Malaysia juga mempunyai buah ‘Alpukat’ sendiri.
Digelar Avocado Malaysia, Kenali Buah Engkalak Yang Hanya Terdapat Di Borneo. Buah Engkalak adalah sejenis buah yang berbentuk bulat dan berwarna merah jambu. Untuk pengetahuan anda, buah Engkalak ini juga diklasifikasikan dalam keluarga buah Alpukat, atau Avocado iaitu Lauraceae. Wajarlah, rasa buah Alpukat tidak jauh beza dengan buah Engkalak, cuma buah Engkalak tekstur dan rasanya lebih cair dan berkrim.
Pokok Engkalak ini memerlukan 4 ke 5 tahun juga mengikut musim nya sendiri untuk berbuah. Ketinggian pokok ini mampu mencecah antara 10 hingga 15 meter. Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya pokok engkalak ini boleh tumbuh dengan menanam biji buah Engkalak yang sudah matang.
Buah ini pada mulanya ditemui tumbuh liar di satu-satu kawasan dalam hutan dan dipercayai berasal dari Borneo. Namun kini, buah Engkalak telah dipulihara dan ditanam di kampung-kampung. Buah ini juga boleh didapati di pasar tani seluruh Borneo, Indonesia, Filipina dan juga Taiwan.
Selain Sarawak, buah ini boleh didapati di luar negara.
Buah Engkalak adalah buah eksotik yang hanya boleh dijumpai di Sarawak bumi kenyalang. Jarang kita melihat ianya dijual di Semenanjung Malaysia. Selain Sarawak, buah dalam keluarga Lauraceae juga mempunyai lebih kurang 200 spesis banyak tumbuh di Australia, Amerika Latin, dan di Asia Tenggara.
Tahukah anda? Engkalak adalah salah satu makanan tradisional orang Iban. Selain buahnya untuk dimakan, kaum Iban juga menggunakan kulit pokok Engkalak untuk merawat sengatan serangga, bisul, luka bakar, dan juga gigitan ular.
Dulu-dulu dalam kalangan masyarakat Sarawak, ada pantang orang tua-tua mengatakan bahawa kalau buah Engkalak yang sudah masak ranum tidak boleh dijolok dengan menggunakan batang bulu seperti kita menjolok buah kelapa kerana nanti ianya akan pahit rasanya bila dimakan. Sebaliknya, buah Engkalak hanya boleh diambil dengan memanjat pokok tersebut dan memetiknya dengan menggunakan tangan.
Bagaimana pula cara makan?
Engkalak sangat sesuai untuk diawet dan dimasak, paling popular cara menikmati buah Engakalak ini adalah dengan merendam buah tersebut dalam air suam panas selama 5 minit, ditoskan dan ditabur dengan garam, ada juga dicicah dengan kicap masin. Pergh, memang sedapp! Lagi-lagi bila dimakan dengan nasi panas.
Buah Engkalak dapat diawetkan sebagai acar menggunakan buah yang belum masak dan larutan garam atau cuka. Seterusnya, buah Engkalak akan disimpan selama beberapa hari apabila disimpan di tempat sejuk dan kering.