Timur Kalimantan Dijangka Jadi Bandar Pintar Berkonsepkan ‘Green Initiatives‘ Tidak Lama Lagi
Grab Dan Syarikat Jepun Bakal Melabur Untuk Pembangunan Ibu Kota Baharu Indonesia. Pada Ogos tahun lalu, Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo telah mengumumkan secara rasmi pemindahan ibu kota negara Indonesia dari Jakarta ke Timur Kalimantan. Memandangkan Timur Kalimantan merupakan sebahagian daripada Kepulauan Borneo, berita perpindahan tersebut tentunya memberi manfaat yang besar kepada penduduk di kawasan tersebut termasuklah Sabah dan Sarawak.
Terkini, rancangan pemindahan ibu kota tersebut disambut baik oleh pelabur dari negara luar apabila syarikat pengangkutan e-hailing, Grab dan sebuah syarikat telekomunikasi gergasi Jepun, SoftBank menyatakan hasrat untuk melabur dalam pembangunan ibu kota baru di Timur Kalimantan. Pelan pelaburan tersebut diusulkan oleh sendiri oleh pengerusi dan CEO SoftBank, Masayoshi Son dan pengasas bersama Grab, Anthony Tan kepada Presiden Joko Widodo.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Masayoshi Son, syarikat tersebut berminat untuk melabur dalam pembangunan ibu kota baharu tersebut kerana Timur Kalimantan bakal ditransformasikan menjadi sebuah bandar yang berkonsepkan bandar pintar. Selain itu, ia juga bakal menerapkan inisiatif hijau dan pembangunan Artificial Intelligence (AI).
Antara perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua CEO syarikat tersebut kepada Presiden Jokowi ialah aspek kerjasama yang berpotensi untuk dimajukan di Indonesia termasuklah pembangunan bandar pintar bercirikan inisiatif hijau (green initiatives) di seluruh Indonesia. Wow, the next Singapore mungkin?
Terdahulu, pada Ogos 2019, CEO SoftBank tersebut telah membuat perbincangan awal dengan Presiden Jokowi tentang rancangan tersebut dan mengumumkan untuk melabur sebanyak 5 billion Dolar Amerika (USD) kepada republik Indonesia. Pelaburan tersebut dibuat bagi tujuan pembangunan pengangkutan elektrik di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara tersebut.
Namun demikian, berdasarkan sumber tempatan di Indonesia, SoftBank dikatakan bersedia untuk melabur sehingga 100 billion USD untuk ibu kota baharu Indonesia untuk jangka masa 25 tahun. Walau pun kedengaran seperti ‘terlalu mustahil’, SoftBank dijangka untuk meletakkan dana pelaburan sebanyak 25 billion USD untuk 5 tahun pertama.
Untuk pengetahuan anda, ini bukanlah kali pertama syarikat antarabangsa Jepun itu melabur untuk pembangunan kota-kota baharu di dunia. Pada tahun 2018, SoftBank telah melabur dalam program berkaitan smart city solutions di Dublin City Council’s Smart City dan testbed Smart Docklands District. Selain itu, SoftBank juga telah menjalinkan kerjasama dengan Lippo Group pada tahun 2019 untuk pembangunan AI dan Internet of Things (IoT).
Mengapa Ibu Kota Indonesia Ini Dipindahkan Ke Timur Kalimantan?
Presiden Joko Widodo mengumumkan berita pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Timur Kalimantan atas sebab Jakarta yang sudah terlalu padat. Selain mengalami kesesakan yang teruk, Jakarta juga mempunyai indeks pencemaran udara yang tinggi selain berhadapan risiko untuk tenggelam disebabkan kepadatan bandaraya yang keterlaluan.
Oleh yang demikian, Timur Kalimantan (atau lebih tepat, Kabupaten Penajam Paser Utara dan Kabupaten Kutai Kartanegara) dilihat sebagai lokasi yang paling strategik memandangkan ia terletak di tengah-tengah Indonesia. Selain itu, Kalimantan yang terletak di Kepulauan Borneo juga berkongsi sempadan dengan Malaysia dan Brunei. Untuk tujuan pembinaan ibu kota itu, Jokowi telah memperuntukkan sebanyak 466 trillion rupiah (32.7 billion dollar) di mana 19% perbelanjaan adalah daripada kerajaan Indonesia dan selebihnya adalah melalui dana sektor swasta dan pelaburan asing.
Untunglah penduduk Timur Kalimantan lepas ni. Banyak syarikat besar melabur untuk pembangunan ibu kota baharu tersebut. Sekiranya Timur Kalimantan maju seperti yang dirancang, tidak mustahil Indonesia bakal menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar di dunia pada tahun 2030 seperti yang diramal oleh Standard Chartered.
Apa manfaat yang boleh Malaysia dapat daripada perpindahan ini, terutamanya bagi penduduk Sabah dan Sarawak? Atau adakah langkah mengetatkan kawalan sempadan terutama di Sarawak itu adalah suatu langkah yang bijak?
Any idea? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.