Ketahui hak anda sebagai pekerja tentang cuti ehsan dan peranan penting majikan
Bayangkan ketika anda melalui kehidupan seharian, dan tiba-tiba anda menerima berita yang memilukan bahawa ahli keluarga anda telah meninggal dunia. Pasti anda akan rasa sedih dan susah, bukan?
Inilah waktu di mana anda layak mendapatkan cuti ehsan. Ia seperti waktu rehat yang majikan anda berikan kepada anda, untuk memberi ruang bagi menangani segala perkara yang berkaitan dengan pemergian orang yang kita sayangi – dari urusan pengebumian sehingga lah menguruskan harta yang ditinggalkan, atau pun memberi sedikit masa untuk kita berkabung.
Inilah yang kita panggil sebagai cuti ehsan, atau juga dikenali sebagai cuti berkabung.
Cuti ehsan turut dikenali sebagai cuti tanpa rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat
Untuk pengetahuan anda, cuti ini boleh jadi cuti yang dibayar ataupun tidak, bergantung kepada apa yang majikan anda tetapkan dalam kontrak pekerjaan atau peraturan syarikat. Terma “cuti ehsan” ini juga adalah sama dengan terma “cuti tanpa rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat” yang kebiasaannya digunakan dalam sektor kerajaan.
Di Malaysia, tidak ada undang-undang yang memaksa syarikat di Malaysia untuk memberikan cuti ehsan berbayar. Malah, perkara ini juga tidak termaktub dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.
Namun demikian, pemberian cuti ehsan ini tetap menjadi kelaziman bagi kebanyakan syarikat di negara ini, di mana mereka kebiasaannya akan menggariskan pemberian cuti ehsan ini dalam kontrak dengan persetujuan bersama pekerja mereka. Jadi, jika anda sedang berunding dengan bakal majikan anda, adalah tidak salah untuk anda memohon untuk dimasukkan klausa pemberian cuti ehsan ini dalam kontrak pekerjaan anda, dan barangkali majikan anda bersetuju untuk memberikan anda cuti ehsan sekiranya sebarang kematian berlaku dalam kalangan ahli keluarga anda.
Tapi, bolehkah majikan anda menjadi pembunuh semangat dan menolak permintaan cuti ehsan anda?
Jawapannya – Ya, mereka boleh menolak permohonan cuti ehsan anda. Oleh kerana ini bukan suatu keharusan bagi syarikat, secara teknikalnya mereka mempunyai kuasa untuk menolak meskipun mereka tahu bahawa langkah ini mungkin akan menjejaskan hubungan dan kepercayaan pekerja terhadap syarikat mereka.
Lagi satu, jika anda tidak dapat membuktikan kematian, seperti dengan sijil kematian, mereka juga berkemungkinan boleh menolak permintaan anda. Dalam kes ini, anda mungkin perlu menggunakan baki cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji.
Tempoh cuti ehsan bergantung kepada simpati syarikat kepada anda
Nah, berapa lama anda boleh berehat dengan cuti simpati di Malaysia? Ini berbeza-beza. Kebiasaannya, cuti ehsan berbayar diberi dari dua hingga lima hari. Sesetengahnya mungkin cukup pemurah dan memberikan lebih banyak cuti jika ia melibatkan ahli keluarga terdekat – seperti ibu bapa atau saudara. Tetapi apabila melibatkan saudara jauh atau kawan, cuti ehsan mungkin sukar untuk diluluskan.
Kerana Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan berbilang agama, adalah penting untuk syarikat di negara ini mempertimbangkan hakikat bahawa setiap kaum dan agama mempunyai amalan yang berbeza. Oleh itu, tempoh setiap upacara pengebumian juga berbeza, begitu juga dengan pertimbangan pemberian tempoh cuti ehsan.
Perkara penting yang mesti diambil kira majikan ketika membuat dasar cuti ehsan syarikat
Walaupun tiada undang-undang yang tetap dalam hal ini, namun syarikat harus serius untuk membuat dasar penting cuti ehsan untuk syarikat masing-masing. Ia boleh diumpamakan seperti mengatakan kepada pekerja, “Hey, kami ambil berat tentang kesejahteraan anda.” Ini bukan sahaja menunjukkan rasa simpati kepada pekerja, tetapi dalam jangka masa panjang, bakal memberikan manfaat buat kedua-dua pekerja dan majikan.
