Di sebalik seorang kejayaan seorang wira, pasti ada figura yang sentiasa menyokongnya.
Fakta Menarik Tentang John Beasley, Jurulatih Berbasikal Trek Yang Sangat ‘Sayang’ Pada Atlet Malaysia. Kejayaan Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 pastinya sesuatu yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Walaupun itu bukanlah keputusan seperti yang diharapkan, namun sedikit sebanyak pencapaian hebat ini pastinya disumbangkan oleh seorang lagi figura sebalik tabir yang perlu dikenali dan diberikan penghargaan. Bukan sahaja oleh atlet, tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia.
Individu tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah jurulatih berbasikal trek Malaysia, John Beasley. Tetapi, siapakah sebenarnya beliau?
Jurulatih Australia yang berasal dari 3 generasi atlet basikal
Di Australia, John Beasley dipanggil dengan nama John Beasley (Junior) kerana bapanya turut mempunyai nama yang sama iaitu John Beasley (Senior). John Beasley (Senior) merupakan legenda lumba basikal professional di Victoria, Australia. Beliau merupakan generasi ketiga atlet berbasikal yang disegani di Australia di mana ketiga-ketiga generasi ini terus menerus mempunyai rekod dan prestasi cemerlang dalam sukan berbasikal. Dari datuk, bapa sehingga lah ke John Beasley sendiri, semuanya menjadi atlet berbasikal. Sukan ini seolah-olah sudah menjadi darah daging keluarga Beasley sehingga keluarga ini mempunyai perniagaan menjual basikal yang bernama John Beasley Cycles di Melbourne, Australia.
Malah, isterinya, Vicki Beasley juga merupakan pelumba basikal ternama di Selatan Australia!
John Beasley mendapat pendidikan ijazah sarjana muda dalam jurusan Physical Education Teaching and Coaching di Victoria University, Melbourne Australia pada tahun 2015 dan memiliki sijil tertinggi Tahap 3 International Coach. Sebelum itu, beliau juga mendapat pendidikan di Footscray Technical College.
Dihubungi Josiah Ng, cuba nasib terima kontrak jurulatih Malaysia
Sebelum ini, jika anda pernah membaca kisah Josiah Ng yang merintis laluan sukan berbasikal trek di Malaysia pada awal tahun 2000, beliau memberitahu bahawa beliau mencari sendiri khidmat jurulatih luar untuk membimbingnya mewakili Malaysia. Individu yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah John Beasley.
Pada tahun 2006, John menerima satu tawaran untuk mengemudi pasukan berbasikal Malaysia. Beliau dihubungi sendiri oleh Josiah Ng yang meminta khidmatnya untuk membimbing beliau dalam sukan itu. John serta merta bersetuju namun jauh di lubuk hatinya, beliau gusar dan bimbang.
John berterus terang bahawa beliau pada waktu itu menerima tawaran tersebut secara ‘main redah’ sahaja. Beliau tidak tahu menahu tentang landskap sukan berbasikal di Malaysia. Malah, isterinya, Vicki Beasley yang memberitahunya tentang perkara itu. John hanya mengenali Josiah Ng, tetapi tidak pelumba-pelumba lain Malaysia.
Kebimbangannya juga adalah sesuatu yang wajar kerana penerimaan tawaran ini umpama mencuba nasib buat John Beasley. Beliau ditawarkan kontrak selama 2 tahun. Pada awalnya, beliau sudah mempunyai bayangan bahawa beliau akan melakukan kesilapan dan akan pulang semula ke tanah air sejurus selepas kontrak tamat untuk kembali menguruskan perniagaan keluarganya.
Hormat antara jurulatih dan atlet resipi kejayaan John Beasley bersama pasukan Malaysia
Namun demikian, hubungan akrab antara jurulatih John Beasley serta Josiah Ng yang membuatkan jurulatih Australia ini perlahan-lahan mengenali arena sukan berbasikal Malaysia serta selok beloknya. Menurut John, beliau hanya berpegang kepada prinsip hormat menghormati antara jurulatih dan atlet selain bekerja keras untuk menjayakannya.
Lama-kelamaan, beliau merasakan telah ‘jatuh cinta’ dengan lingkungan sukan berbasikal trek negara setelah beliau menyedari bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai begitu ramai anak muda yang berpotensi besar untuk menyinar dalam sukan ini di pentas antarabangsa.
John hanya ambil masa 2 tahun untuk buktikan kemampuannya
John Beasley tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan kebolehannya. 2 tahun selepas menyertai barisan jurulatih Malaysia, John telah berjaya membawa 3 atlet berbasikal trek negara layak ke Olimpik Beijing 2008; Josiah Ng, Azizulhasni Awang dan Mohd Rizal Tisin. 3 tahun kemudian iaitu pada tahun 2009, Malaysia mengejutkan dunia sukan berbasikal trek dunia apabila berjaya merangkul 2 pingat dalam Kejuaraan Berbasikal Trek Dunia UCI. Dalam kejuaraan itu, Rizal Tisin meraih pingat gangsa dalam acara 1 km time trial manakala Azizulhasni Awang menggondol pingat perak dalam acara sprint.
Josiah Ng pula, walaupun tersungkur di peringkat separuh akhir di Olimpik Beijing 2008, beliau bangkit kembali untuk membuktikan kemampuan diri serta mutu kejurulatihan John Beasley apabila berjaya menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam keirin di Sukan Komanwel Delhi 2010. Malah, sehingga kini, Josiah masih lagi pemegang pingat emas tunggal dan pertama Malaysia untuk acara keirin Sukan Komanwel.
