Pasangan Ditahan Bawa 12kg Syabu Guna Kurier di Pejabat Pos Tawau
Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM400K Gagal, Polis Tahan Suami Isteri Di Tawau. Cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai lebih RM400,000 berjaya digagalkan hasil tindakan pantas pihak polis dalam satu operasi di Pejabat Pos Tawau pada 22 Mac lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dua suspek masing-masing berusia 38 dan 31 tahun telah ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau.

Syabu Disorok Dalam Kotak
Menurut beliau, operasi tersebut dijalankan selepas pihak polis menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan tersebut.
“Polis membuat pemantauan di kawasan tempat letak kereta pejabat pos dan mengesan sebuah kereta Perodua Bezza berwarna merah yang dipandu seorang wanita. Seorang lelaki yang berada di tempat duduk hadapan kemudiannya keluar dan masuk ke dalam bangunan pejabat pos,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Sabah di Kepayan, Selasa.
Beberapa minit kemudian, lelaki tersebut keluar sambil membawa dua kotak dan meletakkannya di dalam bonet kereta. Ketika pasangan itu cuba beredar, polis bertindak menahan mereka untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan menemui beberapa paket plastik mengandungi bahan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 12,585.28 gram dengan anggaran nilai pasaran sebanyak RM402,720.
Siasatan lanjut mendapati dadah tersebut diseludup dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier dan dipercayai untuk pasaran tempatan.
Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga menunjukkan mereka bebas daripada pengambilan dadah.
Mereka kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Polis Sabah turut mengucapkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dalam menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama membanteras jenayah, khususnya yang melibatkan penyalahgunaan dadah.

