‘R-Naught’ (R0) Di Malaysia Jadi Penentu
Doktor Ini Jelaskan Mengapa Pesakit Dibenar Discaj Walaupun Masih Positif Selepas 14 Hari Dirawat. Pandemik yang melanda dunia kini dilaporkan telah mencecah hampir 6 juta pesakit di seluruh dunia. Situasi di Malaysia pula menyaksikan kes sembuh dan discaj saban hari adalah lebih tinggi daripada kes jangkitan baru. Hal ini sudah tentu melegakan rakyat walaupun kini harus hidup dalam norma baru.
Berikutan itu, DG Hisham telah memberitahu bahawa polisi terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia kini membenarkan pesakit discaj walau pun masih positif setelah tamat rawatan selama 14 hari. Malah, pesakit kini hanya memerlukan satu keputusan negatif pada hari ke-13 sebelum dibenarkan discaj dari hospital.
Walau bagaimanapun, polisi baharu yang diumumkan oleh DG Hisham ini mengundang kerisauan dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, seorang wanita yang merupakan seorang doktor tampil di laman sosial Facebook bagi menjelaskan tindakan yang diambil oleh KKM itu.
Menurut doktor yang bernama Masliha Harun ini, Malaysia telah menerima dan mengikut saranan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membenarkan pesakit discaj dari hospital walaupun masih positif setelah 14 hari menerima rawatan. Polisi ini dilaksanakan setelah mengambil kira poin R0 (R-naught) di Malaysia.
Jika anda setia mendengar sidang media DG Hisham, anda pasti selalu mendengar beliau menyebut tentang R0 ini.
Apa Itu R0?
Menerusi kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, KKM yang bertarikh 13 Mei 2020, R0 (R-naught) ialah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat. Nilai R0 menunjukkan purata berapa orang yang boleh dijangkiti oleh kes tersebut. Sebagai contoh, jika nilai R0 adalah 4, maka setiap seorang kes positif boleh menjangkiti sehingga 4 orang yang lain.
Menurut Business Insider US pula, penyebaran jangkitan wabak ini berada pada kadar yang stabil jika nilai R0 adalah 1. Manakala nilai R0 yang melebihi 1 menandakan tahap sebaran jangkitan yang agresif. WHO pula menganggarkan R0 ini di peringkat global adalah pada nilai 2.0 hingga 2.5.
R0 Malaysia Turun Dari 3.5 Kepada 0.3
Sebelum bermulanya PKP, R0 di Malaysia adalah pada nilai 3.5. Setakat 13 Mei, nilai ini telah berjaya diturunkan kepada 0.3.
Ini bermakna kadar kebolehjangkitan di Malaysia telah menurun kepada 0.3 individu.
Ini menunjukkan keberhasilan PKP serta PKPB yang dilaksanakan di Malaysia. Bukan itu sahaja, penurunan ini juga hasil daripada pematuhan rakyat Malaysia kepada PKPB dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Malah, sekiranya rakyat Malaysia terus mengekalkan disiplin ini, nilai R ini akan terus menurun dan akhirnya dapat menamatkan wabak pandemik ini.
Kadar Jangkitan Boleh Meningkat Semula Jika Rakyat Tak Patuh
Walau bagaimanapun, nilai R0 ini boleh meningkat semula jika rakyat mula bersikap sambil lewa, tidak patuh dan ingkar PKPB. Apatah lagi pada musim perayaan ketika ini. Sekiranya nilai R0 ini meningkat semula, ia akan mengakibatkan jumlah kes harian turut naik semula seperti yang diramalkan oleh pihak KKM menerusi rajah di bawah.
Seperti yang anda lihat, walaupun nampak seperti selamat, situasi ini sebenarnya masih rapuh dan boleh bertukar teruk bila-bila masa.
Keputusan Positif Selepas 14 Hari Hanyalah Serpihan Virus Yang Tidak Mampu Berjangkit
Menurut DG Hisham juga, walaupun ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) selepas tempoh 14 hari masih menunjukkan keputusan positif, ia hanyalah serpihan virus yang sudah lemah dan tidak berupaya menjangkiti orang lain. Malah, kadar jangkitannya adalah sangat kurang atau menghampiri sifar.
Walau bagaimanapun, pesakit akan tetap diuji pada hari ke-13 rawatan di hospital. Sekiranya keputusan tersebut masih positif, pesakit akan tetap meneruskan rawatan sehinggalah mendapatkan keputusan negatif yang pertama.
Pesakit yang telah discaj pula perlu meneruskan rutin kuarantin di rumah selama 2 minggu selepas discaj dari hospital.
Rakyat Malaysia Perlu Kekal Amalkan Norma Baharu
Menerusi perkongsian doktor itu juga, beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar kekal mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan sosial, mencuci tangan dengan kerap dan sentiasa menjaga kebersihan pada tahap tertinggi.
Bukan itu sahaja, faktor utama jangkitan juga berpunca daripada sentuhan dan tempat yang sesak. Oleh sebab itu, penjarakan sosial adalah sangat penting.
Keputusan yang dilaksanakan oleh KKM ini tentunya telah melalui satu pertimbangan yang teliti daripada pakar kesihatan serta para pembuat polisi. Kini, ia menjadi tugas kita untuk kekal mengamalkan norma baharu serta mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.
Kita pasti menang.