Boleh masak guna dapur gas je!
Cuma Perlu 3 Bahan Sahaja, Ini Resipi Biskut Semperit Yang Mudah Dan Ringkas. Musim perayaan akan tiba tidak lama lagi dan orang ramai kini bersiap sedia untuk membeli stok biskut raya mereka!
Walau bagaimanapun, anda masih boleh memilih untuk membuat sendiri tetapi itu juga bergantung pada masa lapang anda, kan? Tetapi ini satu resipi biskut yang sangat mudah, anda hanya memerlukan tiga bahan sahaja! Berikut adalah resipi mudah untuk membuat biskut semperit yang ringkas dan mudah!
Sediakan tiga bahan untuk buat biskut semperit
Terlebih dahulu, sediakan 3 bahan berikut iaitu:
- 1 paket tepung jagung brand 350 gram
- 1/2 cawan susu pekat
- 1 cawan planta
Untuk membuat adunan semperit, yang pertama anda perlu kacau planta dengan susu pekat dan kemudian masukkan tepung jagung dan uli manja menggunakan tangan sahaja.
Sekiranya adunan masih lembik, tambah tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak keras dan tidak terlalu lembik.
Setelah siap, adunan itu sudah bersedia untuk dibakar.
Cara membakar guna dapur gas
Yang pertama, ambil kuali atau periuk bertutup dan alas pelapik besi untuk sokong alas dulang serta dapur gas.
Pastikan penutup kuali itu ada aliran udara agar biskut akan naik dengan cantik dan masak sekata.
Air tidak perlu dimasukkan dalam kuali kerana sudah ada pelapik besi sebagai sokongan untuk dulang biskut.
Sebelum mula membakar, panaskan sekejap kuali itu dan alas pelapik besi dalam 10 minit. Kemudian, letak dulang untuk membakar biskut.
Tidak perlu sapu minyak pada dulang biskut. Gunakan api paling kecil sepanjang proses membakar.
Masa membakar bergantung kepada jenis biskut. Sebagai contoh, biskut semperit biasanya akan mengambil 15 minit sehingga kekuningan!
Lepas tu… Siap! Mudah kan resipi ni? Sediakan bahan pun tak banyak, masa untuk membakar pun tak lama. Selamat mencuba!