Antara perkara yang perlu digariskan dalam pembuatan dasar cuti ehsan di syarikat adalah seperti:
- Jumlah hari bekerja yang dijadikan sebagai cuti ehsan
- Tempoh layak di mana cuti boleh mula diambil
- Sama ada cuti ehsan berbayar atau tidak, dengan pertimbangan untuk pelanjutan cuti
- Definisi “keluarga terdekat” (menentukan siapakah yang layak termasuk dalam istilah keluarga terdekat)
- Bukti kematian seperti sijil kematian, jika diperlukan
Cuti ehsan yang lebih panjang juga mungkin boleh dipertimbangkan untuk majikan yang telah berkhidmat di syarikat.
Apa lagi yang majikan boleh bantu di masa pekerja berada dalam situasi sukar selain memberikan cuti ehsan?
Sekarang, mari tukar fokus. Jika anda tertanya-tanya bagaimana majikan boleh menjadi tempat selamat dan nyaman apabila seseorang mengalami kematian ahli keluarga, berikut adalah beberapa tips profesional yang boleh diamalkan.
1. Cuba untuk menjadi majikan yang memahami dengan menyesuaikan mereka kembali kepada ruang kerja secara perlahan-lahan
Kembali bekerja selepas cuti simpati ibarat melangkah ke dalam medan ranjau. Tiada panduan khusus bila seseorang patut kembali, dan dua hingga lima hari biasa mungkin terasa seolah-olah hanya satu detik.
Jadi, majikan perlulah bersikap memahami dan bertanyakan soalan seperti, “Bagaimana kami boleh membantu?” Beritahu mereka bahawa kesihatan mental mereka adalah keutamaan dan kerja mereka adalah selamat dan terjamin.
2. Cipta suasana yang aman di tempat kerja
Orang perlu berasa selesa menjadi diri mereka sendiri, walaupun mereka sedang bersedih. Dan majikan, pertimbangkan untuk menawarkan mereka sokongan seperti Program Bantuan Pekerja (PBP) – secara asasnya, sesi kaunseling melalui panggilan telefon, bersemuka mahu pun secara dalam talian yang boleh diakses secara 24 jam dengan segera.
3. Hubungkan pekerja dengan sumber sokongan
Selain itu, hubungkan pekerja dengan sumber sokongan seperti kumpulan berkabung supaya mereka boleh berkongsi perjuangan dengan orang yang benar-benar memahami. Bukan itu sahaja, ahli kumpulan berkabung ini juga boleh bertukar-tukar pendapat tentang cara untuk menangani emosi dan perasaan bagi mengharungi waktu sukar kehilangan ahli keluarga.
Di Malaysia, majikan boleh menghubungkan pekerja dengan sumber sokongan seperti Child Bereavement Support Malaysia, Grace to Grieving Persons Outreach (GGP), dan banyak lagi.
4. Jelaskan impak cuti ehsan ini kepada rakan sekerja
Bagi mengekalkan operasi dengan sebaik mungkin, syarikat juga seharusnya menerapkan rasa simpati dan memahami dalam kalangan rakan pekerja yang memohon cuti ehsan. Hal ini supaya beban kerja yang diagihkan semula sewaktu ketiadaan pekerja yang mengambil cuti ehsan boleh dilakukan dengan lebih mudah, dan pekerja tetap bekerja dengan semangat berpasukan yang sentiasa menjadi pendukung antara satu sama lain.
Employment Hero, perisian HR bagi memudahkan urusan kontrak antara majikan dan pekerja
Berduka dan mengalami kehilangan adalah satu aspek kehidupan yang pahit tetapi pasti ada masanya tidak dapat dielakkan. Sebagai majikan atau pengurus sumber manusia (HR), ini adalah situasi yang anda seelok-eloknya mahu elakkan, tetapi perlu bersedia untuk menghadapinya.
Employment Hero menyediakan perisian HR dan gaji serba lengkap yang menyenangkan proses menghantar kontrak pekerjaan dan dasar-dasar (seperti dasar cuti ehsan) kepada pekerja secara digital semasa proses pengenalan mereka, untuk tanda tangan dan pengakuan yang mudah. Dengan cara ini, mereka akan jelas tentang hak dan faedah mereka apabila berdepan dengan situasi sebegini.
Pengurusan cuti juga akan menjadi mudah dengan khidmat layan diri pekerja menerusi Employment Hero. Semua pekerja boleh melihat baki cuti mereka dan menghantar permintaan cuti secara elektronik, sekaligus memberitahu pihak pengurusan secara automatik. Ini membolehkan syarikat memiliki ketelusan mengenai baki cuti individu dan kalendar cuti pasukan pekerja. Tak kiralah sama ada pasukan anda bekerja di pejabat atau dari jauh, mereka boleh meminta cuti ehsan di mana-mana sahaja.