Individu nasihat guna bahasa istana betul jika berjumpa YDPA serta Permaisuri.
‘Counting Days’ Agong Tiba Di Sarawak Buat Kembara Kenali Borneo, Individu Ini Nasihat Ingat Bahasa Istana. Baru-baru ini, telah diumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri telah memulakan lawatan mereka ke Sabah dan Sarawak untuk merasmikan laluan Pan Borneo yang menghubungkan Tawau hingga ke Telok Melano.
Hari pertama Kembara Kenali Borneo yang berlangsung pada 4 September lalu di Tawau, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendapat sambutan yang cukup meriah sekali oleh penduduk di daerah berkenaan.
Tular di seluruh media sosial, video gelagat warga Sabah menyambut kedatangan Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri yang kelakar telah membuat orang ramai terhibur.

Sabah dan Sarawak negeri yang tidak mempunyai Sultan
Maklumlah, Sabah dan Sarawak ini merupakan negeri yang tidak mempunyai Sultan. Jadi, memang kebanyakan rakyatnya tidak mempunyai pengetahuan mengenai bahasa Istana yang betul.
Walaubagaimanapun, salah seorang individu di Facebook ini telah berkongsi dengan rakyat Sarawak persiapan bahasa untuk digunakan jika berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri nanti.
Dalam perkongsian tersebut, dikongsikan cara-cara betul untuk memanggil Yang di-Pertuan Agong sebagai contoh, jangan panggil ‘Datuk, Bossku, boss, YB atau hai King’ sebaliknya ubahkan menjadi ‘Tuanku’, untuk Permaisuri pula, jangan panggil ‘Datin, Puan, Kak, Makcik, babu, YB atau Queen’ sebaliknya guna panggilan, ‘Tunku atau Tunku Permasuri’.
Individu berkenaan turut berkata, walaupun YDPA kita merupakan seorang yang ‘cool dan sempoi’, namun biarlah kita membiasakan membuat yang betul.

Netizen menyokong nasihat tersebut
Perkongsian itu turut mendapat komen yang baik daripada netizen di mana rata-ratanya beranggapan bahawa ia merupakan nasihat yang berguna serta bermanfaat.
Bahasa Istana adalah laras bahasa yang kaya dengan budi dan kesopanan. Bahasa istana sama maksudnya dengan bahasa diraja, bahasa dalam dan bahasa halus yang mempunyai kesopanan dan kehalusan budi di kalangan masyarakat Melayu bagi memberi penghormatan kepada raja yang memerintah.
Oleh kerana Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang dipenuhi dengan masyarakat pelbagai kaum dan tidak mempunyai Sultan, perkara ini boleh dikatakan agak janggal bagi rakyat di sini untuk mengetahuinya.
Apapun, berilah tanggapan baik kepada YDPA serta Permaisuri jika mereka bertandang di Sarawak nanti.