya yang mendalam terhadap warisan Iban, Benedict Sandin diberi tanggungjawab sebagai Kurator Muzium Sarawak dan Ahli Etnologi Kerajaan pada tahun 1966. Beliau memegang jawatan tersebut selama satu dekad.
Benedict telah meninggal dunia pada 7 Ogos 1982 ketika beliau berusia 64 tahun. Mendiang telah disemadikan di tanah perkuburan Iban lama di Batu Anchau, kira-kira 2 km dari tempat kelahirannya di Krangan Pingai.
Penghormatan daripada Google, sebaris dengan Sybil Kathigasu
Dengan penghormatan ini, Benedict kini sebaris dengan Sybil Karthigasu, seorang jururawat yang gigih merawat mangsa perang dan sanggup mengorbankan dirinya ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Doodle Sybil pernah dipaparkan di laman carian Google pada 3 September 2016.


Walau pun namanya tidak begitu dikenali oleh orang ramai, namun jasanya dalam merekodkan segala sejarah dan budaya masyarakat Iban di Sarawak sungguh besar terutamanya untuk pengetahuan generasi muda yang akan datang.
Terima kasih Benedict Sandin!