#SarawakInnovate
Dari Inovasi Kompia Sehingga Ke Aplikasi Kerja Sekolah, 3 Start-Ups Kuching Ini Berjaya Pukau Juri TPAB 2021. Inovasi berupaya meningkatkan kehidupan masyarakat. Baik dari segi inovasi teknologi, sehinggalah kepada inovasi dalam makanan dan perniagaan. Di Sarawak, inovasi ini menampakkan bibit-bibit positif saban tahun apabila 3 syarikat pemula ataupun start-ups tempatan ini telah berjaya memukau hati juri dalam program TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2021.
Untuk pengetahuan anda, TPAB merupakan program bimbingan satu minggu anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang direka khas untuk membawa perniagaan atau syarikat pemula (start-up) peringkat awal untuk berkembang ke peringkat yang selanjutnya. Ia bermula daripada peringkat mengesahkan idea sehinggalah penciptaan minimum viable product (MVP) serta strategi go-to-market.
Mereka dibimbing oleh mentor yang berpengalaman dan terkemuka dalam dunia start-up di Malaysia. Antaranya ialah seperti Brian Tan (pengasas FutureLab), Arif Tukiman (pengasas RunCloud), Nadhir Ashafiq (pengasas The Lorry), Yeoh Chen How (pengasas Fave) dan ramai lagi.

Inovasi terbaik dipilih sebagai pemenang Virtual Demo Day TPAB 2021
Pada akhir program ini, para peserta dikehendaki untuk membentangkan idea inovasi pada hari Demo Day, berdasarkan apa yang telah mereka pelajari selama 1 minggu sebelumnya dalam program. Tidak seperti zaman pasca pandemik, Demo Day TPAB tahun ini diadakan secara maya atau Virtual Demo Day.
3 syarikat pemula yang memenangi TPAB tahun ini adalah SnappEd, SEED dan Kompia House. Ketiga-tiga syarikat ini, masing-masing telah memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 5,000 daripada Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC). Bukan itu sahaja, syarikat ini juga akan menerima pakej yang merangkumi sokongan pendaftaran syarikat daripada TEGAS, akses 6 bulan ke platform mentor FutureLab, bantuan percuma daripada rakan ekosistem dan akses percuma selama 3 bulan di Hub Inovasi Digital TEGAS di Kuching, Bintulu dan Miri.
Dari aplikasi kerja sekolah sehingga ke inovasi kompia pelbagai perisa
Untuk pengetahuan anda, SnappEd merupakan syarikat pemula yang membina aplikasi pendidikan yang berupaya membantu guru dan pelajar dalam menguruskan tugasan sekolah. Bukan itu sahaja, SnappEd ini juga merupakan sebuah aplikasi interaktif yang bukan semata-mata bertindak untuk memudahkan tugasan akademik pelajar tetapi sebaliknya juga turut berfungsi untuk menjadikan interaksi antara pelajar, guru dan ibu bapa suatu pengalaman yang menyeronokkan. Syarikat pemula ini dianggotai oleh Iliyas Jamil, Wan Halim Wan Ali, Mohd Fahmi Sulaiman dan Azfar Zubri Safri.

SEED pula merupakan sebuah ilham sekumpulan pelajar dari Universiti Swinburne, Kuching yang membina sebuah aplikasi permainan kasual 2-dimensi berdasarkan prinsip falsafah Bruce Lee tentang air. Aplikasi permainan kasual ini diberi nama Flow, di mana pengguna boleh menggerakkan telefon untuk mengawal aliran air dalam permainan itu. Idea cetusan Rahf Elmahdi, Riana Liau, Stephanie Emma dan Wong Ze Hao ini juga mempunyai matlamat untuk membantu generasi milenial untuk meredakan stress akibat persekitaran semasa. Macam best, kan?

Sebuah lagi pemenang iaitu Kompia House pula adalah sebuah syarikat pemula makanan yang membuat kompia pelbagai perisa. Kompia merupakan makanan ringan masyarakat Cina Foochow yang berasal dari Sibu namun makanan ini berjaya dibawa ke Kuching untuk dirasai oleh penduduk di Selatan Sarawak ini. Inovasi yang dibawakan oleh Kompia House adalah seperti memvariasikan lagi perisa kompia kepada perisa moden seperti kompia Lotus Biscoff. Syarikat pemula ini diterajui oleh Awang Amir Awang Mohammad dan Nur Huda Hamka. Fuh!

MoreDoor Interactive dan WAT Academy menang MaGIC’s Honourary Award
Selain daripada 3 pemenang ini, TPAB turut menganugerahkan 2 lagi syarikat pemula untuk kategori MaGIC’s Honourary Award iaitu MoreDoor Interactive Sdn. Bhd. yang membina permainan digital yang bertemakan Kesultanan Melayu serta WAT Academy yang merupakan sebuah platform latihan perantis untuk menghubungkan anak muda yang sedang mencari pekerjaan dengan peluang pekerjaan. Masing-masing menerima RM 2,500.

5 syarikat pemula yang selebihnya iaitu Clifton Food Asia, GoPasar, Blankscript Consultant Sdn. Bhd., Ben Raz Millions Resources Sdn. Bhd,. Icarus GrowthLab (IGL) masing-masing menerima RM 1,000 daripada MaGIC.

Standard peserta TPAB tunjukkan peningkatan tahun ini
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif pitchIN, Sam Shafie, yang bertindak sebagai juri pada Virtual Demo Day, beliau melihat peserta tahun ini menunjukkan potensi yang besar dan menunjukkan standard program ini telah meningkat dari tahun ke tahun.
Sementara itu, Datu Len Taliff Salleh, pengerusi TEGAS turut berbangga dengan kejayaan program ini pada tahun ini.
“Saya amat berbangga dengan 20 buah syarikat pemula tempatan yang mengikuti program ini sejak 6 hari yang lalu. Ini benar-benar mencerminkan kemampuan dan potensi syarikat pemula tempatan dalam mendorong pertumbuhan ekonomi di Sarawak,”
Datu Len Taliff Salleh, pengerusi TEGAS

Malah, pihak MaGIC juga yang diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif nya, Encik Amiruddin Abdul Shukor berkata bahawa kerjasama antara MaGIC dan TEGAS ini adalah sesuatu yang unik dan mereka berasa berbesar hati menjadi sebahagian daripada gerakan dalam memperkasakan inovasi untuk generasi baru yang akan datang. Ujarnya lagi, sesungguhnya TPAB 2021 ini merupakan sebuah platform untuk syarikat pemula mengembangkan lagi idea mereka ke arah sesuatu yang lebih baik dan hebat untuk dunia.
Tahniah kepada semua pemenang TPAB 2021! Selamat maju jaya!