Di bawah kejurulatihan John, beliau berjaya menghasilkan pelumba berbasikal trek berkelas dunia. Contohnya, Josiah Ng merupakan atlet Olimpik sebanyak 3 kali. Azizulhasni Awang juga, atlet berbasikal trek yang paling berjaya setakat ini sehingga digelar “The Rocket Pocket Man”, merupakan atlet Olimpik sebanyak 4 kali dan menjadi 2 kali pemenang pingat Olimpik. Tidak ketinggalan, Rizal Tisin yang merupakan jaguh acara time trial dan merupakan pemenang pingat pertama Malaysia dalam acara tersebut.
Kerana ‘cinta’ kepada atlet Malaysia, John tolak tawaran lumayan 5 negara
Disebabkan kejayaan Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa dalam acara keirin di Olimpik Rio 2016, khidmat John Beasley sempat diintai oleh 5 negara termasuk Iran, Jepun dan Hong Kong yang mahukan sentuhan magisnya dengan imbalan yang lumayan. Sebaliknya, kerana sayangkan atlet generasi muda Malaysia yang berpotensi besar untuk digilap, beliau menolak tawaran itu dan membuat keputusan untuk kekal di Malaysia.
“Saya ada tugasan yang belum selesai di Malaysia. Kita harus merapatkan jurang teknologi dan aspek taktikal dengan pelumba Eropah dan British,”
John Beasley, jurulatih berbasikal trek Malaysia
John Beasley : Seorang ‘bapa’ yang santai, pentingkan keseimbangan hidup atlet
Dari sudut pandang anak buahnya pula, John dilihat sebagai seorang jurulatih yang bersifat menyeluruh, mementingkan keseimbangan hidup dan ibarat seorang ‘bapa’. Menurut Josiah, John adalah jurulatih yang paling banyak mencorak perjalanan kerjayanya sebagai atlet berbasikal trek. Pendekatan John yang santai ini membuatkan Josiah bertahan dengan minatnya dalam sukan berbasikal trek kerana tekanan matlamat yang melampau boleh melunturkan semangat atlet.
Bukan itu sahaja, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus juga turut meluahkan rasa terima kasih kerana dipertemukan dengan jurulatih sebaik John Beasley. Beliau merupakan individu yang sentiasa menyokongnya di kala menang dan kalah. Bahkan, John adalah orang yang selalu mengingatkannya untuk kekal merendah diri. Dalam salah sebuah vlog Datuk Azizulhasni, John Beasley tidak mahu anak buahnya menunggu lama dan menyuruh mereka untuk segera pulang berehat semasa proses pendaftaran yang mengambil masa yang lama di perkampungan sukan Olimpik Tokyo. Sebaliknya, John lah orang yang sanggup bersengkang mata dan berpenat lelah menguruskan segala peralatan dan urusan mereka yang belum selesai.
Bukan situ sahaja, Datuk Azizulhasni juga pernah menceritakan bahawa John selalu memberikannya ‘flight meal’ setiap kali mereka menaiki pesawat sewaktu Datuk Azizul masih remaja. Datuk Azizul yang naif pada ketika itu percaya bulat-bulat bahawa John tidak lapar tetapi sebaliknya sebab sebenar John berbuat demikian adalah supaya Datuk Azizul menambahkan berat badannya dan makan dengan cukup!
“Beliau sangatlah di hormati di arena lumba basikal antarabangsa dan juga sentiasa menjadi rebutan negara-negara luar akan tetapi beliau taat dengan Malaysia seolah-olah sudah terkena nasi kangkang orang Melayu. John Beasley bukan hanya seorang jurulatih kepada saya, tetapi lebih dari itu,“
Datuk Azizulhasni Awang, pemenang pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo 2020
Tugas di Malaysia belum selesai
Selepas Azizulhasni, John Beasley bersama seorang lagi jurulatih, Hasnizam Bakri kini dalam pembikinan pelapis berbasikal trek baharu seperti Shah Firdaus Sahrom, Mohamad Fadhil Zonis dan Anis Amira Rosidi. Ketiga-tiganya juga turut mempunyai pencapaian yang mengagumkan. Shah Firdaus sudah pun beraksi dalam debut Olimpiknya di Tokyo 2020 serta pernah mengalahkan Azizulhasni untuk merangkul pingat emas dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia pada Mac 2021.
Muhammad Fadhil Zonis pula merupakan pemegang rekod kebangsaan dan rekod Asia dalam acara 1km time trial dengan catatan masa 1:00.305s di Berlin tahun lalu. Setakat bulan Ogos 2021, beliau menduduki ranking pertama dunia dalam kategori Men Elite 1km Time Trial UCI. Anis Amira juga baru sahaja mengecapi pingat gangsa dalam acara 500 m time trial di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI pada Mei 2021.
Tanpa disedari, John Beasley telah menjadi jurulatih berbasikal negara selama hampir 16 tahun. Bahkan, beliau merupakan jurulatih asing yang paling lama berkhidmat untuk Malaysia. Atlet yang dilatihnya diletakkan dalam pasukan berprestasi tinggi dan berpangkalan di Melbourne, Australia.
Walaupun pernah dihambat momen yang kurang enak tentang penamatan khidmatnya, namun jelas jurulatih Australia ini sangat komited dan ‘sayang’ pada Malaysia kerana menurutnya, tugasnya untuk menamatkan kemarau emas Olimpik Malaysia serta melahirkan pelumba terbaik dunia di sini masih belum tamat.
Terima kasih John Beasley!