“Jika sukan skuasy ada dalam olimpik, mungkin Malaysia akan ada peluang untuk meraihkan pingat selain badminton dan acara terjun,” – netizen
Kenapa Sukan Skuasy Tak Ada? Ini 4 Sukan Yang Tak Pernah Dimasukkan Ke Olimpik. Dalam Sukan Olimpik, dua sukan yang unggul di Malaysia adalah sukan badminton dan terjun. Pingat Olimpik terakhir yang dimenangi Malaysia adalah untuk beregu lelaki badminton yang dimenangi oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di Sukan Olimpik Tokyo. Mereka berjaya meraihkan pingat gangsa untuk beregu lelaki badminton pada 31 Julai lalu.
Nur Dhabitah pula nyaris mendapat pingat gangsa dengan menduduki tempat keempat untuk 3m papan anjal wanita individu di final pada 1 Ogos. Meskipun hanya menduduki tempat keempat, kita masih bangga dengan beliau kerana hanya layak ke final sudah satu pencapaian hebat!
Sementara itu, rakyat Malaysia menantikan ratu terjun negara Pandelela Rinong untuk 10m platform individu wanita pada 4 Ogos ini. Pandelela ialah atlet wanita pertama yang memenangi pingat dari Sukan Olimpik selain kategori badminton dalam Sukan Olimpik London 2012.
Dengan kejayaan dalam sukan badminton dan acara terjun, terdapat juga persoalan mengapa sukan lain yang dikuasai oleh Malaysia seperti skuasy, tidak pernah termasuk dalam sukan Olimpik, After all, ratu skuasy negara Datuk Nicole Ann David memegang gelaran nombor satu di dunia dalam skuasy selama 108 bulan!
Berikut adalah 4 sukan yang tidak pernah dimasukkan ke Sukan Olimpik serta sukan-sukan lain yang pernah dimasukkan, dihentikan dan dimasukkan kembali.
Kos membina gelanggang skuasy terlalu mahal
Untuk pengetahuan anda, sukan skuasy pernah dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik bagi edisi 2016 dan 2020. Namun, ia tidak berjaya diluluskan akibat saingan daripada sukan lain.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sukan skuasy tidak dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik. Antaranya adalah gelanggang skuasy memerlukan kos yang tinggi serta peraturannya sukar difahami.
Malah, sukan skuasy juga tidak se-popular seperti sukan bergelanggang lain seperti badminton dan tennis. Perkara ini juga menyebabkan International Olympic Community (IOC) tidak tertarik dengan idea tersebut.
Meskipun sukan skuasy dianggap sebagai sukan yang tidak popular, ia dimainkan di lebih dari 185 negara oleh sekitar 20 juta orang. Dengan alasan seperti tersebut, maka tidak hairanlah komuniti skuasy rasa dikecualikan dalam sukan Olimpik walaupun sukan tersebut terbukti sebagai sukan yang popular setaraf badminton dan tennis.
Bola jaring
Sebagai sebuah sukan yang dianggap popular, ia juga sebuah persoalan mengapa sukan ini tidak pernah dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam sukan Olimpik.
Untuk mengetahui mengapa ia tidak dimasukan, bola jaring hanya dimainkan di antara negara-negara Komanwel seperti Australia, Singapura, Britain dan Malaysia.
Selain itu, bola jaring dianggap sebagai sukan yang lebih dimainkan oleh wanita. Meskipun terdapat dua sukan khusus wanita dalam sukan Olimpik seperti renang seirama dan gimnastik berirama, IOC menginginkan penyertaan yang setara antara lelaki dan wanita.
Pasukan bola jaring Malaysia berada di kedudukan ke-25 di antara 44 negara di seluruh dunia setakat 1 Julai 2020.
Bowling
Untuk Sukan Olimpik 1988 dan 1996, sukan bowling telah tampil sebagai sukan demonstrasi. Ia bukan sebahagian daripada sukan-sukan yang akan dimainkan di Sukan Olimpik pada masa itu.
Penampilan bowling adalah untuk mempamerkan sukan ini kepada dunia pada masa itu dan ia dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Olimpik namun IOC belum yakin untuk memasukkan sukan tersebut dalam Sukan Olimpik secara rasmi.
Merupakan sebuah sukan yang popular, salah satu kelemahan utama untuk sukan ini adalah ia bukan mudah untuk diakses oleh semua orang, terutamanya untuk mereka yang tinggal di negara-negara yang kurang maju. Oleh itu, untuk memperoleh kemahiran dalam sukan ini tidak semudah untuk orang lain yang berada dalam keadaan sebegini.
Kini, IOC sedang mencari sukan yang lebih menarik untuk golongan muda dan beranggapan sukan bowling tidak mempunyai daya tarikan yang menarik untuk demografi muda. Sukan ini masih berusaha untuk disertakan dalam sukan Olimpik yang akan datang.
MMA
Mixed Martial Arts atau juga dikenali dengan singkatannya MMA, telah terbukti popular selama bertahun-tahun kerana sukan ini menjadi salah satu sukan yang paling banyak ditonton. Oleh itu, ia juga mengejutkan bahawa sukan ini tidak termasuk dalam Olimpik.
Antara sebab sukan ini tidak dimasukkan dalam Sukan Olimpik adalah ia masih dianggap sebagai sukan yang ganas dan berbahaya. Untuk pengetahuan anda, mana-mana sukan yang melibatkan pertahanan diri harus menggunakan peralatan keselamatan di Sukan Olimpik. Sebagai sukan kontak rapat yang memerlukan genggaman, tendangan dan pukulan serta mencapaikan knockout, MMA tidak menghendaki pemainnya memakai alat pelindung.
Selain itu, MMA masih belum mempunyai sistem pemarkahan standard. Tidak seperti seni mempertahankan diri yang ada di Olimpik seperti karate dan taekwondo yang mempunyai mata tertentu apabila berjaya membuat sepakan atau pukulan yang berjaya, ia belum jelas bagaimana MMA memberikan markahnya.
Sukan-sukan yang pernah dimasukkan, dihentikan dan dimasukkan lagi
Terdapat sukan lain yang juga tampil di Olimpik tetapi telah dihentikan dan dimasukkan lagi. Antaranya ialah:
- Acara gusti – Acara gusti merupakan antara sukan yang telah tampil di kesemua sukan Olimpik kecuali pada tahun 1900. Pada tahun 2013, IOC memilih untuk menghentikan acara gusti dari Sukan Olimpik mulai tahun 2020. Namun, acara ini berjaya dimasukkan kembali setelah beberapa kempen diadakan.
- Acara golf – Acara ini pernah tampil untuk Sukan Olimpik 1900 dan 1904. 116 tahun sejak penampilan pertamanya, IOC mengembalikan sukan ini untuk Sukan Olimpik Rio 2016.
- Acara ragbi – Acara ini membuat penyertaan pertamanya pada tahun 1900 dan kemudian dimasukkan untuk Sukan Olimpik 1908, 1920 dan 1924. Berikutan Sukan Olimpik 1924, IOC memilih untuk menghentikan sukan ini dalam sukan Olimpik. Namun, IOC mengundi untuk mengembalikan sukan tersebut pada 2009 dan akhirnya dikembalikan sebagai salah satu sukan di Olimpik pada tahun 2014.
Setakat 2 Ogos 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-73 antara 205 negara yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.