Tawaran kerja yang diiklankan di media sosial tidak semanis yang dijanjikan
16 rakyat Sarawak antara 43 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Lima, Peru. Daripada 43 mangsa tersebut, 26 adalah wanita manakala 17 yang lain lelaki.
Menurut Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli, dalam temu bual khas bersama TVS semalam, mangsa-mangsa ini ditugaskan dengan membuat pelbagai tugas semasa dikurung.
2 berjaya melarikan diri dengan pertolongan jiran
Beliau menceritakan mangsa dikurung di sebuah banglo berjendela tertutup, menyukarkan mereka membezakan siang dan malam. Dua mangsa berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar dan mendapatkan pertolongan dari jiran.
Fenny menjelaskan mangsa berkomunikasi dengan jiran menggunakan aplikasi terjemahan memandangkan kebanyakan penduduk Peru tidak fasih berbahasa Inggeris. Polis kemudian tiba selepas dihubungi oleh jiran tersebut.
Sindiket tersebut memaksa membuat panggilan kepada rakyat Malaysia pada waktu malam untuk menipu
Beliau menjelaskan bahawa sindiket itu memaksa mangsa membuat panggilan kepada rakyat Malaysia pada waktu malam untuk melakukan lebih banyak penipuan. Semasa serbuan dijalankan, polis Peru keliru kerana tidak pernah menghadapi kes seumpama itu.
Fenny menjelaskan kepada pihak berkuasa Peru tentang kes ini sambil bekerjasama dengan peguam negara dan Kementerian Luar Negeri untuk mengklasifikasikan mereka sebagai mangsa. Sekiranya dikelaskan sebagai penjenayah, mangsa-mangsa ini akan dipenjarakan di Peru.
Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Luar Negeri mengumumkan polis Peru menjalankan serbuan di sebuah rumah di La Molina dan menyelamatkan kesemua 43 mangsa Malaysia. Mangsa kemudian disiasat oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
