Takut anak tertinggal dalam kereta? Ini adalah cara untuk set Child Reminder pada Waze
Cara Set ‘Child Reminder’ Pada Waze, Bantu Elak Kejadian Tertinggal Anak Dalam Kereta. Malang memang tidak berbau dan tragedi boleh berlaku tanpa kita sedar. Menurut siakapkeli, kejadian tidak diingini seperti anak tertinggal dalam kereta bukanlah satu perkara yang diinginkan oleh mana-mana ibu bapa.
Terbaharu, menerusi perkongsian di laman X, Media Selangor menunjukkan cara untuk menetapkan tetapan ‘Child Reminder’ pada aplikasi Waze. Fungsi ini membolehkan ibu bapa mendapat notifikasi khas apabila tiba di sesuatu destinasi dengan bantuan navigasi Waze.
Cara-cara yang ditunjukkan seperti berikut
Pertama sekali, anda perlu menekan butang Menu yang terletak pada bahagian kiri atas pada paparan peta Waze. Dalam banyak pilihan di Menu, pilih Settings dan tatal skrin sehingga anda ternampak pilihan ‘Reminder‘.
Sebaik sahaja menjumpai pilihan tersebut, klik pada Reminder dan kemudian, Waze akan menunjukkan status pengaktifan ‘Child Reminder‘ pada peranti anda.
Kebiasaannya, jika anda tidak pernah mengaktifkan peringatan ini, Child Reminder akan berada dalam keadaan off. Aktifkan Child Reminder pada bahagian tersebut dan anda boleh menetapkan mesej custom untuk peringatan anda.
Dalam pada itu, anda boleh letakkan mesej seperti: “Cuba periksa, ada anak tak dekat belakang “, ”Tadi ada bawak anak,” dan sebagainya.
Tiba di destinasi, akan menerima notifikasi agar tidak lupa anak ada di dalam kereta
Difahamkan, apabila tiba di destinasi yang hendak dituju, anda akan menerima satu notifikasi daripada aplikasi ini. Notifikasi yang diberikan pula berdasarkan mesej yang anda tetapkan pada tetapan Child Reminder itu tadi.
Dengan ini anda diharapkan tidak akan terlupa bahawa anda sedang membawa anak kecil di belakang. Ia juga boleh membantu mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti meninggalkan bayi di dalam kereta.
