Projek bernilai lebih RM 100 juta ini akan dibina di Kota Samarahan
Boulevard Terpanjang Di Sarawak Bakal Dibina Di Kota Samarahan. Dipetik dari The Borneo Post, sebuah Boulevard dengan ukuran panjang dua kilometer serta lebar 26 meter akan dibina di Kota Samarahan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Boulevard yang bakal dibina pada tahun ini sebaik selesai proses tender dikatakan akan menjadi boulevard terpanjang di Sarawak.

Dibina berhampiran Masjid Al-Muttaqin
Beliau berkata jalan itu akan dibina dari bulatan berhampiran Masjid Al-Muttaqin sehingga ke ibu pejabat Majlis Perbandaran Kota Samarahan, dengan kos lebih RM100 juta.
Selama ini, acara besar seperti sambutan hari kebangsaan atau hari jadi Yang di-Pertua Sarawak diadakan di Padang Merdeka di pusat bandar Kuching tetapi kawasan tersebut agak kecil.
“Setiap kali kita perarakan diadakan di Padang Merdeka tersebut, seluruh kawasan akan sesak. Justeru, kita memerlukan ruang yang lebih besar untuk mengurangkan kesesakan di lokasi berkenaan,” kata Abdul Karim pada sidang media setelah merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kompleks Sukan Asajaya semalam.

Akan siap dalam tempoh dua setengah tahun
Beliau turut menjelaskan pembinaan itu dijangka akan siap dalam tempoh dua setengah tahun, dan kerajaan negeri perlu memulakan perancangan awal untuk projek tersebut dengan mengenal pasti tapak yang sesuai untuk boulevard itu.
Tambahnya, projek itu akan dibahagikan kepada beberapa fasa.
Dalam masa yang sama, Abdul Karim berkata pelbagai kemudahan akan disediakan di sepanjang boulevard itu sebagai tempat yang sesuai untuk keluarga atau pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) atau Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkumpul, manakala pelbagai jenis tumbuhan juga akan ditanam di sana.