Komuniti ini telah mengalami pengalaman menyedihkan yang dibawa oleh pelancong yang kurang sopan
Dilayan Sebagai ‘Objek’ Oleh Pelancong, Komuniti Bajau Laut Di Sabah Tuntut Keadilan. Komuniti Bajau Laut di Sabah telah lama struggle dengan statelessness (tanpa negara) sejak sekian lama tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh dilayan dengan bermaruah sebagai manusia.
Baru-baru ini, sebuah NGO telah membuat rayuan untuk menggesa tindakan bagi memastikan maruah, keselamatan dan keadilan bagi masyarakat Bajau Laut tanpa kerakyatan susulan mengalami pengalaman yang menimbulkan kesedihan kepada komuniti itu.
Teruja lihat kedatangan pelancong yang membawa makanan dan duit sehingga menyebabkan sawan
Badan NGO, Iskul Sama di Laut Omadal, baru-baru ini berkongsi kenyataan di Instagram mereka untuk menggesa tindakan selepas pengalaman sedih yang melibatkan seorang ahli tersayang komuniti Bajau Laut di Pulau Omadal.
Menurut kenyataan itu, ahli terbabit, Tebek, meninggal dunia akibat lemas selepas mengalami sawan yang berpunca daripada kegembiraannya ketika melihat pelancong datang membawa makanan dan wang tunai.

Insiden menyayat hati itu digunakan sebagai sebuah contoh tentang kesukaran yang dialami komuniti itu dalam kenyataan Iskul Sama di Laut Omadal mengenai situasi yang perlu ditanggung Tebek dan komunitinya.
Menurut mereka, komuniti Bajau Laut dan kanak-kanak mereka sentiasa dilayan sebagai ‘objek’ oleh pelancong tidak beradab, yang memikat mereka dengan makanan dan wang tunai untuk hiburan peribadi, pandangan eksotik dan peluang bergambar.
Apa yang lebih mengerikan ialah pelancong ini akan mengambil gambar kanak-kanak berbogel, yang jelas melanggar Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pelancong sering mengabaikan syarat untuk melawat pulau
Kenyataan itu juga menambah bahawa pelancong sering mengabaikan syarat, iaitu slip kebenaran yang perlu dihantar ke balai polis berhampiran, sebelum melawat pulau itu. Ini juga bermakna bahawa kebanyakan kali, pelancong melawat pulau itu secara haram dan menimbulkan ancaman kepada penduduk tempatan pulau.
Pemergian Tebek secara mengejut telah mendorong NGO itu menggesa pengurusan yang lebih mantap, sistematik dan penguatkuasaan lawatan pelancong ke pulau itu bagi menjaga maruah dan kesejahteraan komuniti Bajau Laut.
Pihak berkuasa tempatan dan negara, serta organisasi antarabangsa, kini digesa untuk membantu dalam membawa perubahan penting dan melakukan pengawasan rapi pelancongan di Pulau Omadal, serta langkah-langkah untuk mendidik pengunjung tentang penghormatan yang patut diberikan kepada masyarakat Bajau Laut.
Sementara itu, NGO itu juga merayu untuk keadilan bagi Tebek dan Bajau Laut supaya mempunyai dokumentasi yang sewajarnya dan akses kepada keperluan asas manusia, seperti yang diperuntukkan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Setiap orang berhak dilayan dengan hormat dan bermaruah, walaupun mereka tidak bernegara. Semoga rayuan Iskul Sama di Laut Omadal akan didengari dan keselamatan dan kesejahteraan komuniti Bajau Laut akan dijaga oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
