Hilang di Kemboja, gadis Sarawak dijadualkan pulang hari ini
Gadis Mukah Hilang Di Kemboja Dikembalikan Secara Sukarela Oleh Sindiket. Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kisah seorang rakyat Malaysia, Nur Fatihah, yang dilaporkan hilang dan dipercayai berada di Kemboja.
Kisah ini dikongsikan sendiri oleh ahli keluarga mangsa menerusi satu hantaran di Facebook, yang mendapat perhatian meluas daripada pengguna media sosial.

Gadis terbabit berjaya dikesan dan pada awalnya dijangka akan pulang bulan depan
Pada jam 2 pagi, kakak mangsa menerima panggilan telefon daripada adiknya yang memaklumkan bahawa dirinya akan dihantar pulang ke Malaysia pada hari tersebut, 18 Mac.
Penerbangan dari Kemboja dijadualkan berlepas jam 11 pagi dan tiba sekitar jam 1 petang waktu Kemboja. Berita itu sangat mengejutkan kerana sebelum ini, adiknya dijangka hanya akan pulang pada April 2025. Dia amat bersyukur dengan berita tidak terduga itu, apatah lagi ia berlaku hanya beberapa hari selepas Encik Azirul Syafiq, aktivitis anti-sindiket antarabangsa berjaya mengenal pasti lokasi Nur Fatihah dan pihak sindiket.
Telefon bimbit dan pasport adiknya akan diserahkan di lapangan terbang oleh pihak berkuasa di sana. Selepas itulah dia akan dapat berhubung terus dengan adiknya. Sebelum ini, semasa panggilan dibuat pada jam 2 pagi, adiknya menggunakan nombor telefon milik pihak sindiket.
Disebabkan berita kepulangan itu terlalu mengejut dan tidak dijangka, dia dan keluarga tidak sempat pergi ke KLIA untuk menyambut kepulangan adiknya. Hanya kakaknya yang menetap di Kuala Lumpur dapat pergi ke KLIA untuk menjemput adik mereka. Encik Azirul Syafiq turut menawarkan untuk membawa adiknya ke tempat yang selamat terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di Malaysia.
Usaha ini dipermudahkan dengan bantuan dua orang individu berhati mulia, salah seorang daripadanya berasal dari kampung halaman yang sama dengannya iaitu Dalat/Oya. Melalui bantuan merekalah dia berjaya berhubung dengan Encik Azirul, sehinggalah Encik Azirul menghantar mesej pada malam itu mengatakan, “Saya dah tahu dia kat mana,” sekali gus melegakan hati dia dan keluarga.
Dia amat menghargai bantuan kedua-dua insan tersebut dan berharap agar segala urusan mereka dipermudahkan sehingga selesai.
Nur Fatihah dihantar pulang oleh sindiket tanpa sebarang ugutan atau wang tebusan
Gadis asal Sarawak, Nur Fatihah dianggarkan akan dibawa pulang ke tanah air pada bulan depan, namun atas hasil usaha dan rundingan bijak Encik Azirul Syafiq Sazali bersama pihak sindiket tersebut, gadis terbabit telah diterbangkan terus hari ini dengan segala kos pengangkutan ditanggung oleh pihak sindiket.
“Petang tadi saya telah mendapat maklumat yang tepat dan sahih bahawa keberadaan Nur Fatihah ini dikenal pasti oleh maklumat dalaman saya, doakan agar semua dipermudahkan segala urusan” ujar Encik Azirul menerusi laman Facebook.
Menurut perkongsian ahli keluarganya, kepulangan Nur Fatihah dilakukan secara sukarela oleh pihak sindiket tanpa sebarang ugutan atau tuntutan wang tebusan kerana khuatir situasi akan bertambah buruk.
Malah, kos penerbangan dari Kemboja ke Kuala Lumpur turut ditanggung sepenuhnya oleh pihak berkenaan.
Ahli keluarga Nur Fatihah mengucapkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan pelbagai pihak
Ahli keluarga Nur Fatihah meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuklah pihak polis tempatan (Ketua Polis Balai Mukah, Ketua Polis Balai Oya, JSJ Dalat), INTERPOL, serta Duta Malaysia di Kemboja yang sentiasa memberikan kerjasama dan maklumat terkini sepanjang tempoh mencabar tersebut.
Tidak ketinggalan, keluarga mangsa juga menzahirkan penghargaan khas kepada dua individu yang berjaya menghubungkan mereka dengan Encik Azirul, di samping YB Datuk Fatimah Abdullah serta pihak polis Sibu yang telah banyak membantu dari segi nasihat dan tindakan susulan sepanjang tempoh tersebut.
Kes ini menjadi pengajaran penting kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan di luar negara.

