Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat dijemput untuk menyertai ‘Glamping di Bandaraya’ pada 17 dan 18 Ogos, yang diadakan sempena Festival Muzik 2024 di Amphitheater Kuching dari pukul 4 petang.
Acara bermula pada 17 Ogos jam 4 petang, dan peserta dijemput untuk datang lebih awal bagi mendirikan khemah di tapak glamping yang telah disediakan. Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menekankan agar peserta mematuhi peraturan sepanjang acara, termasuk larangan aktiviti membakar atau memanggang, dan menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan.
Bagi mereka yang ingin menikmati malam yang romantis dan penuh ‘healing’, DBKU telah menyediakan persembahan orkestra istimewa pada 18 Ogos jam 8 malam. Persembahan ini pasti memberikan suasana yang memukau, sesuai untuk bersantai dan menikmati malam di bawah bintang-bintang dalam suasana glamping yang unik.
Bukan itu sahaja! Pada 18 Ogos, dari jam 8 malam, acara ini akan dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada artis terkenal seperti Bob Yusof, Dewi Seriestha, Roxy, Carrie Gares, Mal Imran, JC, dan kumpulan TUKU KAME`. Bagi peminat muzik, ini adalah peluang terbaik untuk menikmati hiburan secara langsung daripada artis-artis kesayangan anda.
Untuk para penggemar muzik yang ingin menyaksikan aksi lebih mendebarkan, acara ‘Battle Of The Bands’ juga akan diadakan, yang pasti akan menggegarkan Panggung Udara Kuching sepanjang dua hari tersebut. Jangan lupa untuk bersorak dan memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan yang bertanding!
Bagi memastikan semua peserta dapat menikmati pengalaman glamping dengan selesa, DBKU mengingatkan supaya membawa khemah, tikar, dan segala keperluan lain yang diperlukan. Bagi yang berasa lapar, pelbagai Food Truck dan gerai jualan makanan akan tersedia, menawarkan pelbagai hidangan yang pasti memuaskan selera anda.
Untuk menambah lagi keseronokan, pada 19 Ogos, satu Bengkel Orkestra akan diadakan di Auditorium Ibu Pejabat DBKU bermula jam 9 pagi. Bengkel ini adalah peluang yang sempurna untuk mereka yang ingin mendalami muzik orkestra dan belajar daripada yang terbaik dalam industri ini.
Dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan, ‘Glamping di Bandaraya’ sempena Festival Muzik 2024 ini sememangnya acara yang tidak boleh dilepaskan. Jadi, ajak keluarga dan rakan-rakan, dan mari kita ciptakan kenangan terindah bersama-sama di Kuching! Steady la orang Kuching, kita berpesta!