Polis Buru Lelaki Songkok Hitam Garis Kuning
Individu Didakwa Pukau Larikan Wang Dan Barang Kemas Bernilai RM30K Di Tawau Kini Diburu Polis. Polis kini sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kes hipnosis yang menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian kira-kira RM30,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan berharga.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, kejadian berlaku di sebuah kedai serbaneka 24 jam yang terletak di Jalan Haji Karim, kawasan Fajar, pada 29 Mac lalu.

Orang Ramai Diminta Bantu Jejak Suspek
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, polis turut mendedahkan dua keping gambar suspek bagi membantu siasatan. Berdasarkan gambar yang dikongsikan, suspek dilihat memakai baju berwarna biru muda, seluar panjang hitam, serta kopiah hitam dengan corak belang kuning. Dia juga memakai kaca mata dan sandal berwarna hitam.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” kata ACP Jasmin.
Orang ramai yang mengenali individu dalam gambar atau mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan suspek diminta segera menghubungi pihak polis. Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline IPD Tawau di 089-772121 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Azman Shah Nuhi di 013-8988920. Maklumat juga boleh dilaporkan di mana-mana balai polis berdekatan.
Kes ini mula mendapat perhatian umum selepas anak kepada mangsa berkongsi kisah tersebut di media sosial. Dalam hantaran tersebut, anak mangsa mendakwa bahawa bapanya telah dihampiri dan dipercayai ‘dihipnosis’ oleh tiga individu yang kemudian melarikan wang dan barangan milik mangsa. Setakat ini, dua lagi suspek yang didakwa terlibat masih belum dikenalpasti.
Polis berharap kerjasama daripada masyarakat setempat dapat membantu mempercepatkan penahanan suspek dan menyelesaikan kes ini.

