Rayuan Keluarga Gadis dari Mukah Hilang di Kemboja
Dipercayai Jadi Mangsa Sindiket, Gadis Sarawak Dilapor Hilang Di Kemboja. Kehilangan seorang gadis muda dari Kampung Senau, Dalat, Mukah sejak penghujung Februari lalu kini membawa keluarga tersebut ke dalam keadaan cemas dan buntu selepas mengetahui bahawa dia dipercayai berada di Kemboja.
Nur Fatihah Fatrah, 20, anak kelima daripada enam beradik, kali terakhir berhubung dengan keluarganya melalui aplikasi WhatsApp pada 26 Februari lalu sebelum gagal dihubungi. Menurut kakaknya, Nina Fathie, keluarga mereka semakin cemas selepas siasatan mendapati Nur Fatihah telah berlepas dari Kuching ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Phnom Penh, Kemboja pada hari yang sama.

Rakan-rakannya mendakwa bahawa dia sebenarnya merancang untuk ke luar negara
Difahamkan, Nur Fatihah yang sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta di Kuching, memberitahu ibunya bahawa dia ingin mengambil barang di kolej pada 20 Februari, namun kemudiannya menyatakan hasrat untuk bekerja di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, rakan-rakannya mendakwa bahawa dia sebenarnya merancang untuk ke luar negara.
Pihak keluarga telah membuat laporan polis di Mukah selain mendapatkan bantuan pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah menyatakan pihak berkuasa Malaysia termasuk polis Bukit Aman dan Interpol sedang bekerjasama bagi memastikan keselamatan dan membawa pulang Nur Fatihah.
Menurut Fatimah lagi, Nur Fatihah dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan, di mana dia diberikan RM2,000 oleh pihak tertentu untuk membuat pasport dan membeli tiket penerbangan ke Kemboja. Situasi ini menimbulkan kebimbangan, memandangkan sebelum ini pernah berlaku beberapa kes rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket serupa di negara berkenaan.
Keluarga Nur Fatihah amat mengharapkan kepulangannya dengan selamat, malah telah mengadakan solat hajat dengan harapan beliau akan kembali sebelum Aidilfitri ini.

