Pakej untuk melepas rindu.
‘Flight To Nowhere’, Pakej Pesawat Olok-Olok Khas Untuk Orang Korea Yang Rindukan Sabah. Situasi pandemik menyebabkan kita semua tidak lagi dapat menikmati rutin melancong atau sekurang-kurangnya menaiki pesawat ke luar negara. Bagi mereka yang gemar melancong dan mengembara ke tempat yang lain di dunia, tentu rindu akan pengalaman meneroka keindahan luar negara serta menikmati pemandangan yang mempesonakan.
Bagi mengubati kerinduan ini, sebuah syarikat penerbangan tambang murah di Korea, Jin Air telah melancarkan sebuah program hiburan pelancongan yang dinamakan sebagai ‘Flight to Nowhere’ pada 25 Julai yang lalu. Melalui program, mana-mana individu di Korea yang rindukan suasana di Sabah terutamanya di Kota Kinabalu akan dapat merasai pengalaman menaiki pesawat ke destinasi di negeri di bawah bayu itu.
Bezanya, pesawat tersebut akan berlepas dan mendarat di lapangan terbang yang sama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan. Aik, macam mana sebenarnya tu?
Program ‘Flight to Nowhere’ sebenarnya adalah sebuah program bersiar-siar melihat pemandangan menggunakan pesawat kapal terbang komersial. Tetamu akan dapat merasai pengalaman sebenar di lapangan terbang seperti proses pemeriksaan keselamatan dan proses pemeriksaan tiket kapal terbang sebelum menaiki pesawat. Walau bagaimanapun, pesawat yang dinaiki akan mendarat di lapangan terbang yang sama tempat mereka berlepas berbanding mendarat di destinasi sebenar.
Untuk penerbangan pertama pada 25 Julai lalu, ia telah mendapat sambutan hebat daripada warga Korea sehingga 96 tempat duduk berjaya dipenuhi!
Apa yang membuatkan pengalaman menaiki pesawat itu sama seperti ke Kota Kinabalu?
Program ini merupakan program kerjasama di antara Jin Air dan Lembaga Pelancongan Sabah memandangkan kerajaan Korea Selatan telah melanjutkan operasi pesawat komersial untuk program tersebut. Sebelum ini, tiga destinasi utama dunia telah dijadikan tema ‘Flight to Nowhere’ Jin Air iaitu Hong Kong, Osaka dan Okinawa.
Tetamu yang menaiki pesawat ini berpeluang untuk mendapatkan pelbagai jenis manfaat dan aktiviti istimewa di dalam pesawat. Antaranya seperti beg goodies yang disediakan oleh Jin Air dan Lembaga Pelancongan Sabah untuk meraikan program itu.
Bukan itu sahaja, kedai bebas cukai yang terkenal di Korea seperti Lotte, Shilla dan Shinsegae juga turut menawarkan perkhidmatan bebas cukai di dalam pesawat itu. Anak kapal juga akan menyediakan hiburan tambahan seperti kuiz dan cabutan bertuah untuk memastikan perjalanan tersebut kekal menarik dan tidak membosankan.
Hadiah cabutan bertuah juga tidak kurang hebatnya. Misalnya seperti tiket penerbangan ulang alik dari Incheon ke Kota Kinabalu yang ditaja oleh Jin Air serta baucer hotel dan pelayaran matahari terbenam yang ditaja oleh Lembaga Pelancongan Sabah.
Tetamu yang menyertai program ini dijadual akan berlepas pada jam 12.40 tengah hari dari Incheon dan akan terbang rendah mengelilingi bandar-bandar utama di sekitar Daegu, Busan serta sebahagian ruang udara Jepun. Pesawat akan mendarat semula di Incheon pada jam 2.40 petang.
Usaha yang dilakukan oleh Korea Selatan ini adalah bagi menyokong industri penerbangan tempatan serta sektor bebas cukai untuk terus bertahan di musim pandemik ini.
Sabah destinasi utama pilihan pelancong Korea sebelum COVID-19
Menurut laporan, Sabah merupakan salah sebuah destinasi percutian utama Asia Tenggara dalam kalangan pelancong Korea Selatan sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Seramai 400,00 pelancong Korea Selatan telah dicatatkan melancong ke Sabah pada tahun 2019 dengan menaiki 67 penerbangan terus dari Incheon, Busan, dan Muan ke Kota Kinabalu, Sabah.
Melihatkan kepada kejayaan program ini, Lembaga Pelancongan Sabah bersama Tourism Malaysia Cawangan Seoul bersedia untuk memperluaskan aktiviti ini kepada syarikat penerbangan yang lain di Korea termasuklah Air Busan dan Jeju Air dengan lebih banyak pengoperasian pesawat dijangka dibuka bulan ini. Program ini terbukti telah berjaya menarik banyak perhatian orang ramai yang ingin merasai nostalgia di waktu pra-pandemik.
Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman juga mempelawa warga Korea untuk datang melancong ke Sabah lagi sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka kelak.
Jangan kan orang Korea, orang Malaysia pun rindu nak pergi ke Sabah tau!